Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Pasukan penyelamat bertindak pantas menyelamatkan pelajar terbabit. FOTO Ihsan Bomba
Hulu Klang: Sekumpulan murid di sebuah pusat asuhan kanak-kanak (taska) di Kampung Klang Gate, di sini menempuh detik cemas apabila bilik darjah mereka dinaiki banjir kilat susulan cuaca buruk di Lembah Klang, sejak awal pagi hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, beberapa lokasi di sekitar kawasan itu dinaiki air susulan kejadian limpahan air sungai yang berhampiran.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dan BBP Ampang dikerah ke lokasi terbabit sejurus terima panggilan kecemasan pada 10.12 pagi.
"Kesemua pelajar tadika terbabit sudah diselamatkan anggota bertugas. Komander operasi melaporkan banjir disebabkan limpahan air sungai berdekatan masuk ke kawasan perumahan.
"Kejadian itu mengakibatkan 10 kenderaan terkandas di dalam air, paras air dianggarkan kira-kira sedalam 0.305 meter dan tidak membabitkan mangsa (setakat ini)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan hujan lebat di ibu negara sejak awal pagi hari mengakibatkan beberapa kawasan di sini dinaiki air termasuk di sekitar bangunan Parlimen.
Sidang Parlimen di Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula 10 pagi hari ini terpaksa dianjakkan ke 10.30 pagi susulan sebilangan Ahli Parlimen terperangkap dalam banjir kilat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan