Penuntut UiTM Puncak Alam meninggal dunia selepas rebah di kampus

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Penuntut semester satu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas rebah secara tiba-tiba di dalam kampus, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 10.13 malam.

"Kejadian dimaklumkan berlaku sekitar pukul 5 petang, waktu itu mangsa secara tiba-tiba rebah di dalam Fakulti Perhotelan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital UiTM Puncak Alam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

Sementara itu satu tabung derma kilat buat Allahyarham Muhammad Faiz Mohd Sazali, 20, dilancarkan oleh Bachelor in Office System Society (BOSS) UiTM Puncak Alam sebagai sumbangan bagi keluarga arwah.

Menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan tabung berkenaan akan dibuka selama tiga hari bermula hari ini hingga lusa.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 156020233689 di atas nama Nor Afni Md Sari yang juga penasihat BOSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan