Harapandaily
Tular di media sosial sejumlah klip video menunjukkan rakyat Iran tidak terjejas dengan serangan Israel hari ini.
Rata-rata penduduk republik Islam itu dilihat mempersenda serangan daripada tentera Israel selama beberapa jam yang dilaporkan melibatkan kira-kira 20 lokasi itu.
“Orang Iran tidak pergi ke tempat perlindungan seperti Zionis, tetapi memanjat bumbung rumah mereka untuk melihat mercun yang datang dari Israel.
“Israel mengatakan bahawa Netanyahu mengikuti (perkembangan) serangan dari tempat perlindungan,” demikian antara komentar warganet di platform X.
Selain itu, ada yang secara sarkastik menghidupkan pemetik api beberapa kali dengan kapsyen, “banyak kebakaran di Mashhad”.
Malah, penduduk Iran juga meluahkan rasa “terkejut” dengan kebakaran belukar, mungkin dari peluru yang dipintas atau tidak berkaitan dengan serangan Israel.
Dalam masa sama, tersebar rakaman video memaparkan suasana Taman Laleh Tehran selepas serangan Israel ke atas Iran.
Menerusi klip itu, kelihatan beberapa kumpulan melebihi 100 orang sedang bersenam mengikut alunan muzik dan lagu rancak Iran.
“Orang Iran sedang keluar menikmati taman, manakala orang Israel bersembunyi di tempat perlindungan mereka,” kata seorang jurutera menerusi platform X, @fatimahfnz.
Terdahulu, tentera pengganas Israel berkata, serangan tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran pada 1 Oktober lalu.
Lapor Al Jazeera, Israel telah memberi amaran kepada Iran agar tidak bertindak balas kerana negara pengganas itu akan “wajib untuk bertindak balas” dan mempunyai “sasaran tambahan” untuk diserang sekiranya hal itu berlaku.
Iran mengesahkan serangan Israel menyasarkan pangkalan tentera di wilayah Ilam, Khuzestan dan Tehran, dengan mengatakan ia hanya menyebabkan “kerosakan terhad”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan