KOSMO!
SEBUAH kereta terbakar ketika menuruni sebatang jalan raya. - Foto X/@Ishantvashist
NEW DELHI – Sebuah kereta tanpa pemandu terbakar ketika menuruni sebatang jalan di Jaipur, India, menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri, lapor laman berita Hindustan Times kelmarin.
Dalam satu kejadian dramatik pada Sabtu lalu, kenderaan itu turut melanggar sebuah motosikal yang diparkir.
Adegan huru-hara itu berakhir apabila kereta yang terbakar tersebut akhirnya merempuh pembahagi jalan, namun tiada kecederaan dilaporkan walaupun lalu lintas sibuk.
Menurut laporan akhbar Times of India, kereta itu dipandu oleh Jitendra Jangid ketika dia menyedari asap berkepul-kepul keluar dari penyaman udara kenderaan tersebut.
Dia dengan segera menghubungi saudara kandungnya untuk mendapatkan saranan sebelum memberhentikan kenderaan bagi memeriksa enjin di dalam bonet.
Selepas membuka bonet, Jitendra mendapati bahawa enjin kereta itu terbakar.
Kebakaran marak dengan cepat, menyebabkan brek tangan kereta itu rosak. Kenderaan tanpa pemandu itu kemudian bergerak secara tiba-tiba menuruni cerun jalan ketika Jitendra berada di luar.
Bomba kemudian tiba untuk memadam kebakaran tetapi keseluruhan kereta itu dilaporkan hangus. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan