21 bekas penghuni pusat jagaan warga emas ‘dibuang’ di luar pejabat NGO


Predeep Nambiar

Mereka bekas penghuni sebuah pusat jagaan yang ditutup pihak berkuasa, selepas Tamilar Kural memeriksa dakwaan berlakunya serangan.

Bekas penghuni sebuah pusat jagaan warga emas yang ditemukan Tamilar Kural di sebuah gudang usang di Kulim. (Gambar Tamilar Kural)
BUTTERWORTH: Seramai 21 bekas penghuni pusat jagaan warga emas yang telah ditutup, termasuk lima orang sakit mental, ditinggalkan di luar pejabat sebuah NGO di Perai hari ini.

P David Marshel, yang mengetuai Tamilar Kural, berkata pihaknya memiliki video memaparkan kumpulan warga emas ini dibawa oleh beberapa kereta dan ditinggalkan di pejabat NGO itu pada 12.30 tengah hari.

Pemandu terbabit kelihatan tergesa-gesa menyuruh mereka keluar daripada kenderaan, dan beredar dalam keadaan terburu-buru.

Menurut David, Tamilar Kural pada April memeriksa dakwaan berlakunya serangan di sebuah pusat jagaan warga emas, yang membawa kepada siasatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan penutupan pusat itu.

Semalam, Tamilar Kural menjejaki penghuni pusat itu dan menemukan mereka di sebuah gudang usang dalam ladang kelapa sawit di Kulim, Kedah — beberapa orang tua didapati dirantai pada katil.

“Kami amat terkejut apabila mendapati lima orang mengalami masalah mental dan seorang buta dengan amputasi dalam kalangan warga emas dan sakit yang baru sahaja ditinggalkan di sebuah gudang di tengah-tengah ladang kelapa sawit,” katanya.

David berkata Tamilar Kural bersemuka dengan bekas penjaga pusat jagaan itu, dan menawarkan untuk meletakkan warga emas berkenaan di pusat jagaan lain.

“Sekarang mereka telah meninggalkan tanggungjawab dan meletakkan warga emas ini di luar sebuah rumah kedai,” katanya.

David berkata beliau telah menghubungi Exco Kesihatan Daniel Gooi dan Exco Kebajikan Lim Siew Khim, yang memaklumkan Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai telah dihantar untuk memeriksa bekas penghuni pusat jagaan ini.

Ketika dihubungi, Gooi berkata semua penghuni berasal dari Kedah, dan lima daripada mereka dibawa ke fasiliti Kementerian Kesihatan memandangkan mereka kelihatan mengalami masalah mental.

Selebihnya berada di bawah jagaan JKM, tambahnya.

Sementara itu, David berkata laporan telah dibuat di Balai Polis Perai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan