4 penuntut IPT ditahan disyaki edar dadah

Bernama

Pemangku Ketua Polis Perak Zulkafli Sariaat berkata semua suspek berusia antara 20 hingga 22 tahun ditahan di sebuah rumah pada 1.40 tengah hari semalam. (Gambar Bernama)
IPOH: Polis menahan empat individu termasuk dua wanita yang merupakan pelajar sebuah institut pengajian tinggi (IPT) dan merampas dadah jenis ganja dalam serbuan di Seri Iskandar semalam.

Pemangku Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat, berkata semua suspek warga tempatan berusia antara 20 hingga 22 tahun itu ditahan di sebuah rumah teres dua tingkat pada 1.40 tengah hari.

Hasil pemeriksaan di rumah tersebut menemukan dadah jenis ganja dianggarkan seberat 1.92kg, bernilai RM2,500.

“Dadah itu dipercayai untuk kegunaan sendiri dan juga pengedaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkafli berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta Mercedes Benz C200, wang tunai berjumlah RM400 serta seutas rantai leher.

Seorang suspek direman enam hari hingga 20 Nov ini manakala tiga lagi direman lima hari hingga 19 Nov, katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan