Berkocak di sebalik ‘pelan damai’

Hishamuddin Aun

Kemenangan Hilman Idham sebagai ketua Pemuda Bersatu mungkin hanya ‘puncak di bongkah ais’ mengenai pergolakan dalam Bersatu keseluruhannya.

Ketika Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir diumumkan secara tidak rasmi menang ketua sayap itu pada 27 Okt lalu, seorang rakan yang juga sumber dalaman Bersatu berkongsi melalui pesanan WhatsApp: “Saya tak pasti ini tapi saya dimaklumkan Akmal Zahin tak menang.”

Ketika itu, keputusan dikeluarkan pusat penjumlahan undi Pemuda menunjukkan Zahin memperoleh 2,432 undi — hanya perbezaan 76 undi mengatasi lawannya Adun Gombak Setia Hilman Idham yang meraih 2,356 undi.

Mengapa pusat penjumlahan undi Pemuda tergesa-gesa mendahului pengumuman itu hanya mereka yang tahu motif sebenarnya.

Sambil keputusan tidak rasmi itu dikeluarkan pada sebelah petang, malam yang sama pula Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu mengeluarkan kenyataan supaya semua pihak tidak membuat sebarang pengumuman atau spekulasi sehingga kenyataan rasmi dibuat.

Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan cara kenyataan JPP itu dibuat – membayangkan ia cuba melakukan kawalan kerosakan sebelum keputusan tidak rasmi itu yang sudah disambut gembira oleh penyokong Zahin menular di luar kawalan.

Kata Pengerusi JPP Abdul Azim Mohd Zabidi, pengumuman bagi pemilihan jawatankuasa sayap Pemuda dan Wanita – daripada persidangan masing-masing pada 26 Okt — hanya akan dibuat setelah JPP selesai menyemak pematuhan peraturan pemilihan dan tatacara pengundian serta penjumlahan undi yang
teratur serta memperhalusi semua bantahan dan aduan diterima.

Zahin sendiri yang tidak mahu mendahului keputusan rasmi JPP mengakui berdebar-debar, namun menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa itu untuk membuat keputusan.

Juga dilaporkan bahawa sejurus berita mengenai kemenangan Zahin tersebar, jemputan untuk sambutan kemenangan dikongsikan dalam kumpulan WhatsApp Penerangan Media PN. Namun, menariknya, sambutan meraikan ketua Pemuda Bersatu yang baharu pada 5 petang 27 Okt itu adalah untuk Hilman, bukannya Zahin.

Berselang dua hari, Hilman diumumkan secara rasmi menang jawatan ketua Pemuda Bersatu dengan memperoleh 1,888 undi, iaitu 170 undi mengatasi Zahin, yang meraih 1,718 undi – berlawanan dengan keputusan tidak rasmi sebelumnya.

Ini disusuli penafian JPP terhadap dakwaan kononnya wujud campur tangan luar dalam pemilihan Hilman, sebaliknya ia hanya disahkan setelah jawatankuasa itu sebulat suara memutuskannya selepas menimbangkan semua bantahan yang dikemukakan ketika pemilihan.

Menjelaskan perkara itu, Azim berkata sejumlah 111 bahagian Pemuda bersidang dan berdasarkan kertas undi diterima, jumlah kehadiran pada tahap 42% daripada perwakilan yang layak hadir, iaitu 9,076 orang. JPP turut menerima 27 aduan dan bantahan, antaranya berkaitan peraturan sidang, tatacara pemilihan, prosedur pengeluaran kertas undi, keabsahan perwakilan dan prosedur pengiraan undi.

“JPP pusat telah membuat keputusan sewajarnya mengikut bidang kuasa dimiliki, yang diberikan perlembagaan parti dan MPT,” katanya ketika mengumumkan keputusan pemilihan sayap Pemuda di ibu pejabat parti.

Namun dari awal lagi, penyandang Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilihat berada di tengah-tengah perebutan sengit penggantinya dengan kecenderungannya memihak kepada Zahin berbanding Hilman.

Dengan mensyaratkan penggantinya mesti bersih dan bebas skandal pada 13 Okt lalu, Ahli Parlimen Machang itu berkata calon penggantinya tidak boleh menjadi liabiliti sehingga menjejas serta menyebabkan parti kalah pada PRU16.

Di samping itu, tambahnya, penggantinya hendaklah boleh bekerjasama baik dengan Pemuda PAS – seperti didakwa dilakukannya sendiri sejak 2020 hingga mewujudkan jentera mantap untuk meraih keputusan cemerlang di kerusi majoriti pengundi Melayu pada PRU15 — selain lantang dan berani menandingi seteru daripada Umno Dr Akmal Saleh.

Kebimbangannya ialah hubungan sayap Bersatu itu dengan PAS mungkin retak jika Hilman – dikatakan berada dalam kem Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali – menang pemilihan. Dalilnya ialah Pemuda PAS tidak begitu agresif membantu pada PRK Kuala Kubu Baharu dan Mahkota diketuai Azmin kerana kurang berkenan dengan kem itu.

Lantas, Wan Fayhsal mencadangkan Zahin sebagai penggantinya – sesuatu yang didakwanya dipersetujui secara prinsip oleh ahli dan pemimpin Pemuda Bersatu.

Menafikan dakwaan mereka lebih berkenan kepada kem tertentu sehingga mampu mempengaruhi keputusan pertandingan ketua Pemuda Bersatu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi menegaskan pihaknya tidak campur tangan urusan dalaman parti gabungan Perikatan Nasional (PN) itu.

Maknanya kemenangan Hilman bukan saja mendedahkan cakap-cakap Wan Fayhsal tidak begitu didengar, malah pendirian beliau yang dilihat menyebelahi kem presiden dan timbalan presiden Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin dalam perang proksi dengan kem Azmin gagal mempengaruhi Pemuda di bahagian-bahagian yang sudah memutuskan siapa yang mereka mahukan.

Julai lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata beliau diberi mandat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk berunding dengan barisan kepimpinan bagi memastikan pemilihan tidak meningkatkan suhu dalam parti sehingga menimbulkan perpecahan.

Menerusi satu pelan kompromi, Muhyiddin akan kekal menerajui Bersatu dibantu Hamzah manakala dua penyandang Ronald Kiandee dan Radzi Jidin selain Ahmad Faizal Azumu atau Peja yang turun dari jawatan timbalan presiden dicadangkan mengisi tiga kerusi naib presiden.

Azmin yang sebelum ini diuar-uarkan akan bertanding jawatan timbalan presiden pula dijangka menggantikan Hamzah sebagai setiausaha agung, satu jawatan lantikan.

Pengumuman JPP pada 4 Okt lalu selepas senarai pencalonan dimuktamad menunjukkan pelan kompromi itu hampir mencapai matlamat sepenuhnya apabila Muhyiddin dan Hamzah disahkan menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu dan dua.

Bagaimanapun, selain Peja, Kiandee dan Radzi, tiga calon lain Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin turut serta dalam perebutan tiga kerusi naib presiden yang membabitkan enam calon semuanya.

Ini mendorong Wan Fayhsal mempersoalkan tindakan beberapa ahli MPT yang didakwanya tidak menuruti pelan yang telah dipersetujui, menyebabkan Muhyiddin ‘amat sedih dan kecewa’ dan memberi gambaran tidak baik terhadap parti.

Namun, terbaru Wan Fayhsal – yang bertanding merebut 20 kerusi ahli MPT– dipertahankan supaya tidak dihukum oleh perwakilan yang akan mengundi selepas satu pendedahan rakaman video yang menunjukkan beliau didakwa menyifatkan Muhyiddin sebagai tidak lagi relevan pada 2022.

Adakah Wan Fayhsal mahu melakukan lebih daripada sepatutnya dengan menyusun keanggotaan lebih ramai daripada kem Muhyiddin-Hamzah dalam Pemuda, Wanita dan MPT dengan meminimumkan penyokong Azmin?

Mengibaratkan kemenangan Hilman memberi kelebihan kepada kem Azmin, Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Azmi Hassan bagaimanapun menganggap ‘kunci kuasa’ sebenar dalam parti adalah kemampuan menguasai 20 kerusi MPT.

“Paling penting 20 MPT yang membuat keputusan dan dasar dalam parti. Kem mana memiliki wakil (lebih banyak) dalam MPT akan menentukan pengaruh mereka,” katanya.

Keputusan penuh pemilihan hanya akan diketahui dalam sehari dua tetapi sehingga itu ‘pelan damai’ yang diuar-uarkan dilihat sudah pun berkocak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan