Culik budak 12 tahun selepas selisih faham dengan abang mangsa

MOHD YUNUS YAKKUB
Empat sekawan ketika tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Klang hari ini. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!
KLANG – Perbuatan jahat empat sekawan menculik seorang kanak-kanak perempuan kerana perselisihan faham dengan abang budak tersebut membawa padah apabila dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhi hukuman itu selepas kesemua tertuduh iaitu Alyaa Zahwa Salim dan Puteri Nurul Suhaila Abdullah masing-masing berusia 18 tahun dan Muhamad Adha Abdullah, 20 serta Muhammad Asran Ghazalie, 23 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah menetapkan hukuman itu berjalan dari tarikh kesemua tertuduh ditangkap pada 12 Oktober lalu.

Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama-sama telah menculik kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dari penjaga yang sah di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi di sini pada pukul 3 petang pada 8 Oktober lalu.

Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah pertanggungan membayar denda.

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh telah membawa mangsa menaiki kereta jenis Perodua Myvi yang disewa ke sebuah rumah di sebuah kampung di Segambut, Kuala Lumpur

Mangsa telah ditinggalkan di kediaman itu sebelum dihantar ke pulang ke rumah menggunakan kenderaan e-hailing pada 12 Oktober lalu selepas empat hari mangsa dilarikan.

Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhamad Saifullah Muhamad Azmi mewakili kesemua tertuduh dalam mitigasinya memaklumkan tiga daripada mereka merupakan pesalah muda dan berharap. mahkamah menggunakan budi bicara bagi mengenakan bon untuk kesalahan itu.

Tambahnya, kesemua mereka juga memohon maaf dan insaf serta tahu ia merupakan perbuatan yang serius.

“Tiga daripada mereka datang dari keluarga yang porak peranda iaitu ibu bapa telah bercerai dan tidak tinggal bersama.

“Punca sebenar bermula daripada insiden perselisihan faham antara tertuduh dan abang mangsa.

“Niat mereka untuk berjumpa dengan abang mangsa dan mengaku membawa budak perempuan itu ke rumah tersebut serta menahan di kediaman itu sementara menunggu abang mangsa datang,” jelasnya.

Muhamad Saifullah turut memberitahu, tiga termasuk dua remaja itu bekerja masing-masing sebagai tukang urut dan penjual di kedai rokok elektronik (vape).

“Mereka belum cukup matang untuk berfikir secara rasional terhadap perbuatan dilakukan. Mohon hukuman penjara singkat dari tarikh ditangkap memandangkan umur-umur tertuduh masih mudah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya NurulJannah Aimi membantah penggunaan seksyen itu (bagi pesalah muda) memandangkan kes tersebut telah mendapat perhatian umum dan viral.

“Jenayah culik adalah jenayah berat dan mangsa berusia 12 tahun. Tindakan melarikan mangsa selama empat hari telah mengakibatkan kecederaan pada mangsa berdasarkan laporan perubatan.

“Harap mempertimbangkan juga bahawa perasaan ibu bapa mangsa selepas anaknya hilang empat hari. Perasaan tidak tenteram itu perlu dipertimbangkan. Ketidakmatangan tidak boleh dijadikan alasan bagi mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang selepas turun mengambil dua peket mi segera di kereta yang diparkir di bawah rumahnya di Bandar Bukit Tinggi dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang pada 8 Oktober lalu.

Sepanjang tempoh kehilangannya mangsa bukan sahaja dicabul oleh beberapa suspek yang melarikannya malah dipercayai cuba dijual kepada sindiket pelacuran di ibu negara. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan