Empat sekawan dipenjara tiga tahun culik budak perempuan

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Klang : Empat sekawan termasuk dua wanita dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, bulan lalu.

Majistret Siti Zubaidah Mahat memerintahkan tertuduh Alyaa Zahwa Salim, 18; Putri Nurul Suhaila Abdullah, 18; Muhammad Asran Ghazalie, 23 dan Muhammad Adha Abdullah, 20, menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah menculik kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun daripada penjaga sah.

Perbuatan itu dilakukan mereka di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi, Klang kira-kira 3 petang, 8 Oktober lalu.

Susulan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Menurut fakta kes, kesemua tertuduh membawa mangsa menaiki kereta yang disewa ke rumah di Segambut, Kuala Lumpur.

Mangsa ditinggalkan di kediaman itu sebelum pulang menggunakan kenderaan e-hailing pada 12 Oktober selepas empat hari dilaporkan hilang.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Saifullah Muhamad Azmi yang mewakili kesemua tertuduh dalam mitigasinya memohon budi bicara mahkamah untuk mengenakan bon kelakuan baik terhadap tiga pesalah muda.

"Punca sebenar bermula daripada insiden perselisihan faham antara tertuduh dan abang mangsa. Niat mereka untuk berjumpa dengan abang mangsa dan mengaku membawa budak perempuan itu ke rumah tersebut sementara menunggu abang mangsa.

"Mereka sudah insaf dan saya percaya mereka masih belum cukup matang," jelasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nuruljannah Aimi membantah bon berkenaan kerana kes berkenaan mendapat perhatian umum serta tular.

"Jenayah culik adalah jenayah berat dan mangsa berusia 12 tahun. Tindakan melarikan mangsa selama empat hari menyebabkan kecederaan kepada mangsa berdasarkan laporan perubatan.

"Harap mempertimbangkan juga perasaan ibu mangsa selepas anaknya hilang empat hari. Ketidakmatangan tidak boleh dijadikan alasan bagi mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun," katanya.

Kanak-kanak perempuan itu dilaporkan hilang pada 8 Oktober sebelum ditemui selamat pada 12 Oktober.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan