Gabung parti Melayu ‘agak mustahil’, dihalang kehendak jadi ‘ketua’

Yasmin Abdul Latif

PETALING JAYA: Impian untuk melihat Umno, Bersatu, dan PAS bergabung barangkali akan meleset, lantaran persaingan antara mereka untuk menjadi ‘suara’ dan ‘ketua’ orang Melayu, menurut penganalisis.

Malah, pakar berpandangan ia barangkali tidak relevan hari ini memandangkan parti Melayu berpotensi menjadi kerajaan ialah sesiapa yang dapat bekerjasama dengan bukan Melayu.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, jika gabungan tiga parti itu terbentuk, ‘sesiapa yang menjadi pemimpin tertinggi, suara mereka akan dapat mengatasi suara bukan Melayu’.

“Persoalan sekarang adalah ketiga-tiga parti Melayu ini masih dapat bekerjasama atau tidak? Jawabnya ‘tidak’ sebabnya ketiga-tiga itu hendak menjadi ketua,” katanya kepada FMT.

Beliau menarik perhatian kepada gandingan PAS-Umno dalam Muafakat Nasional (MN) dan PAS-Bersatu dalam Perikatan Nasional, yang berhasil lantaran PAS ‘sudi menjadi nombor dua’.

Namun, prestasi PAS hari ini menunjukkan yang ia juga berpotensi menjadi ketua dalam kalangan parti Melayu, malah untuk mengemukakan calon perdana menteri.

“Jadi persoalan sekarang adalah bagaimana kerjasama itu kena wujud,” katanya.

Impian melihat parti Melayu bawah satu gabungan ditimbulkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Redzuan Yusof, dalam temubual dengan Utusan Malaysia semalam.

Temu bual itu muncul ketika Redzuan akan mempertahankan jawatan dalam MPT pada pemilihan Bersatu kali ini.

Impian itu bagaimanapun ditolak oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, yang menyifatkan naratif tersebut ‘basi’ dan peluang berkenaan sudah berlalu.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, menyifatkan impian menggabungkan parti Melayu ‘agak mustahil’.

“Sedangkan Umno, PAS dalam MN pun tak dapat bertahan lama dan tidak dapat dikembalikan permuafakatan itu, apa lagi bila dicampur dengan parti lain seperti Bersatu umpamanya,” katanya.

Azmi berkata, usaha itu memerlukan seorang tokoh neutral yang dapat mengembalikan kesepakatan orang Melayu.

“Saranan ini walaupun begitu ideal tetapi ianya mempunyai sesuatu kekuatan, kerana dalam keadaan politik sekarang yang mana tiada satu parti pun menjadi dominan nampak agak kucar-kacir dalam kestabilan, keharmonian politik kita.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan