Guna mimpi bertemu Nabi untuk tarik pengikut jahil, bekas YDP Yadim tuju kepada siapa?

SITI NUR ZAWANI

Banyak ajaran sesat yang menggunakan mimpi bertemu Nabi Muhammad untuk menarik pengikut jahil, kata bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.

Beliau berkata, sesuatu ajaran baru yang diambil dari mimpi bertemu Nabi dan menerima arahan baginda dari mimpi tersebut adalah sebahagian dari tanda ajaran sesat.

Katanya, jika dahulu orang menggunakan hadis palsu sebagai hujah untuk sokongan politik, kini mimpi bertemu Nabi pula digunakan.

“Dahulu orang mereka cipta hadis palsu sebagai hujah untuk mendapat sokongan untuk  gerakan politik mereka.

“Seperti misalnya gerakan Syiah. Sekarang mimpi bertemu Rasulullah yang digunakan.

“Jika pesan Rasulullah untuk sesuatu yang tidak berlawanan dengan syariat, cukuplah dengan dalil al-Quran dan Sunnah.

“Mengapa dibawa pula mimpi yang tidak syarie sebagai dalil. Apa tujuan ia dibawa bersama dengan dalil syarie yang sebenar,” katanya di Facebook hari ini.

Dalam hantaran berasingan, Mohd Nakhaie menyebut bahawa tanda lain yang menuju kesesatan adalah apabila parti Islam yang menyangka ia terlalu benar sehingga pemimpinnya tidak boleh ditegur.

“Mereka sangka parti Islam itu terlalu benar dan pemimpinnya tak boleh ditegur atau dikritik. Pegangan seperti ini jalan menuju kesesatan,” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya seseorang bermimpi Nabi menyampaikan sesuatu pesanan, adakah orang itu yakin  bahawa dia berada di jalan yang benar dengan mimpinya itu?

“Bagaimana pula dalam realiti hidupnya dia yakin Perlembagaan Negara ini thaghut dan pada waktu yang sama dia bersumpah dengan nama Allah untuk mempertahankan perlembagaan itu?

“Adakah apa yang dilakukannya itu benar dan dia yakin benar?,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan