Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
TANGKAP layar daripada video tular di Facebook menunjukkan kejadian.
Kajang: Tindakan seorang lelaki mengamuk dan menghambur kata-kata kesat serta menendang dinding kaunter tol di plaza tol berhampiran Jalan Batu 9 di sini, mengundang padah apabila ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, pihaknya maklum mengenai satu video tular di Facebook jam 11.13 pagi semalam, memaparkan kejadian pertengkaran pengguna jalan raya di plaza tol terbabit.
Menurutnya, video itu menunjukkan seorang lelaki keluar dari kenderaan dan terus ke kaunter tol sambil memarahi serta menendang dinding kaunter tol sebelum dia beredar.
"Berikutan kejadian ini, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menjalankan siasatan dan mendapatkan keterangan seorang wanita berusia 22 tahun yang berkerja sebagai jurutol.
"Mangsa menyatakan punca kejadian adalah kerana suspek berusia 31 tahun ditegur kerana mengetuk tempat kad Touch n Go dengan kuat semasa menggunakannya sebelum itu, lalu suspek terus mengamuk memarahi mangsa dengan bahasa kesat serta menendang dinding kaunter tol ketika kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, susulan itu, pada 7 malam, polis menahan suspek bersama sebuah Perodua Alza warna hitam di kawasan taman perumahan di Hulu Langat.
"Hasil pemeriksaan ujian awal air kencing, suspek yang berkerja sebagai mekanik positif methamphetamine dan mempunyai 17 rekod jenayah lampau
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.
Beliau berkata, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kejadian boleh berhubung terus dengan Balai Polis yang berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 bagi membantu siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan