Pemandu e-hailing cemas kereta 'terjun' tasik

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Video berdurasi satu minit 23 saat yang tular memaparkan sebuah kereta sedang tenggelam di dalam tasik berhampiran pusat beli-belah The Mines. FOTO Tular
Video berdurasi satu minit 23 saat yang tular memaparkan sebuah kereta sedang tenggelam di dalam tasik berhampiran pusat beli-belah The Mines. FOTO Tular
Serdang: Seorang pemandu e-hailing menempuh detik cemas apabila kereta dipandunya terbabas ke dalam tasik berhampiran pusat beli belah The Mines, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, berkata kejadian berlaku di laluan berhampiran The Heritage, di sini membabitkan seorang pemandu wanita kira-kira jam 3.30 petang.

"Ketika kejadian mangsa sedang memandu kereta jenis Toyota Vios dalam perjalanan untuk mengambil penumpang di Aestetica Residence di mana keadaan ketika itu hujan lebat.

"Ketika melalui lokasi kejadian mangsa mendakwa keadaan air bertakung dan cuaca hujan membuatkan dia tidak perasan lalu tiba-tiba terbabas ke dalam tasik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, wanita berusia 49 tahun itu bagaimanapun sempat keluar melalui tingkap bahagian pemandu sebelum kereta berkenaan tenggelam sepenuhnya.

Katanya, tidak lama kemudian mangsa diselamatkan oleh sebuah bot yang berada di kawasan tasik terbabit.

Terdahulu kejadian itu tular selepas satu klip video berdurasi satu minit 23 saat memaparkan kejadian itu dimuatnaik di TikTok dipercayai dirakam oleh pengunjung pusat beli-belah The Mines.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan