FMT Reporters
PETALING JAYA: Risikan polis mendapati seorang rakyat Malaysia menyertai peperangan di Ukraine.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata individu terbabit, seorang lelaki berusia 20 tahun dan berasal dari Kedah, memohon untuk menyertai tentera Ukraine secara dalam talian.
“Berdasarkan risikan kita mendapati subjek menyertai peperangan di Ukraine adalah kerana minatnya dalam ketenteraan dan tawaran gaji menarik antara USD400 hingga USD2,700 sebulan mengikut tahap bahaya di medan perang,” katanya lapor Berita Harian.
“Selain itu tekanan daripada pihak keluarga turut dipercayai adalah faktor penyebab subjek sanggup menjauhkan diri daripada keluarganya sehingga mencari pekerjaan di luar negara.”
Razarudin berkata lelaki itu dipercayai masih hidup dan berada dalam keadaaan selamat.
Razarudin berkata, semasa serangan dron Rusia, lelaki itu dilaporkan cuba lari menyelamatkan diri namun kad pengenalan dan lesen memandunya tercicir manakala pasportnya masih berada bersama dengannya.
Sebelum ini, gambar memaparkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia tular di media sosial.
Keluarga pemilik dokumen terbabit memaklumkan lelaki terbabit sedang melanjutkan pengajian di Ukraine, lapor Berita Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan