Warga asing cuba lolos pemeriksaan imigresen maut jatuh jejantas

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
FOTO tular polis melakukan siasatan di lokasi warga asing maut jatuh dari jejantas menghubungkan BSI, Johor Bahru.
FOTO tular polis melakukan siasatan di lokasi warga asing maut jatuh dari jejantas menghubungkan BSI, Johor Bahru.
Johor Bahru: Cubaan lelaki warga Sri Lanka untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) berakhir tragedi selepas dia maut terjatuh jejantas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian 4.48 petang, mangsa berusia lingkungan 30-an tergelincir dari jejantas menghubungkan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Katanya, mangsa kemudian terjatuh ke atas kereta Perodua Myvi yang melalui kawasan berkenaan.

"Dia disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan siasatan mendapati punca mangsa bertindak demikian kerana cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan pihak JIM BSI.

"Mayat mangsa dibawa ke HSA untuk bedah siasat. Tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu gambar insiden tular di media sosial, menunjukkan mayat lelaki di bawah jejantas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan