Kelantan: Budak 12 tahun bawa motosikal terbabas tali air, bayi maut

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
Mangsa yang dipercayai dipegang oleh abang kandungnya berusia lapan tahun tercampak ke dalam tali air. FOTO Ihsan Polis
Mangsa yang dipercayai dipegang oleh abang kandungnya berusia lapan tahun tercampak ke dalam tali air. FOTO Ihsan Polis
Bachok: Seorang bayi berusia 15 bulan ditemukan lemas dalam tali air di Kampung Tok Belian, Pengkalan Petah, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7.20 malam dan sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun membawa lima lagi kanak-kanak menaiki sebuah motosikal roda tiga jenis Suzuki RC110S menghala ke rumah melalui jambatan Kampung Tok Belian.

"Apabila tiba di kawasan tali air, motosikal roda tiga itu dipercayai hilang kawalan menyebabkan mangsa yang dipercayai dipegang oleh abang kandungnya berusia lapan tahun tercampak ke dalam tali air.

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan bantuan Pasukan Bomba Balai Bomba Bachok untuk mengesan mangsa dan lebih kurang pada jam 8.10 malam," katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa ditemui di dasar sungai pada kedalaman empat meter daripada lokasi kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal akibat 'lemas air'," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Ismail berkata, semakan pihaknya juga mendapati cukai jalan dan insurans motosikal berkenaan sudah tamat tempoh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua ibu bapa memantau pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan anak-anak berusia dibawah 18 tahun menungganng motosikal tanpa lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

"Sekiranya perkara yang sama terjadi, ibu bapa boleh didakwa dibawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 akibat kecuaian," katanya.

Kenderaan dinaiki empat penjenayah cuba rempuh polis

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis melepaskan lima das tembakan ke arah dua kenderaan dinaiki empat penjenayah selepas mereka bertindak agresif melanggar kereta peronda di Balakong.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata dalam kejadian 6.05 pagi itu, penjenayah yang menaiki Nissan Frontier dan BMW sengaja cuba melanggar kereta peronda yang sedang melakukan operasi mencegah kegiatan mencuri kabel.

Keadaan itu menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kedua-dua kenderaan yang dinaiki kumpulan penjenayah berkenaan dan menahan empat suspek berusia antara 28 hingga 36 tahun, katanya dalam kenyataan.

Semua anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati semua suspek mempunyai pelbagai rekod kes jenayah dan dadah.

Polis turut menemukan pelbagai peralatan mencuri kabel dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379/511.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis yang berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat kes ASP Mohd Afiq Farhan Mohd Nordi talian 012-2446768 bagi membantu siasatan.

Disyaki amang seksual pelajar junior, calon SPM direman 5 hari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan di kediaman suspek di Taman Keramat, Hulu Kelang, bulan lalu.

Difahamkan, pelajar Tingkatan Lima berusia 17 tahun itu dan mangsa 16 tahun dari sekolah sama berkenalan sejak Mei lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata mangsa dalam laporannya pada 30 Julai lalu mendakwa dibawa ke rumah suspek kira-kira 2 petang 25 Julai lalu sebelum mencabul serta melakukan amang seksual terhadapnya.

Mangsa kemudian memaklumkan kejadian itu kepada guru disiplin dan membuat laporan polis, katanya menurut Berita Harian.

Susulan itu, polis menahan suspek di Hulu Kelang kira-kira 9 malam tadi.

Menurutnya, suspek direman lima hari hingga 15 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Lelaki ini dikehendaki dalam kes 3 sekeluarga maut dalam kebakaran yang kemudian diklasifikasikan kes bunuh

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
AZMAN Mohamed diburu bagi membantu siasatan kes bunuh terhadap tiga sekeluarga. FOTO ihsan PDRM
AZMAN Mohamed diburu bagi membantu siasatan kes bunuh terhadap tiga sekeluarga. FOTO ihsan PDRM
Muar: Kes kebakaran yang meragut nyawa tiga sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, pagi semalam, bertukar menjadi kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ia berikutan laporan bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa mendapati terdapat unsur jenayah.

Beliau berkata, susulan laporan itu, kes pada awalnya disiasat sebagai mati mengejut kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 436 dan Seksyen 326 kanun sama.

"Seksyen 436 ialah melakukan khianat menggunakan api manakala Seksyen 326, menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata kepada mangsa yang hidup.

"Usaha mengesan suspek utama kejadian kebakaran itu yang dikenali sebagai Azman Mohamed, 48, giat dilakukan.

"Orang ramai mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592 atau hubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, 06-9564800 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Raiz Mukhliz berkata, polis giat mengesan lelaki terbabit membantu siasatan berhubung kebakaran yang meragut nyawa tiga sekeluarga itu.

Suspek adalah anak pasangan warga emas, Mohamed Yassin, 82, dan Ara Abd Hamid, 76, selain bapa saudara kepada arwah Noradriana Nor Hisyam, 11, yang maut tragedi menyayat hati itu.

Lelaki itu yang masih bujang dilaporkan menghilang diri selepas kejadian itu dengan menunggang sebuah motosikal.

Ketika kejadian, suspek berlima tinggal di rumah terbabit namun seorang daripadanya terselamat dan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Seorang lelaki Cuba terjun parkir akibat masalah keluarga

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Tangkap layar video kejadian itu.
SHAH ALAM – Masalah keluarga dipercayai punca seorang lelaki cuba terjun dari kawasan parkir sebuah pusat beli belah di Setia Alam di sini, baru-baru ini.

Kejadian tular pada 28 Julai lalu melibatkan mangsa berusia 26 tahun di tingkat enam bangunan tersebut.

Berdasarkan video berdurasi 39 saat memaparkan lelaki berkenaan duduk di tembok parkir bangunan itu sambil menjerit dan memegang telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan pihaknya mendapati lelaki tempatan itu cuba terjun dipercayai akibat masalah keluarga.

“Namun, mangsa diselamatkan seorang anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang kebetulan berada lokasi kejadian.

“Lelaki itu kemudian diserahkan kepada Pondok Polis Setia Alam dan berada dalam keadaan baik,” katanya hari ini.

Tambah beliau, pihaknya menghubungi waris dan menyerahkan kepada bapa saudara mangsa bagi tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut kemudian mendapati lelaki itu mempunyai masalah kesihatan mental dan menerima rawatan di Hospital Serdang.

“Mangsa juga dipercayai tinggal di luar kawasan Setia Alam,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Bapa Noradriana: Muka arwah anak saya hancur ada kesan ketukan objek tumpul

Alias Abd Rani
bhnews@bh.com.my
Nor Hasyim Tahir, bapa Allahyarham Noradriana, 11, ditemui pada pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, hari ini. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Nor Hasyim Tahir, bapa Allahyarham Noradriana, 11, ditemui pada pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, hari ini. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
MUAR: Luluh hati seorang bapa apabila menuntut jenazah anak di Unit Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dalam keadaan muka hancur serta kesan kecederaan akibat dihentak objek tumpul.

Nor Hasyim Tahir, 43, adalah bapa kepada Allahyarham Noradriana, 11, yang maut dalam kebakaran yang turut mengorbankan ibu dan bapa mentuanya pagi semalam, memberitahu muka anaknya hancur namun tidak mengetahui puncanya.

"Saya boleh cakap keadaan anak saya mukanya hancur disebabkan bekas ketukan. Saya tidak tahu apa puncanya.

"Menurut doktor, kesan kebakaran tidaklah teruk sangat malah kematiannya juga bukan disebabkan itu (kebakaran) tapi akibat ketukan kuat di kepala.
Nor Hisyam (baju T kelabu) pada pengebumian anaknya, Noradriana di di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, hari ini. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Nor Hisyam (baju T kelabu) pada pengebumian anaknya, Noradriana di di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, hari ini. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
"Itulah yang membuatkan saya sedih apabila menatap jenazahnya petang semalam," katanya ditemui selepas pengebumian Noradrian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, hari ini.
Lokasi kebakaran meragut nyawa tiga sekeluarga di Kampung Paya Redan, Pagoh. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Lokasi kebakaran meragut nyawa tiga sekeluarga di Kampung Paya Redan, Pagoh. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam, ibu bapa mentua, Mohamed Nor Mohamed Yasin, 82 dan isterinya Ara Abdul Hamid, 76, turut maut dalam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 85 peratus rumah separuh kayu.

Bagaimanapun, selepas kejadian itu, seorang anak pasangan warga emas yang juga bapa saudara arwah Noradriana, Azman Mohamed, 48, menghilangkan diri dan gagal dikesan hingga kini.
Allahyarham Noradriana (kanan) bersama datuk dan nenek yang turut terkorban dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, pagi semalam. - Foto pembaca
Allahyarham Noradriana (kanan) bersama datuk dan nenek yang turut terkorban dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, pagi semalam. - Foto pembaca
Sementara itu, jiran Ghazali Abd Rahman, 53, pada hari kejadian mereka terdengar bunyi letupan dan menyangka ada penduduk bermain mercun.

Menurutnya lagi, apabila keluar rumah, dia melihat seorang remaja berlari di tengah jalan lalu meminta bantuan isterinya, Rozana Abdullah, 48, untuk memeriksa.

"Sebaik melihat Norazima Mohd Radhi, 14, remaja terus mendakap isteri saya dalam keadaan berlumuran darah.

"Pada masa sama, salah seorang anak saya melihat Azman menunggang motosikal berada di belakang Norazima.

"Namun, dia tidak memberhentikan motosikal sebaliknya meneruskan perjalanan memandangkan ada sebuah motosikal yang kebetulan melalui lokasi kejadian," katanya.

Katanya lagi, anaknya terus menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan memandangkan keadaan Norazima trauma seperti ketakutan.

"Saya beranggapan mungkin Azman mengejarnya namun tidak berhenti selepas melihat ada penduduk melalui lokasi," katanya.

Pengedar guna dron hantar dadah ke dalam Penjara Tapah

Rosman Shamsudin
bhnews@com.my
Dron yang ditemui digunakan untuk menghantar dadah ke dalam Penjara Tapah pagi semalam. - Foto ihsan PDRM
Dron yang ditemui digunakan untuk menghantar dadah ke dalam Penjara Tapah pagi semalam. - Foto ihsan PDRM
TAPAH: Cubaan menyeludup barangan merbahaya disyaki dadah dengan menggunakan dron yang diterbangkan ke sebuah penjara di sini, gagal apabila disedari seorang petugas Penjara Tapah Road di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Tapah menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 5 petang, semalam.

Katanya, seorang kakitangan penjara membuat laporan polis selepas menemui sebuah dron berwarna putih di atas bumbung salah sebuah blok penjara.

"Dron berkenaan dijumpai ketika kakitangan penjara bersama anggota lain membuat rondaan pada hari yang sama kira-kira jam 11.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan susulan laporan dibuat pengadu, polis menjumpai satu beg dobi yang digantung pada dron terbabit," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu paket plastik lut sinar yang mengandungi tiga paket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.

"Dadah jenis heroin berat kira-kira 122 gram, manakala dua paket plastik lut sinar pula berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram.

"Hasil pemeriksaan awal, modus operandi yang digunakan untuk membawa masuk dadah ke dalam penjara dengan menggunakan dron dari luar negara merupakan kes pertama diterima setakat ini," katanya.

Azizi berkata, pihak polis memandang serius dengan aktiviti penyeludupan dadah dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas penjenayah kes penyeludupan dadah.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.

Gagal kawal motosikal, isteri tercampak sebelum digilis bas

NURUL IZZATI ZAINI
Lokasi kejadian seorang wanita maut digilis bas setelah tercampak dari motosikalnya dalam kejadian di MRR2 dari arah Kampung Pasir menghala ke Gombak, pagi tadi.
AMPANG JAYA – Seorang wanita maut selepas tercampak daripada motosikal sebelum digilis sebuah bas dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Kampung Pasir menghala ke Gombak, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, mangsa wanita berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan bersama suaminya berusia 28 tahun ke tempat kerja di Gombak.

Ujarnya, apabila sampai di tempat kejadian, suami mangsa gagal mengawal motosikal kerana mengelak kenderaan di hadapannya sebelum terjatuh ke atas jalan raya.

“Isterinya yang membonceng tercampak sehingga digilis sebuah bas yang sedang melalui jalan tersebut sehingga mengalami kecederaan parah di kepala.

“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian manakala suaminya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari in.

Ujar Mohd. Azam, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian

“Saksi boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Peras peniaga burger, 2 anggota polis ditahan

Bernama

SHAH ALAM: Dua anggota polis peronda yang disyaki melakukan pemerasan wang terhadap seorang peniaga burger sambilan ditahan Rabu lalu.

Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong, berkata anggota terbabit ditahan sehari selepas pengadu membuat laporan berhubung kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada lelaki berusia 22 tahun bekerja sebagai peniaga burger sambilan mendakwa anggota terbabit melakukan pemerasan wang ketika ingin menghantar pesanan pelanggan ke Bukit Tinggi, Klang.

Katanya, dalam kejadian kira-kira 1.10 pagi pada 6 Ogos itu, mangsa yang menaiki motosikal ditahan oleh suspek dengan kereta peronda di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) sebelum susur keluar ke Bandar Puteri, Klang.

“Semasa pemeriksaan dilakukan oleh suspek, anggota terbabit mendapati cukai jalan motosikal ditunggang mangsa tamat tempoh dan dipercayai menggunakan kesalahan ini untuk meminta sejumlah wang daripada mangsa bagi mengelakkan motosikalnya disita.

Setelah berbincang, mangsa memasukkan wang tunai sebanyak RM90 ke dalam plastik berisi burger dan menyerahkan kepada suspek, katanya dalam kenyataan.

Cha berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Lelaki dipercayai bunuh isteri dengan letak bom dalam mulut mangsa

BuletinTV3

BANGKOK: Seorang lelaki dari wilayah utara Mae Hong Son di Thailand, dipercayai membunuh isterinya dengan meletakkan bom di dalam mulut mangsa, 6 Ogos lalu.

Memetik laporan The Straits Times, suspek berusia 54 tahun itu yang dikenali sebagai Yon bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Mangsa yang dikenali sebagai Luen, 53, ditemui dalam keadaan yang mengerikan dengan kepalanya berlumuran darah dan mengalami kecederaan besar pada mulut dan mukanya.

Beberapa giginya berada di lantai bilik tidurnya, dengan serpihan bom ping pong dan bom yang tidak digunakan daripada jenis sama turut ditemukan di tempat kejadian.

Menurut laporan media lain, alat letupan ini dikenali sebagai bom ping pong kerana saiznya lebih kurang sama dengan bola ping pong.

Yon melaporkan kematian isterinya kepada seorang ketua kampung pada tengah malam, mendakwa bahawa dia bangun sebelum mendapati isterinya mati.

Ketua kampung itu berkata, dia tidak segera memaklumkan kepada polis.

Menurut penyiar Thai Channel 7, Yon tidak bersuara dan kelihatan tidak berminat apabila polis menyiasat tempat kejadian.

Anak perempuan pasangan itu yang berusia 24 tahun kemudian tiba di tempat kejadian dalam keadaan menangis sambil menuduh bapanya sebagai pembunuh.

Menurut laporan lain, Yon sebagai berkata, dia tidur di bilik yang sama dengan Luen, tetapi tidak mendengar sebarang letupan.

Penduduk tempatan memberitahu pemberita bahawa Yon mempunyai kecenderungan untuk cemburu, dan sering bertengkar dengan isterinya selepas minum arak.

Kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pemain sempat elak pesawat terhempas atas padang golf

KOSMO!
SEBUAH pesawat ringan menggelongsor di atas sebuah padang golf. - Foto Metro UK
WASHINGTON – Sebuah pesawat ringan mendarat cemas dan nyaris merempuh seorang pemain yang sedang berlatih di sebuah padang golf di California, lapor akhbar Metro UK semalam.

Kejadian berlaku di Kompleks Haggin Oaks Golf, Sacramento, pada Ahad lalu.

Kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) merakam detik pesawat ringan itu membuat pendaratan cemas di hadapan pemain golf dikenali sebagai Tim Colin.

Lelaki tersebut dilihat melompat ke belakang kerana terkejut dengan pendaratan cemas itu.

Bagaimanapun, pesawat terbabit tidak melanggar mana-mana kenderaan di tempat letak kereta atau struktur lain.

Colin berkata kepada saluran televisyen KCRA: “Kami mendengar seperti bunyi dentuman yang kuat tetapi tidak tahu bahawa ia adalah sebuah pesawat.”

Pesawat Piper PA-28 enjin tunggal itu dilaporkan mengalami kegagalan enjin semasa berlepas dari lapangan terbang McClellan. Ia kemudian menjunam kira-kira 121 meter dari udara, demikian menurut seorang pegawai penerbangan.

“Mujurlah terdapat padang golf berhampiran untuk ia mendarat,” kata seorang pegawai bomba daripada Jabatan Bomba Sacramento, Kapten Justin Sylvia.

Pesawat itu berhenti sejurus berada di hadapan sebuah kedai, manakala juruterbangnya keluar dari kapal terbang dalam keadaan menggeletar. – AGENSI

Whatt? Atlet Paraguay kena usir dari perkampungan Olimpik kerana terlalu cantik

KOSMO
Perenang Paraguay, Luana Alonso. - Instagram
PARIS – Perenang Paraguay, Luana Alonso didakwa diusir keluar dari perkampungan atlet dan dihantar pulang ke negaranya gara-gara terlalu cantik sehingga mengganggu tumpuan atlet lain dan pasukannya sendiri.  

Menurut laman berita Economic Times semalam, atlet cantik itu diminta meninggalkan perkampungan tersebut dan dihantar pulang, beberapa hari sebelum acara penutupan Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Paraguay, Larissa Schaerer menyatakan, kehadiran Alison memberi ‘kesan yang tidak wajar’ kepada seluruh kontinjen. 

“Kehadirannya mewujudkan suasana yang tidak sesuai dalam pasukan Paraguay,” kata Schaerer.

Kecantikan Alonso juga didakwa mengalih perhatian pesaing lain. 

Bagaimanapun, beberapa laporan lain menyatakan bahawa Alison dihalau keluar kerana ‘berkelakuan tidak senonoh’ terhadap atlet lain. 

Lebih mengejutkan orang ramai apabila Alonso mengumumkan persaraan dari sukan itu pada usia 20 tahun. 

Alonso membuat penampilan pertama di Olimpik Tokyo, tiga tahun lalu ketika berusia 17 tahun. – AGENSI

2 wanita cedera diserang dalam tandas surau, polis buru suspek

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Lokasi kejadian wanita cedera diserang seorang lelaki bersenjata pisau di dalam tandas sebuah surau berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini.FOTO Ihsan Polis
Lokasi kejadian wanita cedera diserang seorang lelaki bersenjata pisau di dalam tandas sebuah surau berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini.FOTO Ihsan Polis
Petaling Jaya: Dua wanita cedera selepas dipercayai diserang lelaki bersenjatakan pisau di sebuah surau berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang, lelaki terbabit yang memakai pelitup muka dikatakan masuk ke kawasan surau berkenaan dan mengamuk.

Sumber berkata, suspek yang bersenjatakan pisau dikatakan menyerang seorang wanita di dalam tandas perempuan dan menikam perut mangsa.

"Suspek turut dikatakan menyerang seorang lagi mangsa di kawasan sama menyebabkan cedera di kepala dan badan," katanya.

Katanya, suspek dipercayai melarikan diri selepas kejadian.

Menurut sumber, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, polis sedang giat memburu suspek.

Beliau berkata, satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas ini.

Saksi: Guru dilibas suspek kes serang di tandas surau

Bernama

PETALING JAYA: Seorang saksi kes serangan lelaki bersenjatakan pisau di tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya memaklumkan terdengar jeritan meminta tolong sebelum guru besar Sekolah Agama Rakyat (Kafa) Al-Ehsaniah bergegas memberi bantuan.

Salwiah Yusof yang juga guru sekolah agama itu berkata dalam kejadian 1.30 tengah hari tadi, dia bersama guru besar serta beberapa guru wanita lain sedang membuat persiapan pembelajaran sesi petang yang akan bermula selepas solat Jumaat.

“Bagaimanapun, tiba-tiba kami terdengar jeritan meminta tolong dari arah tandas surau yang tidak jauh dari sekolah menyebabkan guru besar segera ke tandas itu untuk melihat apa yang sedang berlaku, tetapi kami masih di dalam kelas.

“Bagaimanapun tidak lama selepas itu, kami terdengar jeritan meminta tolong semakin kuat menyebabkan saya dan beberapa guru wanita berlari untuk melihat apa berlaku sebelum menemukan guru besar dalam keadaan cedera pada pergelangan tangan.

Seorang lagi wanita yang dipercayai singgah di surau berkenaan untuk solat Zuhur cedera pada perut dan kepala akibat dilibas dengan pisau, namun kelibat lelaki terbabit tidak kelihatan dipercayai sudah melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan, katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Salwiah berkata guru besar sempat memaklumkan semasa hendak masuk ke tandas itu, dia melihat wanita berusia 26 sedang bergelut dengan suspek dan ketika cuba membantu, dia turut dilibas dengan pisau pada bahagian tangan.

Sementara itu, Pengerusi Surau dan Kafa Al-Ehsaniah, Roselee Mohamed, berkata sebelum ini pernah berlaku rompakan di surau itu.

Sebelum ini pernah berlaku rompakan di dalam surau ini, namun kejadian serangan menggunakan senjata kali pertama terjadi, katanya kepada pemberita.

Roselee berkata kawasan surau itu dilengkapi tiga kamera litar tertutup.

Dalam kejadian itu, dua wanita cedera dipercayai diserang seorang lelaki menggunakan pisau di dalam tandas surau terbabit.

Polis sedang giat mengesan suspek dan menyiasat motif sebenar serangan.

Tak mengaku mabuk langgar dua pelajar

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
OZEY Binau (kiri) nafi memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebakan kecederaan terhadap dua pelajar perempuan Isnin lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
OZEY Binau (kiri) nafi memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebakan kecederaan terhadap dua pelajar perempuan Isnin lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
Melaka: Pekerja pasar raya dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, tadi, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan dua pelajar perempuan yang menaiki sebuah motosikal, Isnin lalu.

Tertuduh, Ozey Binau, 25, berasal dari Beluran, Sabah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan dan diterangkan pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Prosiding kes didengar Majistret Khairunnisak Hassni manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 172 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) darah, melebihi tahap dibenarkan 50mg per 100 ml darah, iaitu lebih 122mg hingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan kepada penunggang dan pembonceng motosikal iaitu Nurhannani Iffah Rosman dan Hasya Nur Amira Mohd Hader, kedua-duanya berusia 17 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di persimpangan lampu isyarat Cheng Height, di sini, pada 6 Ogos lalu, kira-kira jam 4 petang.

Dia didakwa di bawah Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM30,000 hingga RM50,000.

Jika sabit kesalahan, lesen memandu akan diendorskan serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama maksimum tujuh tahun dan lesen memandu percubaan, jika ada, dibatalkan.

Terdahulu, Wardah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan kerana dia hanya bekerja di pasaraya dengan gaji RM2,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan sementara menunggu perbicaraan selesai dengan jaminan RM6,000 dan menetapkan kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam pada 12 September depan.

Media sebelum ini melaporkan dua pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Tun Hj Abdul Malik, Cheng, cedera akibat dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Cheng Height.

Dalam kejadian jam 4 petang Selasa lalu, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Yamaha Ego Avantiz mengalami luka di dahi, kaki dan tangan.

Pemimpin Pas ini pakai baju LV sambil agih Maggi kepada orang Asli jadi bualan

SITI NUR ZAWANI
Kehadiran seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) menyantuni penduduk orang Asli di DUN Nenggiri dengan menggayakan baju dari jenama mewah Louis Vuitton menjadi bualan ramai.

Beberapa gambar Tan Sri Annuar Musa yang sedang mengagihkan sumbangan makanan berbentuk Maggi dan biskut kepada orang Asli agak menimbulkan kontroversi.

Ini kerana beliau mengenakan jersi dari jenama mewah yang berharga puluhan ribu ringgit sambil mengagihkan sumbangan Maggi yang dianggap “tidak seberapa”.

Hasil semakan, baju Patchwork Baseball Jersey Blouson dari LV itu berharga HK$ 23,900 atau RM13,638.87.

Pengguna media sosial mengkritik pemilihan fesyen pemimpin Pas itu yang dianggap “disconnected” atau tidak kena pada waktunya kerana dia menghadiri majlis bersama rakyat marhaen.

Beliau secara terang-terangan menunjukkan kekayaannya ketika bertemu orang Asli amat tidak disenangi ramai.

“Betul betul out of touch dengan reality. Ini satu baju je boleh cover satu program tu. 

“Pakai macam ni masa kau jalan-jalan dekat Paris boleh lah. Ini tak kena tempat. Jenama tempatan tak ada ke. Mi Mamee made in Melaka tu hina sangat ke? The audacity,” kata Yohan di X.
Selain itu, isu boikot juga ditimbulkan kerana Annuar Musa dilihat mengagihkan mi segera dari jenama Maggi yang merupakan antara jenama diboikot.

Mereka membangkitkan isu boikot kerana Pas diketahui sering bersemangat mengajak orang ramai memboikot produk yang mempunyai kaitan dengan Israel.

DAP tuntut individu gelar parti itu sebagai kafir harbi mohon maaf

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: DAP menuntut individu yang mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu adalah 'kafir harbi di Malaysia' supaya memohon maaf.

Kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman berkata, individu itu dipercayai pengerusi majlis mengeluarkan kenyataan itu pada program ceramah Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.

"Kami merujuk kenyataan dalam sebuah rakaman video yang tular memaparkan program ceramah Pas dan PN semasa PRK Nenggiri. Seorang individu yang kami percaya mempengerusikan majlis mengeluarkan kenyataan bahawa DAP adalah 'kafir harbi di Malaysia'.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan itu. DAP adalah sebuah parti politik yang sah dan mempunyai keanggotaan daripada pelbagai kaum termasuk beragama Islam," katanya.

Menurut kenyataan itu, ceramah berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut katanya, istilah 'kafir harbi' adalah istilah fiqah klasik yang muncul dalam konteks zaman wujudnya ancaman perang dan bunuh dari negara orang kafir (darul harb) ke atas negara umat Islam (darul Islam).

"Golongan kafir itu diklasifikasikan sebagai 'kafir harbi' dan halal darahnya untuk diperangi demi mempertahankan kedaulatan diri dan tanah air umat Islam.

"Justeru, kenyataan melampau yang muncul menerusi rakaman video ceramah Pas di Nenggiri itu adalah sesuatu perbuatan takfiri terhadap ahli parti DAP yang beragama Islam yang langsung tidak boleh diterima.

"Kami menuntut individu dalam rakaman video itu meminta maaf terhadap semua ahli DAP beragama Islam yang dihukum sebagai kafir oleh beliau. Kami menuntut kepimpinan Pas dan PN supaya menyatakan pendirian sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau individu itu," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya juga menggesa pihak PN berkempen dengan matang dan sejahtera serta tidak memainkan politik kebencian.

Terdahulu tular satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dipercayai pengerusi majlis yang mendakwa DAP sebagai kafir harbi di Malaysia.

Tesla alami kerugian, tidak mampu bersaing dengan EV China - PM

Ili Aqilah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Tesla mengalami kerugian dan bergelut dengan persaingan sengit daripada pengeluar kenderaan elektrik (EV) China.

Bercakap kepada media, Anwar berkata bahawa Tesla memaklumkan demikian kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), yang diketuai oleh Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Operasi mereka di Thailand adalah besar. Sedangkan kita baru nak mula.

“Itulah yang kami diberitahu, bukan daripada liputan (media) lain. Itu daripada Tesla,” katanya.

Pada Rabu lalu, portal berita Thailand The Nation melaporkan bahawa Tesla telah membatalkan rancangannya untuk membina kilang pembuatan EV di negara Asia Selatan dan sebaliknya menumpukan pada pembangunan stesen pengecasan.

Pakar buaya dijel 10 tahun kerana dera anjing secara seksual

Agensi
ADAM Britton merakamkan dirinya mendera dan membunuh anjing dalam kontena perkapalan di Darwin, Australia. FOTO Facebook
ADAM Britton merakamkan dirinya mendera dan membunuh anjing dalam kontena perkapalan di Darwin, Australia. FOTO Facebook
Canberra: Pakar buaya terkenal kelahiran Britain, Adam Britton dihukum penjara 10 tahun dan lima bulan pada Khamis, di Australia, atas berpuluh-puluh kes penderaan seksual anjing.

Britton yang pernah bekerja BBC dan National Geographic, mengaku bersalah atas 56 pertuduhan berkaitan kekejaman haiwan.

Britton juga mengaku atas empat pertuduhan mengakses bahan penderaan kanak-kanak.

Ketua Hakim Michael Grant memberi amaran kepada mahkamah bahawa perincian jenayah Britton sangat mengerikan sehingga apabila dibacakan dengan kuat, ia boleh menyebabkan kejutan saraf.

Ketika ia dibacakan, beberapa orang bergegas keluar dari bilik. Orang lain yang menonton dari galeri mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap Britton.

Britton juga didakwa memanipulasi haiwan peliharaannya sendiri, tetapi hanya menganiaya anjing lain dengan teruk.

Menurut dokumen mahkamah, dalam tempoh 18 bulan sebelum penahanannya, Britton menyeksa 42 anjing dan membunuh 39 daripadanya.

Dia akan mencari anjing di laman web Gumtree Australia, di mana banyak keluarga sering mencari rumah baharu untuk haiwan peliharaan, jika mereka terpaksa berpindah.

Britton kemudiannya akan mendera haiwan itu dalam bekas yang direka khas yang dilengkapi dengan peralatan rakaman.

Dia akan memuat naik bahan itu ke internet. Lelaki itu ditangkap kerana dalam satu klip di mana dia menyeksa lapan anjing, termasuk tujuh anak anjing. Britton ditangkap pada April 2022.

Polis merampas bahan rakamannya dan menemukan 15 fail yang mengandungi bahan penderaan kanak-kanak.
-hmetro 

4 anggota polis ditahan berkait kehilangan komponen Yamaha RXZ di stor barang kes

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

Chukai: Empat anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan komponen motosikal jenis Yamaha RXZ di stor barangan kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, semua suspek yang ditahan itu berusia antara 26 hingga 32 tahun.

Menurutnya, kesemua anggota terbabit ditahan selepas polis mendapati berlaku kehilangan komponen enjin motosikal di stor simpanan terbabit.

"Pihak kami kemudiannya menjalankan siasatan sebelum menahan semua suspek untuk siasatan lanjut.

Suspek kes samun ditahan selepas akad nikah
Disember 14, 2021 @ 3:42pm
"Siasatan mendapati kesemua suspek memiliki motosikal jenis sama dan peminat tegar RXZ," katanya.

Hanyan berkata, reman ke atas semua suspek berakhir pada hari ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan," katanya.

Datuk, nenek dan cucu maut dalam kebakaran rumah di Pagoh

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

KEBAKARAN sebuah rumah hingga meragut nyawa tiga sekeluarga di Pagoh awal pagi tadi. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Tiga sekeluarga maut, manakala seorang cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini, awal pagi tadi.

Mereka yang meninggal dunia dalam tragedi jam 1.30 pagi itu adalah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; isterinya, Ara Abdul Hamid, 76; serta cucu mereka, Noradriana Nor Hisyam, 11.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, seorang lagi cucu mereka, Norazima Mohd Radhi, 14, cedera, dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Beliau berkata, Mohamed Nor dan Ara ditemukan maut di tempat kejadian, manakala Noradriana meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF.

"Menurut saksi, kebakaran 1.30 pagi itu membabitkan rumah separuh kayu dan batu dengan mangsa terbabit adalah empat orang.

"Sebaik menerima laporan itu, polis menggerakkan anggota ke lokasi, yang turut disertai bomba dan juga kakitangan Klinik Kesihatan Pagoh," katanya ketika dihubungi.

Raiz Mukhliz berkata, punca kejadian belum dikenal pasti dan kebakaran itu memusnahkan 85 rumah didiami keluarga terbabit.

"Api berjaya dipadamkan pada 4.15 pagi dan mayat mangsa dibawa ke HPSF untuk bedah siasat," kataya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Mohd Fadli Ismail ketika dihubungi berkata, salah seorang mangsa berjaya diselamatkan orang awam.

Katanya, mereka cuba menarik keluar tiga lagi mangsa, namun gagal, disebabkan api sudah marak.

"Ketika diselamatkan, Noradriana masih bernyawa dan terus dibawa ke HPSF namun meninggal dunia ketika menerima rawatan." katanya.

Polis panggil ibu bapa remaja menyamar pegawai perubatan

Samadi Ahmad
bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Ibu bapa remaja perempun berusia 14 tahun yang menyamar sebagai kakitangan Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang malam ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata siasatan awal mendapati bapa remaja itu tidak bekerja manakala ibunya bertugas di sebuah pusat beli belah di ibu negara.

"Tubuh remaja ini agak besar berbanding remaja lain yang seusia dengannya serta sukar untuk dibezakan.

"Polis akan menjalankan siasatan sama ada suspek mengalami masalah mental atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan ditahan selepas dikesan menyamar sebagai pegawai perubatan di HSIS.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof. - Foto fail NSTP
Dia ditahan selepas pihak hospital membuat laporan mengenai seorang remaja perempuan yang mengaku dirinya sebagai pegawai perubatan dan menawarkan diri untuk membantu menjalankan satu pembedahan, tengah hari semalam.

Mungkinkah PN berubah wajah selepas Nenggiri?

Mohsin Abdullah

Jika boleh seberang-menyeberang berdasarkan persamaan, mungkinkah kelak difikirkan PAS dan Bersatu wajar dijadikan satu entiti?

Apabila Perikatan Nasional menamakan calonnya untuk PRK Nenggiri, saya melihat implikasi mendalam dan boleh membuka kemungkinan PN berubah wajah. Dalam lain perkataan ubah komposisi.

Kerusi DUN Nenggiri pada PRN tahun lalu diperuntukkan kepada Bersatu. Nenggiri merupakan satu daripada enam kerusi yang diserahkan PAS kepada rakan mereka dalam PN.

Lalu bertandinglah Mohd Azizi Abu Naim menggunakan logo PAS yang sinonim dengan pengundi Kelantan. Strategi tepat. Azizi menang. Namun tidak lama kemudian beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ini diikuti perisytiharan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah bahawa kerusi Nenggiri kosong bermula 19 Jun lalu. Keputusan itu susulan DUN Kelantan menerima notis bertulis daripada Bersatu yang memaklumkan Azizi hilang keahlian Bersatu lalu berlaku kekosongan luar jangka.

Apabila kekosongan terjadi pilihan raya kecil mesti diadakan. Pemimpin PAS Kelantan mahu mendapatkan semula kerusi Nenggiri. Pada pandangan saya tidak mustahil PAS pusat dalam diam sependapat kerana kemenangan di Nenggiri lebih cerah jika PAS yang bertanding.

Kalau calon Bersatu boleh menang tahun lalu dengan lambang PAS, apa lagi kalau PAS ori yang bertanding.

Namun pemimpin tertinggi PAS terikat dengan keputusan awal yang memberi Nenggiri kepada Bersatu. Maka PN di mana PAS menjadi tulang belakang memutuskan Nenggiri tetap ditandingi Bersatu. Nampak gentleman PAS berpegang pada janji walaupun mungkin dalam hati mahukan kerusi itu semula.

Bagaimanapun langkah bijak dilaksanakan PAS. Pemimpin Pemuda PAS Gua Musang Mohd Rizwadi Ismail keluar PAS dan menyertai Bersatu sekali gus dinamakan calon Bersatu untuk PRK Nenggiri.

Kita diingatkan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah (musuh ketat PAS) Ridzwan Abu Bakar bahawa sebelum ini PAS menghukum tindakan keluar parti sebagai haram. Di Facebook beliau menegaskan ketika kami keluar dari PAS kami dianggap meninggalkan jamaah Islam lalu dibaca hadith ‘sesiapa yang keluar jamaah Islam walaupun sejengkal maka tertanggallah islam dari tengkoknya’ lalu dihukumlah dengan pelbagai hukum.

Kali ini berbeza. Rizwadi keluar PAS dengan restu kepimpinan parti. Surat mengizinkan beliau keluar parti dikatakan ditandatangani sendiri oleh Setiausaha Agung Takiyuddin Hasan. Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik Malaysiakini berkata keputusan supaya Rizwadi menyertai Bersatu satu ‘taktik strategik’.

Rizwadi mendedahkan pemimpinnya yang bertanggungjawab membawa beliau ‘berhijrah’ ke Bersatu. Beliau dipetik Harakahdaily berkata beliau akur selepas diminta berkali-kali oleh pihak atasan PAS, termasuk dalam kalangan pemimpin tertinggi parti.

Ekoran itu saya mendapat kepastian daripada Mursyidul Am Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Kelantan Ahmad Yakob dan Presiden Hadi Awang memandangkan saya diminta menyertai Bersatu.

Hakikatnya Rizwadi diminta ‘berkorban’ dengan berhijrah. Saya ulangi itu strategi bijak. Sama ada its morally right soal lain. Dalam politik lazimnya matlamat menghalalkan cara.

Kata Ketua Penyelidik Yusri Ibrahim di Ilham Centre, calon Bersatu PRN 2023 melompat selepas menang, calon Bersatu PRK 2024 melompat untuk jadi calon. Itu kata beliau dalam istilah atau lelucon kedai kopi untuk berbunyi lebih akademik saya namakan sebagai calon hibrid.

Menurut Yusri, hibrid istilah kejuruteraan generik. Bahasa awamnya adalah kacuk — dengan kata lain calon PN untuk PRK Nenggiri kacukan PAS-Bersatu.

Kesimpulannya Bersatu nampak macam dapat jadi calon tetapi tidak. PAS nampak macam terlepas peluang bertanding tetapi tidak. Kerana yang bertanding orang PAS walaupun atas kertas Bersatu.

Adakah Bersatu tidak punyai orang sendiri yang layak untuk dijadikan calon? Kata Takiyuddin PAS adalah kakak manakala Bersatu adalah adik. Situasi yang berlaku apabila si adik mempunyai ladang, kebun getah yang luas namun kekurangan anak lelaki menyebabkan dia meminta bantuan anak kakaknya.

Maksudnya Bersatu tidak cukup anak lelaki (anak jantan dalam istilah lazim orang Melayu) untuk mengerjakan ‘ladang’?

Berbalik tajuk penulisan ini. Apa pun yang berlaku di Nenggiri membuka pelbagai kemungkinan. Kata Ketua PAS Gua Musang Azman Ahmad kepada FMT Kita adik-beradik boleh pergi mari. Bersatu boleh ke PAS, PAS boleh pergi ke Bersatu.

Ertinya PAS dan Bersatu boleh merentasi parti. Tidak ada sempadan. Adakah ini akan jadi amalan di seluruh negara bagi PAS dan Bersatu? Saya tidak dapat pastikan sama ada Takiyuddin ada bercakap senada ketua Gua Musang.

Cuma ingin bertanya mungkinkah amalan itu akan akhirnya membawa kepada penubuhan hanya satu parti Melayu-Islam dalam PN? Jika boleh ‘pergi mari’ atau seberang-menyeberang berdasarkan persamaan, mungkinkah kelak difikirkan PAS dan Bersatu wajar dijadikan satu entiti? Kerana PAS dan Bersatu dilihat sebagai satu maka wajar disatukan tetapi at the expense of Bersatu?

Memandangkan PAS kuat dan dominan dalam PN, adakah mungkin difikirkan lebih afdal Bersatu dibubarkan, ahlinya masuk PAS, dan PAS menjadi parti Melayu-Islam tunggal dalam PN?

Imbau kembali catatan Ridzwan di Facebook yang disebut tadi. Selain yang ditulis di perenggan terdahulu, beliau juga menegaskan: Bila kami isytiharkan Parti Amanah Negara adalah parti berteraskan Islam, PAS pun kata ‘tak boleh ada jamaah Islam kedua’, dibacakan hadith ‘apabila dibaiah khalifah yang kedua,maka perangilah yang berbaiah’.

Dua beradik diculik lima lelaki kerana enggan bayar ganti rugi kenderaan

Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my

SHAH ALAM: Lima lelaki termasuk dua warga asing, ditahan kerana menculik dan melarikan dua beradik dari sebuah rumah dekat Jenjarom, Kuala Langat pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata kesemua lelaki berusia dalam lingkungan 22 hingga 37 tahun itu ditahan di Bandar Bukit Raja, Klang awal pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada kakak mangsa berhubung kejadian itu pada pagi Isnin lalu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang berusia 26 dan 20 tahun dilarikan beberapa lelaki yang bersenjatakan batang besi di rumah keluarganya.

"Beberapa minit kemudian, hanya salah seorang mangsa pulang dan telefon bimbit abangnya gagal dihubungi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Ridhwan berkata hasil maklumat membawa kepada penahanan lima suspek pada jam 2.30 pagi tadi.

"Polis turut berjaya menyelamatkan mangsa di sekitar Bandar Bukit Raja, Klang.

"Serbuan itu turut membawa rampasan sebuah kenderaan curi selain beberapa peralatan pecah rumah dan barang hasil kegiatan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata, motif awal kejadian dipercayai berpunca mangsa tidak mahu membayar ganti rugi kenderaan suspek yang rosak selepas dipinjamnya.

Katanya, semakan mendapati dua suspek tempatan memiliki rekod jenayah lampau dan pihaknya berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di daerah ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 365, 379A serta 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Kita yang tak kuat iman ambil rasuah, salahkan pula kaum lain, pedas ucapan Ayob Khan

SITI NUR ZAWANI

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay menyinggung sikap kebanyakan orang hari ini yang mengaitkan amalan rasuah dengan isu kaum.

Kata beliau, ada pihak yang apabila didakwa atas perbuatan rasuah, mereka menyalahkan kaum lain.

“Ada juga pihak-pihak tertentu yang cuba mengaitkan ini (rasuah) dengan isu perkauman.

“(Mereka bertanya) Kenapa tak tangkap pemberi rasuah? Kebanyakan pemberi rasuah ini orang bukan Islam.

“Itu pun nak dijadikan isu perkauman. Kalaulah kita orang Islam, kalau kita betul-betul kuat iman, kita takkan ambil rasuah. Tak perlu kita menyalahkan orang lain,” katanya dalam satu majlis yang berlangsung hujung Julai lalu.

Video itu hanya dimuat naik semalam di Facebook miliknya..

Beliau mengingatkan tentang istilah fasad (kerosakan) di mana ungkapan itu paling banyak disebut dalam al-Quran selepas perkataan solat.

Katanya, fasad terbahagi kepada dua kategori, iaitu melibatkan individu yang sedar dia melakukan kerosakan, manakala kategori kedua – yang lebih bahaya – membabitkan pihak pembuat kerosakan tetapi mendakwa dirinya sedang berbuat kebaikan.

“Fasad disebut 50 kali dalam Al-Quran. Itu menunjukkan betapa jijiknya rasuah ini.

“Malangnya daripada tangkapan yang kita buat, banyak yang ditangkap adalah orang Islam,” ujarnya lagi.

Ayob Khan berkata orang Islam tidak perlu menyalahkan orang bukan Islam apabila membincangkan isu gejala rasuah termasuk dengan mengaitkannya dari sudut pemberi atau penerima.

“Kamu (orang Islam) yang terima, kita yang menerima rasuah, (tapi) kita nak salahkan orang lain pula,” katanya

Pada Ogos 2022 Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengaitkan orang bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai punca berlakunya amalan rasuah di negara ini.

Menurut Abdul Hadi, golongan bukan Islam dan bukan bumiputera juga merupakan kumpulan yang paling banyak merosakkan politik dan ekonomi negara.

Kes bunuh di Gua Musang, Kelantan: Awari dijel 40 tahun, bunuh jururawat depan anak

NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengetepikan hukuman mati ke atas banduan akhir dan menggantikannya dengan penjara maksimum 40 tahun kerana membunuh jururawat sembilan tahun lalu.

Dalam kes menyayat hati itu, Mohammad Awari Ahmad, 31, mengelar leher isteri rakannya yang juga anggota polis bantuan sehingga darah keluar membuak-buah sambil disaksikan anak pasangan tersebut yang ketika itu berusia lima tahun.

Dia disabitkan membunuh jururawat berusia 25 tahun itu pada 1 Mac 2015 di sebuah rumah di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal ketika membenarkan permohonan semakan Mohammad Awari turut memerintahkan lelaki itu dikenakan 12 sebatan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara mengarahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 1 Mac 2015.

Panel itu memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan secara serentak dengan tempoh pemenjaraan 18 tahun dan 12 sebatan yang diputuskan sebelum ini kerana merogol mangsa.

Sebelum kejadian, mangsa tidur bersama tiga anaknya berusia 5, 3, dan enam bulan sebelum pemohon memecah masuk rumah dengan membawa sebatang kayu.

Mohamad Awari kemudian menemukan sebilah parang. Lelaki itu menyerang mangsa sehingga mengalami kecederaan 11 tetakan di badan termasuk dua kelaran di leher sehingga maut.

Kejadian itu disedari oleh suami mangsa yang pulang dari kerja dan menemukan isterinya dalam keadaan berlumuran darah, tidak berpakaian sebaliknya hanya dilitupi selimut manakala anak-anaknya berbaring atas tilam yang dicemari darah ibu mereka. – KOSMO! ONLINE

Hempuk ibu guna topi keledar, anak dipenjara 5 bulan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lelaki dihukum lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku salah menghempuk kepala ibunya menggunakan topi keledar, minggu lalu.

Tertuduh, Ezat Hamidee Abdul Latib, 35, menyatakan dia berbuat demikian kerana marah ditegur oleh ibunya, selain malu apabila keluarga mengetahui dia baru keluar pusat serenti.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Ezat yang mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Tambak Bugis, Telok Mas, kira-kira 12.30 tengah hari pada 4 Ogos lalu, lapor Berita Harian.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kerana mangsa adalah ibu kandung tertuduh.

Sementara itu, dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memberikan dadah jenis methamphetamine kepada diri sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Melaka Tengah, hari sama, pada 2.30 petang.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan diberikan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 17 September ini bagi mendapatkan laporan patologi.

Balu warga China mati di hotel dapat pampasan lebih RM700,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Genting Malaysia Berhad dan anak syarikatnya bertanggungjawab atas kecuaian seorang pekerja yang menyebabkan kematian seorang warga China di sebuah hotel di Bentong, Pahang, lima tahun lalu.

Dalam saman yang dikemukakan balu si mati, mahkamah memerintahkan Genting, First World Hotels & Resorts Sdn Bhd dan pembantu pengemasannya membayar lebih RM700,000 sebagai ganti rugi kepada plaintif Wang Cuilin.

Mahkamah turut menganugerahkan kos sebanyak RM75,000.

Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan semalam, Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berkata suami Wang, Xie Ning, telah mendaftar masuk ke hotel First World pada 16 Mei 2019.

Raja Ahmad berkata Xie sentiasa berhubung dengan Wang, yang tinggal di China.

Dia berkata Xie telah menghubungi isterinya sekali pada pagi 11 Jun 2019 untuk memberitahunya tentang kemenangannya di kasino hotel, tetapi selepas itu Wang tidak dapat menghubunginya.

Dia kemudian meminta rakan yang menginap di hotel yang sama untuk memeriksa Xie.

Pada 14 Jun, kerana tidak dapat menghubungi Xie sejak dua hari sebelumnya, rakannya meminta bantuan daripada kakitangan keselamatan hotel untuk membuka pintu ke bilik Xie.

Mereka mendapati dia mati dan terbaring tanpa berpakaian di lantai bilik air.

“Siasatan mendapati si mati diikat di bahagian bawah muka yang menutup hidung dan mulut, di siku yang menutup lengan dan badan, di pergelangan tangan dan pinggul, serta di lutut dan buku lali.

Untuk mengikat si mati, penjenayah menggunakan kain putih, tuala putih, tali kasut dan tali pinggang, kata penghakiman.

Raja Ahmad berkata bedah siasat yang dijalankan ke atas Xie mendapati bahawa dia meninggal dunia akibat sesak nafas. Laporan itu juga mangsa penuh dengan kesan lebam dan melecet, konsisten dengan trauma yang disebabkan oleh objek tumpul.

Beliau berkata dua warga asing – seorang Sri Lanka dan seorang Pakistan – disyaki menyebabkan kematian Xie, walaupun mereka tidak pernah didakwa.

Menurut Raja Ahmad, bukti menunjukkan bahawa pembantu pengemas hotel ketika itu, Nurul Shuhaida Dahlan, telah memberi suspek akses tanpa kebenaran ke bilik Xie tanpa mengesahkan sama ada mereka adalah tetamu yang sah.

Beliau berkata tindakan sewajarnya ialah Shuhaida mengarahkan pelaku ke kaunter penerimaan tetamu hotel untuk pengesahan sebelum membenarkan mereka masuk.

Raja Ahmad memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar wang RM500,000 sebagai ganti rugi atas penderitaan, RM200,000 sebagai ganti rugi am dan RM10,000 untuk kehilangan nyawa.

Defendan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan.

Remaja menyamar staf hospital tawar diri bantu pembedahan, ditahan di lobi hospital

Safeek Affendy Razali
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang ditahan selepas menyamar sebagai staf Hospital Sultan Idris Shah (Hospital Serdang) di sini, hari ini, dilaporkan menawarkan diri untuk membantu menjalankan satu pembedahan di hospital itu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Yusof berkata, pihak hospital membuat laporan mengenai remaja itu dan mengesan kehadiran suspek hari ini sebelum memaklumkan segera kepada polis.

"Individu sama cuba mendaftarkan diri di kaunter dengan menggunakan identiti palsu dan dikesan oleh hospital yang segera memaklumkan kepada polis sebelum tangkapan dilakukan.

"Suspek ditangkap di lobi hospital dan polis merampas sehelai baju scrub (sut bedah), seluar scrub (seluar bedah) dan lanyard hak milik hospital berkenaan," katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.

"Jika disabit dengan kesalahan menceroboh suspek boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan jika disabit kesalahan menyamar penjawat awam, suspek boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan berita tidak benar berkenaan kejadian ini.

Tembak juri ratu cantik sebab anak dapat tempat empat

Agensi

Brasilia: Pertandingan ratu cantik serantau di Altamira, Brazil berakhir dengan tragedi selepas bapa seorang daripada peserta menembak juri kerana tidak berpuas hati anak perempuannya hanya mendapat tempat keempat

Memetik laporan Oddity Central, insiden pada 28 Julai itu berlaku selepas tamat pertandingan ratu cantik 'II Baile da Escolha da Rainha' di bandar Altamira.

Kira-kira beberapa jam selepas pertandingan tamat, bapa kepada salah seorang peserta yang juga seorang penternak tempatan dikenali sebagai Sebastiao Francisco, mula menyuarakan rasa tidak puas hatinya mengenai anak perempuannya yang mendapat tempat keempat dalam pertandingan itu.

Dia mempersoalkan keputusan juri dan kriteria penilaian.

Biarpun tempat pertandingan ratu cantik itu berlangsung dikawal oleh pasukan keselamatan membabitkan polis dan tentera, tetapi lelaki itu tidak mempedulikannya.

Dia yang dalam keadaan marah mengeluarkan pistol dan cuba menembak salah seorang juri.

Namun, polis bertindak pantas apabila menembaknya terlebih dahulu.

Penternak itu dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

Menurut saksi, Francisco menganggap kedudukan anaknya pada tempat keempat dalam pertandingan ratu cantik sebagai satu penghinaan, kerana dia menganggap anaknya sebagai pemenang.

Dewan lokasi mana kejadian tragis itu berlaku dilaporkan sesak, dan pegawai tidak mempunyai pilihan selain melepaskan tembakan ke arah lelaki itu bagi melindungi mereka yang hadir.

Pergelangan kaki kiri dipotong akibat hancur tersepit mesin

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Anggota bomba membantu mangsa selepas kaki tersepit pada mesin membuat kotak. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba membantu mangsa selepas kaki tersepit pada mesin membuat kotak. FOTO Ihsan Bomba
Muar: Pergelangan kaki kiri lelaki warga Nepal terpaksa dipotong selepas hancur akibat tersepit pada mesin membuat kotak di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Parit Jamil, Parit Jawa, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, bahagian terbabit gagal diselamatkan menyebabkan pasukan perubatan Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, terpaksa mengambil tindakan itu terhadap mangsa berusia 32 tahun.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Johar Tumin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengalih kertas membuat kotak yang tersangkut pada mesin "troller".

Katanya, ketika itu mesin terbabit sedang bergerak menyebabkan kaki kirinya tersangkut hingga hancur.

"Ketika kejadian, mangsa sedang bekerja sebelum majikannya segera menutup suis mesin terbabit.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 1.20 pagi dan menggerakkan 11 anggota ke lokasi sebelum tiba kira-kira 20 minit kemudian," katanaya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memotong sebahagian besi pada mesin terbabit serta membuka ruang sekali gus membolehkan kakinya dikeluarkan.

"Kaki mangsa berjaya dikeluarkan jam 2.40 pagi tadi sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan," katanya.

Rusuhan terburuk, Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan di UK

AFP
ORANG ramai berkumpul dalam protes menentang anti-pendatang di London. FOTO Reuters
ORANG ramai berkumpul dalam protes menentang anti-pendatang di London. FOTO Reuters
London: Beribu-ribu penunjuk perasaan anti-perkauman turun ke jalanan di beberapa bandar untuk menentang keganasan berunsur perkauman sayap kanan yang menyebabkan polis United Kingdom (UK) berjaga-jaga.

Rusuhan pada sebelah malam juga semakin kerap, yang mana masjid dan pendatang asing diserang, berlaku di seluruh pekan serta bandar di serata England dan Ireland Utara sejak tiga kanak-kanak dibunuh penyerang bersenjatakan pisau pada 29 Julai lalu.

Susulan itu, beribu-ribu polis pencegah rusuhan dikerah untuk mengawal puluhan demonstrasi sejak Rabu, yang menyasarkan peguam menguruskan isu imigresen dan bangunan yang menempatkan pencari suaka.

Bagaimanapun, kumpulan aktivis anti-fasis mengadakan rusuhan dan perhimpunan lebih besar di bandar seluruh England termasuk London, Birmingham, Bristol dan Liverpool dan Newcastle.

Berikutan itu, kerajaan meletakkan 6,000 polis pakar untuk bersiap sedia bagi menangani kira-kira 100 demonstrasi oleh aktivis sayap kanan dan penunjuk perasaan lain.

Malah, mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bagi pesalah kerana pihak berkuasa berusaha untuk mengelak masalah baharu, sementara cuba menangani kemelut sedia ada.

Rusuhan itu disifatkan paling teruk di Britain sejak rusuhan London 2011, yang menyaksikan hampir 430 orang ditangkap dan sekurang-kurangnya 120 didakwa selain menyebabkan beberapa negara mengeluarkan amaran perjalanan untuk UK.

Keganasan tercetus selepas kanak-kanak perempuan berusia sembilan, tujuh dan enam maut manakala lima lagi kanak-kanak cedera parah semasa serangan pisau di kelas tarian bertemakan Taylor Swift di Southport, barat laut England.

Khabar angin pada mulanya tersebar di media sosial mengatakan penyerang adalah seorang pencari suaka beragama Islam, bagaimanapun suspek kemudian dikenali sebagai Axel Rudakubana, 17, dilahirkan di Wales dan media UK melaporkan bahawa ibu bapanya berasal dari Rwanda.

Di sebalik kenyataan polis, rusuhan awal di Southport akhir bulan lalu berpusat di sekitar sebuah masjid menyaksikan penunjuk perasaan membaling batu bata dan suar ke arah pegawai polis, membakar kereta dan menyerang masjid serta sekurang-kurangnya dua hotel yang digunakan untuk pencari suaka.

Timbalan KPN, Ayob Khan: Zaman ini zaman semua orang perasuah

Malaysiakini 

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mengecam pihak tertentu yang mengaitkan amalan rasuah dengan isu kaum di negara ini.

Berucap di majlis berkaitan integriti baru-baru ini, Ayob Khan mengakui, wujud usaha untuk memutarbelitkan isu atas sesuatu kepentingan.

Katanya, berdasarkan data yang ada kebanyakan penerima rasuah di negara ini adalah terdiri daripada orang Islam.

"Ada juga pihak-pihak tertentu yang cuba mengaitkan ini (rasuah) dengan isu perkauman.

"(Mereka bertanya) Kenapa tak tangkap pemberi rasuah? Kebanyakan pemberi rasuah ini orang bukan Islam.

"Itu pun (pemberi dan penerima rasuah) nak dijadikan isu perkauman.

"Kalaulah kita orang Islam, kalau kita betul-betul kuat iman, kita takkan ambil rasuah. Tak perlu kita menyalahkan orang lain," katanya di majlis yang berlangsung pada akhir Julai lalu itu.

Petikan ucapan itu bagaimanapun hanya dimuat naik di Facebook semalam.

Pada Ogos 2022 Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengaitkan orang bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai punca berlakunya amalan rasuah di negara ini.

Menurut Abdul Hadi - ketika itu menjadi duta bertaraf menteri - golongan bukan Islam dan bukan bumiputera juga merupakan kumpulan yang paling banyak merosakkan politik dan ekonomi negara.

Dakwanya pihak yang terabit itu merupakan "punca rasuah kerana mengejar harta secara haram."

Beberapa hari kemudian Pengerusi PN dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin cuba meredakan keadaan dengan berkata amalan rasuah tidak hanya melibatkan kaum atau penganut agama tertentu.

Bercakap kepada media selepas menghadiri muktamar PAS di Kedah, Muhyiddin yang ketika itu menjadi perdana menteri berkata isu tersebut tidak perlu didebatkan atau dikaitkan dengan mana-mana kumpulan serta penganut tertentu.

Golongan paling jahat

Ayob Khan berkata orang Islam tidak perlu menyalahkan orang bukan Islam apabila membincangkan isu gejala rasuah termasuk dengan mengaitkannya dari sudut pemberi atau penerima.

"Kamu (orang Islam) yang terima, kita yang menerima rasuah, (tapi) kita nak salahkan orang lain pulak.

"Kalau kita tak terima, kalau kita laporkan kepada SPRM, benda tu takkan berlaku.

"Itu yang saya kata dia twist (putar belit) cerita tu. Diputarbelitkan untuk mempertikaikan tindakan (pihak berkuasa), sama ada SPRM ataupun agensi kerajaan yang lain untuk menangkap orang yang ada kaitan dengan rasuah," katanya.

Ayob Khan juga menegaskan istilah fasad (kerosakan) merupakan ungkapan paling banyak disebut dalam al-Quran selepas perkataan solat.

Katanya, fasad itu terbahagi kepada dua kategori, iaitu melibatkan individu yang sedar dia melakukan kerosakan, manakala kategori kedua - yang lebih bahaya - membabitkan pihak pembuat kerosakan tetapi mendakwa dirinya sedang berbuat kebaikan.

"Kategori kedua inilah yang paling jahat. Inilah golongan yang makan rasuah.

"Mereka ini beranggapan apa salahnya ambil rasuah. Ramai orang ambil rasuah, ramai orang terlibat dalam rasuah, ramai pegawai yang terlibat rasuah.

"Zaman ni zaman semua orang perasuah. Dia menjustifikasikan tindakan dia mengambil rasuah.

"Ini memang manusia yang paling jahat," katanya.

Remaja menyamar jadi staf hospital di Serdang selama seminggu

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN

PUTRAJAYA- Seorang remaja dilaporkan menyamar sebagai staf di sebuah hospital di Serdang baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Dalam seminggu (menyamar), menyamar jadi staf hospital, bukan doktor,” katanya ketika dihubungi tadi.

Berita lanjut menyusul. – KOSMO! ONLINE

Gaji MB Terengganu rupanya lagi tinggi dari Selangor, hasil negeri…

Harapandaily

Gaji Menteri Besar Terengganu rupanya ketiga tertinggi di negara ini malah jauh lebih besar daripada Menteri Besar Selangor.

Semakan Kini News Lab mendedahkan gaji bulanan Menteri Besar Terengganu mencecah RM30,000 berbanding RM25,000 bagi ketua eksekutif Selangor.

Jumlah gaji itu pula tidak termasuk pelbagai jenis elaun bulanan termasuk elaun perjalanan, keraian dan lain-lain.

Ironinya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita bagi Terengganu hanya RM31,111 yang merupakan negeri keempat terbawah.

Dalam masa sama, Terengganu mencatatkan jumlah keluarga miskin tegar kelima tertinggi di Malaysia dengan seramai 7,257 keluarga.

Inilah yang terjadi apabila lelaki dan anak perempuan dapat bertemu setelah berpisah 48 tahun

Agensi
TERRY (dua kiri) dan Kanjana bertemu semula selepas 48 tahun terpisah. FOTO Ihsan Sanook
TERRY (dua kiri) dan Kanjana bertemu semula selepas 48 tahun terpisah. FOTO Ihsan Sanook
Bangkok: Lelaki Amerika mengembara ke seluruh dunia untuk bertemu semula dengan anak perempuannya yang berasal dari Thailand selepas terpisah selama 48 tahun.

Dengan bantuan seorang rakan yang mempunyai isteri warga Thailand dan seorang pemilik hotel terkenal di Nang Rong, Buriram, lelaki berusia 72 tahun itu dan anak perempuan akhirnya bertemu, serta saling berpelukan diiringi air mata kegembiraan.

Terry Howley dan Kanjana Milkewicz, 49 tahun, dari Yai Yam Watthana, daerah Chaloem Phra Kiat, Buriram, terpisah hampir lima dekad.

Walaupun sudah terpisah begitu lama, kedua-duanya tidak pernah putus asa untuk mencari satu sama lain.

Teknologi moden dan bantuan daripada seorang rakan dengan isteri Thailand serta pemilik hotel terkenal di Nang Rong membolehkan pertemuan emosional ini berlaku.

Sebaik bertemu, kedua-duanya menangis dan memeluk antara satu sama lain dengan erat.

Kanjana memberikan Terry bunga ros merah dan kalungan bunga marigold untuk menyatakan kasih sayangnya kepada bapanya.

Kanjana berkata, Terry, seorang bekas tentera Amerika, pernah bertugas di Nakhon Phanom, Thailand, 50 tahun lalu ketika Perang Vietnam.

Ketika itu, dia bertemu dengan ibu Kanjana, Supaporn, kini berusia 73 tahun, yang ketika itu sedang mengandung.

Namun, Terry menjaga Supaporn semasa hamil sehingga Kanjana berusia setahun.

Bagaimanapun, Terry terpaksa pulang ke negara asalnya menyebabkan mereka terputus hubungan.

Semasa Kanjana membesar, dia berusaha mencari Terry termasuk memuat naik hantaran di media sosial, difahamkan Terry juga mencari mereka.

Pada 2019, mereka akhirnya berhubung semula melalui media sosial dan terus berkomunikasi melalui Facebook.

Terry merancang untuk melawat Kanjana dan ibunya di Thailand pada 2019, tetapi pandemik Covid-19 menghalang rancangan perjalanannya, namun berjanji melawat selepas keadaan bertambah baik.

Namun, pada 31 Julai tiba di Thailand untuk bertemu ibu dan anak berkenaan sebelum dipertemukan pada 4 Ogos.

Rangka bayi dipercayai sudah meninggal 100 tahun ditemukan dalam papan lantai

Agensi
POLIS Durham menyiasat penemuan rangka bayi dipercayai baru lahir dalam papan lantai. FOTO Agensi
POLIS Durham menyiasat penemuan rangka bayi dipercayai baru lahir dalam papan lantai. FOTO Agensi
Wellington: Penemuan rangka bayi di bawah papan lantai sebuah rumah ketika pengubahsuaian yang dipercayai meninggal dunia lebih 100 tahun lalu dianggap dalam keadaan mencurigakan.

Memetik laporan Mirror.uk, rangka bayi yang baru lahir itu ditemui di Fore Bondgate, Bishop Auckland, County Durham, minggu lalu.

Ia ditemui kontraktor selepas mengangkat papan lantai di sebuah unit flat yang terletak di salah satu jalan tertua di bandar itu, pada 11.15 pagi 28 Julai lalu.

Dilaporkan, bayi itu dibalut dengan surat khabar dan seutas tali di lehernya.

‌Pegawai polis Durham yang menyiasat kejadian itu cuba menjejaki sejarah penduduk terdahulu.

Penyiasat melihat cebisan surat khabar itu mendapati ia bertarikh pada 1910.

Pemeriksaan forensik juga mengesahkan bahawa bayi itu cukup bulan pada 40 minggu, tetapi jantinanya tidak diketahui.

Polis berkata ujian forensik lanjut sedang dijalankan dalam beberapa minggu akan datang, termasuk penentuan usia melalui tarikh karbon untuk mengesahkan penemuan awal.

Lokasi penemuan itu adalah bangunan yang dibina pada zaman Victoria dan pada satu peringkat ia menempatkan unit ibu dan bayi yang dikendalikan oleh gereja.

Bagaimanapun, dipercayai bayi itu disembunyikan sebelum waktu itu.

Ketua Detektif ,Inspektor Mel Sutherland dari Durham Constabulary berkata: "Bukti menunjukkan kejadian ini berlaku sangat lama dahulu, menjadikannya sukar untuk menyiasat keadaan itu.

"Tetapi kami masih mempunyai tanggungjawab terhadap bayi itu.

"Fokus utama saya adalah untuk mengetahui siapa bayi itu, apa yang berlaku, dan bagaimana ia boleh berada di bawah papan lantai rumah itu.

"Sebaik sahaja kami mencari jawapannya, saya bertekad supaya bayi kecil ini diberi upacara pengebumian yang sesuai dan bermaruah," katanya.

Polis berkata mereka kini sedang mengumpul maklumat sejarah mengenai pemilikan rumah itu dari tahun 1900 hingga 1920.

Ia termasuk mendapatkan rekod dan mengesan susur galur keluarga untuk berpotensi mengenal pasti sebarang saudara-mara yang masih hidup.

Budak 2 tahun maut, pengasuh ditahan polis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pengasuh ditahan polis susulan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, dalam kejadian di Ipoh.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata bapa mangsa membuat laporan polis pada 7.20 malam kelmarin selepas mendapati anak perempuannya tidak sedarkan diri di rumah pengasuh berusia 30 tahun terbabit.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk pemeriksaan lanjut namun disahkan meninggal dunia keesokannya pada 11.10 malam.

Bedah siasat dijalankan pada 10.45 pagi tadi dan punca kematian disahkan berikutan kecederaan di kepala akibat trauma tumpul, katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Beliau berkata polis masih meneruskan siasatan dan akan mengambil keterangan saksi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah daerah untuk membantu siasatan, katanya.

Yahya Sinwar dinamakan sebagai penganti Haniyeh

REUTERS
Komander Yahya Sinwar. - Foto REUTERS
Komander Yahya Sinwar. - Foto REUTERS
KAHERAH: Hamas menamakan pemimpin Gaza, Yahya Sinwar sebagai pengganti kepada Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran minggu lalu, kata kumpulan itu semalam.

Sinwar dianggap arkitek serangan paling dahsyat ke atas Israel dalam beberapa dekad dan bersembunyi di Gaza, menentang percubaan rejim untuk membunuhnya sejak permulaan perang.

"Hamas mengumumkan pemilihan Komander Yahya Sinwar sebagai ketua biro politik pergerakan itu, menggantikan Komander Ismail Haniyeh yang syahid, semoga Allah merahmatinya," kata pergerakan itu dalam satu kenyataan ringkas.

Pelantikan itu diumumkan ketika Israel bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan serangan dari Iran berikutan pembunuhan Haniyeh di Tehran.

"Pelantikan itu bermakna Israel perlu berhadapan dengan Sinwar mengenai penyelesaian kepada perang Gaza," kata seorang diplomat serantau yang biasa dengan rundingan membabitkan Mesir dan Qatar, bertujuan menghentikan pertempuran di Gaza dan mengembalikan 115 warga Israel.

"Ia adalah mesej mengenai ketabahan dan ia tidak berkompromi."

Sinwar yang menghabiskan separuh hayat dewasanya di penjara Israel adalah pemimpin Hamas paling berkuasa yang masih hidup selepas pembunuhan Haniyeh, yang telah menyebabkan wilayah itu berada di ambang konflik serantau yang lebih luas selepas Iran berikrar membalas dendam.

Israel tidak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi mengakui membunuh pemimpin kanan lain termasuk timbalan ketua Hamas, Saleh al-Arouri yang terbunuh di Beirut dan Mohammed Deif, komander tentera pergerakan itu.

Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza di Khan Younis, Sinwar, 61, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.

Ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, menyalahkan Sinwar atas serangan 7 Oktober dan berkata Israel akan terus memburunya.

"Hanya ada satu tempat untuk Yahya Sinwar dan ia adalah di sebelah Mohammed Deif dan 'pengganas' 7 Oktober yang lain," katanya kepada televisyen Al-Arabiya.

Sebagai tanda pergerakan itu bersatu, Khaled Meshaal, bekas pemimpin yang dilihat sebagai bakal pengganti Haniyeh dikatakan oleh sumber kanan dalam gerakan itu menyokong Sinwar.

Bagi Israel, pelantikan itu mengesahkan Hamas sebagai musuh yang berdedikasi untuk memusnahkan rejim itu dan berkemungkinan mengukuhkan desakan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bahawa Israel mesti meneruskan kempennya di Gaza hingga akhir.

Rumah Putih enggan mengulas mengenai pelantikan Sinwar.

Sepuluh bulan sejak serangan mengejut Hamas pada awal pagi 7 Oktober, perang mengubah Asia Barat dan pergolakan menjadi konflik serantau yang lebih luas.

Pegawai Hamas, Osama Hamdan memberitahu Al Jazeera bahawa pergerakan itu kekal komited untuk mencapai perjanjian dan pasukan yang mengendalikan rundingan di bawah Haniyeh akan diteruskan di bawah Sinwar, yang menurutnya sedang mengikuti rundingan itu dengan teliti.

Bagaimanapun Hani Al-Masri, seorang penganalisis politik di Ramallah, berkata pelantikan Sinwar untuk mengetuai pergerakan itu secara keseluruhan adalah satu cabaran langsung kepada Israel.

Orang ramai rompak kediaman bekas PM Bangladesh

Agensi
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan penunjuk perasaan antikerajaan menyerbu istana Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang digulingkan di Dhaka. FOTO AFP
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan penunjuk perasaan antikerajaan menyerbu istana Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang digulingkan di Dhaka. FOTO AFP
Bangladesh: Orang ramai mengambil kesempatan merompak pelbagai barangan di kediaman bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, selepas beliau meletakkan jawatannya dan melarikan diri ke luar negara, menurut rakaman siaran tempatan.

Berdasarkan laporan The New York Times, rakaman itu menunjukkan orang ramai memanjat pintu pagar kediaman itu, melemparkan barang ke dinding, merosakkan potret dan membuang makanan.

Peletakan jawatan Hasina disifatkan satu perayaan kepada rakyat Bangladesh yang meraikan keputusan berkenaan.

Siaran di media sosial dan rakaman televisyen secara langsung juga menunjukkan orang ramai mengambil ternakan dari kediaman itu termasuk ayam, itik dan arnab serta beberapa orang lagi bergambar dengan haiwan berkenaan.

Penduduk, Monsur Ali berkata dia antara ribuan orang yang memasuki kediaman perdana menteri itu dan mengambil barangan di dalamnya.

"Kami pergi ke sana kerana marah. Tiada apa-apa yang tinggal di sana," katanya.

Hasina, 76, digulingkan dari jawatannya melalui protes yang berjalan selama beberapa minggu susulan konflik dalam jawatan kerajaan yang diinginkan setiap rakyatnya, hingga membawa maut.

Hampir 300 orang dilaporkan terkorban dalam rusuhan itu.

Rakyat di negara itu juga menentang peningkatan autoritarianisme Hasina selepas 15 tahun berkuasa.

‘Langgar sampai lunyai, puas hati’

KOSMO!
Tangkap layar kejadian samun di Lebuh Raya Kesas, awal pagi tadi.
PETALING JAYA – “Langgar sampai lunyai, puas hati. Selepas itu buat laporan polis beritahu kena samun.”

Demikian kata seorang pengguna media sosial berhubung kejadian samun bersenjata terhadap sebuah kereta berhampiran stesen minyak di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), awal pagi tadi.

Menerusi video tular di media sosial, seorang lelaki dilihat menghalang sebuah kenderaan dengan motosikalnya sebelum mengeluarkan senjata daripada sebuah kereta.

Sehubungan itu, rata-rata orang ramai meluahkan rasa geram dengan insiden tersebut selain menyuarakan tindakan termasuk melanggar motosikal berkenaan sekiranya kejadian sama  berlaku ke atas mereka.

“Bahaya betul, kalau kena dekat, aku langgar sahaja. Terang-terang ‘dashcam’ (kamera papan pemuka) dah rakam kejadian,” kata Neernaezere.

“Ini kalau bawa Triton sedap, langgar, undur lepas itu langgar sampai lunyai. Tidak ada kerja, nak menyamun orang sahaja,” ujar Ciksuayue.

Seorang lagi pengguna dikenali sebagai Laura Yaacob menasihatkan pemandu supaya berhati-hati ketika melalui kawasan sunyi.

“Sentiasa beringat semua ketika isi minyak. Kalau boleh elakkan waktu tiada orang. Isi bila ramai orang sekurang-kurangnya keselamatan terjamin,” jelasnya.

Tedahulu, Kosmo! melaporkan empat penjenayah bersenjata yang melakukan samun berdekatan stesen minyak di Lebuh Raya Kesas sedang diburu polis.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.37 pagi tadi.

Mangsa seorang juruteknik berusia 36 tahun nyaris disamun empat lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan kayu.

Suspek yang menunggang motosikal menghalang sebuah kenderaan sebelum menghayun kayu ke arah cermin kereta mangsa sehingga pecah. – KOSMO! ONLINE