Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Duda tidak mengaku cabul anak perempuan gagal bayar ikat jamin. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Seorang duda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas dua anak perempuannya bertindak membuat laporan polis kerana tidak tahan menjadi mangsa amang seksual lelaki itu, bulan lalu.
Tertuduh berusia 60 tahun yang kematian isteri sejak beberapa tahun lalu itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mohd Khari Haron.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak perempuannya yang berusia 15 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Kluang, 3.30 petang, 15 November lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan manakala Seksyen 16, tambahan hukuman, penjara maksimum lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali.
Berdasarkan laporan dibuat, ketika kejadian mangsa berada di ruang tamu rumahnya sebelum didatangi tertuduh yang bertindak melakukan perbuatan tidak senonoh.
Mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan bapanya akhirnya hadir ke Balai Polis Kampung Gajah, Kluang untuk membuat laporan.
Siasatan polis mendapati, bukan mangsa seorang yang diperlakukan sebegitu sebaliknya keempat-empat kakak perempuan turut menerima nasib sama namun setakat ini, hanya dua laporan dibuat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Susulan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru untuk sebutan semula serta mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin namun gagal membayarnya sebelum dibawa ke Pusat Koreksional Muar bagi menjalani tahanan sementara.
Pada masa sama, mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes selesai.
Kes disebut semula 11 Februari ini untuk serahan dokumen dan juga lantikan peguam tertuduh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan