FMT Reporters
PETALING JAYA: Tiga Undang luak Negeri Sembilan dan bekas Undang Luak Sungai Ujong Mubarak Dohak yang mempertikaikan pemecatannya memfailkan saman terhadap kerajaan negeri bagi menuntut keputusan mesyuarat khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April lalu digantung.
Menurut Sinar Harian, saman berkenaan difailkan menerusi Tetuan Deidra Sharona & Co, di Mahkamah Tinggi Seremban hari ini.
Saman itu difailkan Mubarak, Undang Jelebu Maarof Mat Rashad; Undang Johol Muhammad Abdullah; Undang Rembau Abdul Rahim Yasin dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri serta Datuk Shahbandar Sungai Ujong Badarudin Abdul Khalid.
Mereka menamakan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin sebagai defenden pertama dan DKU serta kerajaan Negeri Sembilan masing-masing sebagai defenden kedua dan ketiga.
Dalam saman itu, plaintif memohon deklarasi bahawa mereka berhak mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April 2026 di Istana Besar Seri Menanti.
Mereka turut memohon perintah supaya Raja Norazli dan DKU mengemukakan serta menyerahkan minit mesyuarat tersebut dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.
Selain itu, plaintif menuntut supaya mahkamah menggantung pelaksanaan sebarang penguatkuasaan oleh defendan-defendan yang berkaitan dengan keputusan Mesyuarat Khas DKU 17 April 2026 sehingga minit mesyuarat berkenaan dikemukakan dan diserahkan kepada mereka.
Permohonan itu dijadualkan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Seremban pada 13 Mei, jam 9 pagi secara fizikal.
Krisis adat di Negeri Sembilan bermula Pada 17 April lalu apabila DKU yang dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menerima pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Undang Luak Sungai Ujong atas alasan melanggar adat dan hukum syarak.
Dua hari selepas itu, tiga undang termasuk Mubarak mengadakan sidang media khas yang mengumumkan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Namun, kerajaan negeri menolak pengisytiharan itu dengan menyatakan bahawa Mubarak sendiri telah pun dilucutkan daripada jawatannya pada tahun sebelumnya.
Krisis politik itu semakin memuncak selepas semua 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun pada 27 April, susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri.
Hari ini, Majlis Dato Lembaga Adat Sungai Ujong mengumumkan Faris Johari, 28, dilantik sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu, sekali gus menjadi pemegang ke-11 jawatan ketua adat di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong dalam kenyataan berkata pelantikan Faris adalah tidak sah dan salah dalam aturan adat Sungei Ujong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan