Komplot gugur janin kekasih 17 tahun terbongkar
Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
Melaka: Tindakan seorang remaja perempuan mendapatkan rawatan di hospital akibat pendarahan membongkar tindakannya cuba menggugurkan kandungan berusia lima bulan dengan mengambil pil gugur janin.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka pada jam 6.50 petang, 25 April lalu.
Beliau berkata, 'pesakit' berusia 17 tahun 10 bulan itu tiba dalam keadaan berlumuran darah dan dipercayai mengalami pendarahan selepas mengambil pil gugur janin selain berdepan komplikasi apabila uri gagal dikeluarkan sepenuhnya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati remaja itu bersama teman lelaki berusia 18 tahun merancang untuk menggugurkan kandungan.
"Selepas kejadian, remaja lelaki terbabit dipercayai mengambil janin di rumah kekasihnya dan merancang menanamnya di belakang rumah.
"Bagaimanapun, janin itu disembunyikan terlebih dahulu di dalam kereta Honda City di kediamannya," katanya tadi.
Tambah beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek lelaki kira-kira jam 11.40 malam pada hari sama bagi membantu siasatan.
"Manakala remaja perempuan terbabit ditahan kira-kira jam 3.15 petang kelmarin, sebaik sahaja dia keluar dari hospital," katanya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Ujarnya, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Melaka dan arahan diperoleh untuk mendakwa suspek lelaki di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan (KK) manakala suspek perempuan di bawah Seksyen 315 KK.
"Kedua-dua suspek dijadualkan dituduh pada Jumaat ini di Mahkamah Ayer Keroh, Melaka.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih serta sentiasa mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum berkongsi sesuatu maklumat di media sosial," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan