Mengapa Lembaga Disiplin Umno cari Ali Rustam, Khairy sahaja? Ali tersekat, Khairy terlepas. Umno pakai hukum apa banteras rasuah?

RAKAN saya yang sudah dekat seminggu tak bersua muka, IRWAN MUHAMMAD ZAIN mengupas kisah terhalangnya impian Ali Rustam untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dalam tempoh seminggu terakhir sebelum pemilihan Umno diadakan, banyak terdapat episod pelik tapi benar yang menimbulkan tanda tanya. Rakyat memerhatikan apa yang terjadi ini dengan penuh minat dan pastinya akan menilai apa yang berlaku ini.

Episod pelik tapi benar ini bermula dengan pendakwaan terhadap Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Norza Zakaria yang dikaitkan dengan politik wang. Norza dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh atas tuduhan itu.

Selepas Norza, Menteri Pelancongan Azalina Othman Taib dipanggil untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyalahgunakan wang kementerian untuk kempen.

Ramai yang menganggap tindakan ini merupakan satu cara untuk membersihkan orang Abdullah dari memegang jawatan penting dalam Umno. Pembersihan ini harus dilakukan demi menjaga hati seorang warga emas yang kini berada di luar parti.

Upcara membersihkan orang Abdullah tidak hanya terhenti setakat Norza dan Azalina sahaja. Maka untuk itu beberapa nama lagi harus dijadikan mangsa bagi membolehkan orang tertentu mendapat kedudukan yang telah lama diimpikan.

Keputusan Lembaga Displin Umno melucutkan kelayakan bertanding Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu dan memberi amaran kepada calon Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah misi untuk menyekat orang Abdullah dari memegang jawatan penting seterusnya menyusahkan pemimpin tertentu mengikut telunjuk warga emas yang pernah menerajui Umno.

Keputusan Lembaga Displin Umno itu sebenarnya telah menimbulkan banyak persoalan dan mencetuskan pelbagai masalah dalaman berbanding meleraikan segala kekusutan.

Diperingkat akar umbi Umno, timbul tanda tanya kenapa ada yang hanya diberi amaran dan kenapa ada yang dilucutkan kelayakan bertanding? Apakah ada calon-calon tertentu yang perlu segera disekat kemaraannya manakala ada pula calon yang masih boleh bertanding tetapi dengan imej yang tercalar.

Bagi penyokong-penyokong Mohd Ali, apakah hanya Ketua Menteri Melaka itu saja yang tidak bersih dalam berkempen untuk merebut jawatan dalam Umno? Adakah calon-calon lain tidak kira untuk jawatan Timbalan Presiden atau lain-lain jawatan tidak melakukan rasuah politik bagi mendapatkan undi?

Mereka juga bertanya apakah calon tunggal bagi jawatan Presiden Umno itu bersih sedangkan dimata rakyat, individu itulah yang paling tidak bersih sehinggakan bekas ahli Umno Zaid Ibrahim sanggup memohon perkenan Yang Dipertuan Agong agar tidak melantik Najib sebagai Perdana Menteri.

Jelas sekali hukuman yang dikenakan ke atas Mohd Ali merupakan satu tindakan menjadikan beliau sebagai kambing korban bagi menampakkan bahawa Umno kini serius untuk melakukan reformasi dalam dan mahu menghapuskan amalan politik wang yang semakin parah menjelang pemilihan jawatan tertinggi parti itu hujung bulan ini.

Biarpun Najib menepis tanggapan tersebut dan menyatakan Lembaga Displin parti itu bertindak berdasarkan maklumat dan naib presiden itu tidak dijadikan kambing korban dalam usaha membanteras gejala rasuah tetapi bagi penyokong-penyokong Mohd Ali dan ahli-ahli Umno alasan yang diberikan itu tidak boleh diterima.

Umno Melaka jelas kecewa dengan keputusan tersebut dan menyatakan dengan jelas bahawa Mohd Ali dijadikan kambing korban. Keputusan Lembaga Displin itu bagi Umno Melaka merupakan satu konspirasi pihak tertentu yang tergugat dengan sokongan yang diterima Mohd Ali.

Selain dari keputusan yang menguris hati Umno Melaka itu, kenyataan Najib yang menegaskan Mohd Ali masih kekal sebagai Ketua Menteri Melaka juga menimbulkan tanda tanya.

Apakah seorang yang sudah didapati bersalah mengamalkan politik wang masih layak untuk mengetuai sebuah kerajaan negeri? Biarpun tidak digantung namun keputusan melucutkan kelayakan Mohd Ali itu membuktikan bahawa beliau mengamalkan rasuah. Jadi apakah Najib menghalalkan rasuah dengan membenarkan Mohd Ali kekal sebagai Ketua Menteri.

Mohd Ali sepatutnya meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka kerana Lembaga Displin Umno sudah membuktikan beliau terlibat dengan politik wang. Najib juga tidak sepatutnya sebagai seorang bakal Perdana Menteri mengizinkan seorang perasuah mengetuai negeri bersejarah itu.

Dalam sejarah pemimpin Umno yang dikaitkan dengan rasuah dan salah laku, kebanyakannya meletak jawatan sebagai Ketua Menteri atau Menteri Besar. Biarpun kemudiannya mereka ini didapati tidak bersalah tetapi atas dasar reputasi yang sudah tercalar, mereka melepaskan jawatan.

Antara yang meletak jawatan apabila terbabit dengan "tuduhan" salah laku seks adalah Abdul Rahim Tamby Chik salah seorang calon Naib Presiden Umno. Beliau meletakkan walaupun Peguam Negara pada waktu itu, Mohtar Abdullah, mengatakan, pendakwaan ke atas Rahim Tamby Chik tidak boleh dibuat kerana kekurangan bukti.

Manakala saingan Ali Rustam dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden, Muhammad Muhd Taib meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dan semua jawatan dalam politik setelah terbabit dengan kes "penyeludupan" wang di Australia. Dia dibebaskan setelah berjaya meyakinkan Mahkamah Australia yang dia tidak faham bahasa Inggeris.
Paling baru, Isa Abdul Samad meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan apabila didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno atas tuduhan politik wang pada pemilihan Umno lalu dan digantung keahlian.

Jadi sewajarnya Mohd Ali juga menuruti jejak mereka ini dengan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka kerana Lembaga Displin Umno sudah pun menghukum beliau bersalah.

Itu antara episod pelik tapi benar yang berlaku dalam politik negara dalam tempoh seminggu terakhir sebelum menjelang pemilihan Umno. Episod pelik tapi benar dalam politik negara ini diteruskan pula dengan tindakan SPRM yang tidak mengambil sebarang tindakan biarpun Lembaga Displin Umno sudah membuktikan Mohd Ali bersalah.

SPRM tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mengambil tindakan terhadap Mohd Ali dan juga Khairy. Lembaga Displin Umno telah mengesahkan penglibatan mereka berdua dalam rasuah.

Penyiasatan dan pendakwaan serentak ke atas calon dan wakil calon yang didapati bersalah oleh Lembaga Displin harus segera dilakukan oleh SPRM. Tidak perlulah Ahmad Said menunggu arahan pihak tertentu untuk mengambil sebarang tindakan. Beliau harus segera membuat keputusan demi menyelamatkan maruah SPRM yang semakin tercalar.
Tindakan serentak penting kerana rasuah adalah kesalahan negara bukan kesalahan Umno sahaja.

Selain itu Lembaga Disiplin Umno juga wajib membuat pendirian mengenai mana-mana calon Majlis Tertinggi yang didakwa terlibat dengan rasuah politik wang oleh SPRM. Adakah yang telah dituduh oleh SPRM seperti Norza masih layak bertanding?

Rakyat bukan hanya menilai prestasi pemimpin Umno malah turut mengukur sejauh mana keberkesanan SPRM dalam usaha mereka menghapuskan rasuah yang semakin parah dalam negera ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan