Rebut jawatan dalam Umno tak boleh, jadi Ketua Menteri Melaka boleh pulak? Rasuah apa ke jadahnya SPRM?


TIMBALAN Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dibidas kerana masih merestui Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Ali Rustam yang didapati bersalah sabit dengan rasuah untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Umno, menjadi orang nombor satu di Melaka tetapi pada masa yang sama dihalang merebut jawatan dalam Umno.

Ahli Parlimen Taiping, Ngor Koo Meng ketika berkempen di Kg. Kudu, Changkat Ibol tidak jauh dari rumah ibubapa calon BN, Ismail Safian berasa pelik, apabila Umno bersikap munafik dalam menangani isu jenayah rasuah.

"Ali sudah disabitkan rasuah. Tidak boleh tanding jawatan dalam Umno tapi boleh pegang Ketua Menteri Melaka. Orang yang sama buat rasuah dalam Umno tidak boleh tapi dalam kerajaan boleh. Apa ini?" tanya beliau.

Katanya, sebagai orang Islam, politik wang yang disebut dalam kempen-kempen pemilihan Umno itu adalah sejenis rasuah yang ditegah oleh agama Islam tetapi orang-orang Umno tidak segan silu beramal dengan politik wang malah setelah disahkan terlibat dengan rasuah oleh Lembaga Disiplin parti mereka, orang Islam dalam Umno tidak berasa apa-apa.

Ngor yang fasih berbahasa Melayu lantang menyerang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana hingga kini masih berpeluk tubuh tidak bertindak membuka kertas siasatan atau memanggil Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin dalam kes rasuah.
"Dari mana mereka dapat duit? Tabur duit kempen rebut jawatan dalam Umno. Duit dapat dari pelbagai projek dalam kerajaan. Duit rakyat dirompak. Mengapa SPRM diam?

"Lembaga Disiplin Umno sudah istihar Ali dan Khairy terlibat dengan rasuah. Mengapa tidak siasat mereka?" tanya beliau sambil mendapat tepukan gemuruh lebih 1,000 hadirin.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak hairan melihat keghairahan SPRM yang lebih berminat untuk menyiasat "lembu dan kereta" Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Seperkara lagi, Ngor menolak cara Lembaga Disiplin Umno memutuskan hukuman. Bukan sahaja tidak berasas malah tidak logik apabila Ali dilarang bertanding kerana melakukan banyak rasuah tetapi Khairy hanya diberi surat amaran kerana melakukan sedikit rasuah.

"Padahal, kedua-dua mereka melakukah jenayah rasuah. Baik banyak, baik sikit. Semua tak boleh tanding. Tapi, itu lembaga Umno yang sikit buat rasuah tak apa," tegas beliau sambil disambut gelak ketawa hadirin.  
http://sanggahtoksago.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan