Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Norza Zakaria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh pagi ini atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan dalam pemilihan parti.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan itu dituduh memberi rasuah kepada perwakilan menerusi Halimi Kamaruzaman pada Januari lalu sebagai dorongan supaya mengundinya bagi jawatan MT dalam pemilihan parti itu hujung bulan ini.
Norza mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut. Mahkamah membenarkan dia diikatjamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Majistret Ida Rahayu Sharif menetapkan kes itu disebut semula pada 22 April depan.
Pendakwaan diketuai oleh pengarah pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Musa.
SPRM sebelum ini, menyiasat Norza berhubung dakwaan rasuah untuk mendorong perwakilan mengundi beliau untuk jawatan MT dalam pemilihan Umno hujung bulan ini.
Pada 22 Januari lalu, Norza hadir di pejabat SPRM Temerloh bagi membantu siasatan kes politik wang membabitkan seorang calon ahli MT Umno.
Dalam satu lagi perkembangan berkaitan, Halimi yang juga ahli jawatankuasa Umno bahagian Maran, Pahang yang membuat laporan polis mendakwa dibelasah pegawai SPRM supaya mengaku Norza terbabit dalam politik wang, dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan membuat laporan palsu.
Pada 28 Januari lalu, Halimi, 46, mendakwa dibelasah sewaktu disoal siasat ketika ditahan reman selama empat hari di Kuantan. -malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan