PRK Bukit Selambau telah beberapa hari berlalu namun kehangatannya masih terasa sehingga ke hari ini. Dek terbiasa kalut mengharung malam dengan tugas-tugas ‘hakiki’ sepanjang kempen hampir 2 minggu, kini malam bagaikan sunyi dan sepi. Kembali semula rutin harian, anak-anak yang merengek dan merindu saban malam akibat ditinggalkan kini ceria kerana orang yang ‘dirampas’ telah sedia berkhidmat sepenuh masa untuk mereka pula. Senario ini tentu tiada bezanya dengan teman-teman seperjuangan yang lain. Teman-teman yang telah bertungkus-lumus bekerja bagaikan tiada yang lebih penting dari memepertahankan maruah negeri Pakatan Rakyat yang tercinta. Bukan bekas-bekas teman yang telah menunjukkan tembelang mereka semasa kempen PRK Bukit Selambau dan mengkhianati perjuangan Pakatan Rakyat. Syabas buat teman-teman seperjuangan dan ‘Syuh-syuh’ untuk bekas-bekas teman!
Sejak terlibat secara langsung dengan beberapa PRK, saya lihat banyak perbezaan dari segi strategi dan gerak kerja pasukan Pakatan Rakyat. PRK Lunas, PRK Indera Kayangan, PRK Permatang Pauh dan kini PRK Bukit Selambau, terdapat perubahan yang positif dan juga negatif. Saya gembira kerana berpeluang menimba pengalaman dan pengetahuan yang amat berharga sepanjang bersama-sama bergerak di dalam satu pasukan. Biarpun ada yang pahit namun semua itu menjadikan kita lebih matang dalam merencana pergerakan kita di masa hadapan. Benarlah bahawa dengan setiap ilmu baru yang kita pelajari, kita lebih berani untuk terus mengharungi perjuangan yang penuh dengan ranjau dan duri ini.
Izinkan saya untuk membuat sedikit perbandingan di antara PRK yang terbaru iaitu PRK Bukit Selambau, dengan PRK yang terawal iaitu PRK Lunas. Dua PRK tersebut umpama 2 darjat statusnya, satu di zaman agak ‘mewah’ dan satu di zaman ‘susah’. Bagi saya manisnya kemenangan di PRK Lunas dahulu tiada tandingnya hingga ke hari ini. Dengan segala kekurangan, sama ada dari segi kewangan mahupun pengalaman, Barisan Alternatif (BA - kini Pakatan Rakyat) telah menang dengan penuh bergaya sekali. Bukan sedikit provokasi dari pihak sebelah sana dan bukan sedikit juga hadiah segera yang dihamburkan kepada masayarakat Lunas. Namun semuanya dapat dipatahkan oleh ‘Suara Rakyat Suara Keramat’ dan kerja keras para pendokong BA. Alhamdulillah….
Berbalik kepada PRK Bukit Selambau, izinkan saya untuk memberi beberapa pandangan dan teguran berdasarkan apa yang saya lihat, dengar (dari sumber sahih) dan alami sendiri sepanjang kempen tempoh hari. Diharap tiada pihak yang akan melatah dan menarik muka kerana tujuan saya hanya satu agar gerak kerja kita sebagai pendokong Pakatan Rakyat akan lebih berkesan dan berwibawa di masa-masa hadapan terutamanya di dalam PRK-PRK.
Kenapa saya rasakan kurang sedikit manisnya kemenangan di Bukit Selambau kali ini berbanding dengan PRK Lunas dahulu. Alahai di bawah adalah jawapannya…….
1) Alahai YB……
Kempen kita kali ini memang hebat. Hebat kerana kita ada ramai YB-YB yang masyhur dan ternama yang boleh memberikan ceramah dengan gaya mereka yang kita sedia maklum dan kagumi. Berbanding dengan PRK Lunas dahulu, satu YB pun tiada dan apabila diperkenalkan kepada umum akan penceramah-penceramah kita, semuanya (kalau tak silap) berstatuskan panggilan saudara belaka. Dengan kemunculan ramai YB-YB Pakatan Rakyat kali ini, sudah tentulah kita menjangkakan jentera penerangan akan lebih mantap dan berkesan dalam menarik pengundi-pengundi minat setempat. Memang ada benarnya kalaulah kesemua YB-YB ternama ini sedia berkhidmat dengan ikhlasnya sepertimana para pendokong ‘bawahan’ Pakatan Rakyat.
Satu sumber memberitahu saya betapa sesetengah YB yang begitu memilih tempat untuk berceramah dan kurang senang untuk bekerjasama sekiranya ditetapkan untuk memberi ceramah di tempat-tempat yang kurang pengunjungnya. Dengan kata lain mereka ini hanya berminat untuk mengambil bahagian dalam ceramah yang bertaraf ‘Ceramah Perdana’ dan bukan ceramah kelompok yang lebih kecil kumpulan sasarannya. Ada pula yang menolak untuk ke tempat-tempat yang agak terpencil dengan memberi berbagai alasan. Tidak kurang juga yang tanpa berselindung bertanyakan apakah Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan turut sama di program ceramah tersebut. Alahai YB…….. Apa ertinya tindak-tanduk YB ini? Sudah berprotokol pulakah para YB kita ini sehingga sukar untuk mendekati mereka di kala diperlukan? Paling memualkan adalah seorang YB exco Kedah yang langsung tidak mahu bekerjasama sepanjang kempen…….maaf ye, siapa lagi tidak lain dan tidak bukan ADUN Lunas YB Radzi yang telah menujukkan sikap yang sama semasa PRK Permatang Pauh dahulu.
Namun pujian perlu juga diberikan kepada beberapa YB yang menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang kempen di Bukit Selambau ini. YB-YB ini tidak langsung menyebut ‘ah’ atau ‘ eh’ walau di ceruk mana mereka diarahkan berceramah. Sehinggakan untuk berceramah di tiga tempat pada satu malam pun tidak menjadi masalah kepada mereka. Mereka adalah YB-YB muda yang berkaliber dan menjadi harapan kepada pimpinan masa hadapan Pakatan Rakyat : YB Yusmadi Yusof, YB Amiruddin Shaari, YB Nik Nazmi, bakal YB Che’GuBard dan beberapa yang lain. Juga paling sporting dan dikagumi adalah veteran YB Saifuddin Nasution. Salut untuk YB sekalian!
2. Alahai Wanita Keadilan…..
Pertama sekali saya meminta berbanyak-banyak maaf sekiranya teguran ini menyentuh perasaan adik-adik, kakak-kakak dan makcik-makcik sekalian. Saya salut kepada daya juang dan gerak kerja kalian yang begitu tinggi dan dedikasi. Biasalah setiap manusia ada kelemahannya dan marilah kita mengambil ikhtibar dari kelemahan kita agar kita lebih dipandang tinggi oleh kawan mahupun lawan. Beberapa kali juga telah sampai di telinga ini akan sungutan tentang etika berpakaian wanita Keadilan sama ada semasa berkempen mahupun semasa meraih undi. Kekadang mata ini boleh tersembol juga dengan pemandangan pakaian kombinasi seluar’jin’ dengan t’shirt sendat atau baju lengan pendik dan beberapa gaya pakaian yang kurang manis keislamannya…….alahai……. Kita sepatutnya menjaga penampilan kita dan janganlah pula disamatarafkan dengan Puteri UMNO mahupun Wanita UMNO. Puak-puak ini bukan setakat meremehkan tentang pakaian tetapi sanggup menunjukkan aksi-aksi yang yang tak sanggup mata memandang. Sudah menjadi trend mereka selama ini. Walau bagaimanapun, penampilan para pimpinan Wanita Keadilan adalah memuaskan dan adalah menjadi harapan agar para pemimpin ini dapat pula memberi tunjukajar dan bimbingan kepada para pendokongnya. Bukan apa………nak bagi elok…….
3. Alahai Ahli-ahli Majlis, Ketua-ketua kampung …….
Di zaman ‘mewah’ ini juga kita amat bertuah sekali kerana kita mempunyai ramai pemimpin-pemimpin di peringkat Majlis Tempatan dan Kampung-kampung atau kawasan setempat seperti Ahli-ahli Majlis, Ketua-ketua kampung dan JKKK yang telah dilantik. Bukan sedikit bilangannya jika diambil kira dari keempat-empat negeri Pakatan Rakyat (tolak Perak yang tentu bertumpu di Bukit Gantang). Malah kalau mahu diambilkira dari negeri Kedah sahaja bilangannya sudah memadai untuk menjadi pengemudi di setiap JDM di DUN Bukit Selambau. Apa yang agak dikesalkan di sini adalah apabila timbul sedikit masalah dari segi kewangan di bahagian tertentu sementara menunggu peruntukan pilihanraya pusat, berat sungguh tangan mereka (bukan semua tau!)untuk menghulur seringgit dua. Bayangkan setahun menjawat jawatan dengan elaun tertentu yang diterima, apalah sangat sekiranya dikeluarkan barang 10 persen untuk melancarkan sedikit jentera pilihanraya. Ada yang tidak menunjukkan muka langsung sepanjang kempen apatah lagi menyumbang dari segi kewangan. Jika begini sikap mereka, pimpinan negeri harus menilai semula kedudukan jawatan politik mereka…….janganlah muka yang sama akan mengangkat sumpah taat setia bulan Mei nanti….alahai…….
4. Alahai anak-anak muda…….
Adalah sesuatu yang menakutkan saya apabila seorang pemimpin tempatan memberitahu saya akan sikap segelintir (harap-harap hanya segelintir) anak-anak muda yang mengharap imbuhan untuk bekerja. Ini macam biasa dengar…..eh, ini bukan budaya UMNO ke??? Benar, telah wujud sikap itu pada PRK Bukit Selambau kali ini. Cerita seperti ini tidak langsung kedengaran semasa PRK Lunas, zaman susah kebangkitan rakyat. Zaman petugas mengeluarkan duit poket sendiri untuk bergerak. Alahai…….bahaya, memang bahaya kalau dibiarkan. Sebagai contoh, di satu bahagian jawatan kuasa yang mulanya paling ramai sukarelawan, hanya tinggal lima petugas selepas hanya 2 hari berkempen. Sebabnya, anak-anak muda yang menghilang itu menyatakan mereka menunggu imbuhan bagi memulakan kerja. Bagi mereka PRK kali ini ada peruntukan besar maklumlah dijalankan di negeri sendiri, negeri Pakatan Rakyat. Sesuatu perlu dilakukan…..alahai……
Demikianlah sedikit pemerhatian yang dapat saya ulaskan bagi PRK Bukit Selambau ini. Kemenangan telah kita capai namun kemenangan yang paling manis adalah apabila kita dapat mengecapi kemenangan itu dengan titik peluh keikhlasan, dengan penuh keinsafan dan kesedaran dan dengan semangat zaman susah kebangkitan rakyat yang begitu digeruni oleh pihak lawan. Kembalikanlah semangat itu…….mungkin para YB kita perlu melakukan sesuatu……..alahai…..
Lawan Tetap Lawan
Kak Id
(masih Kak Id yang dulu…..tiru Tapai…hehe)
13.04.2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan