PAS mencadangkan Umno agar tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bagi menjimatkan wang termasuk kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis. Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, alasan ini digunakan Umno ketika tidak bertanding di Penanti. Pilihanraya kecil DUN tersebut bermula esok hingga 31 Mei. "Kalau BN menang (di Manek Urai), ia tidak mengubah majoriti kerana kita (PAS) ada majoriti dua pertiga yang besar (di Kelantan)," katanya pagi ini dalam sidang media di ibu pejabat PAS bagi mengumumkan kematian mengejut seorang wakil rakyatnya. Pilihanraya kecil DUN Manek Urai akan diadakan dalam tempoh 60 hari lagi berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob subuh tadi. Mustafa berkata, PAS akan meletakkan calonnya bagi mempertahankan Manek Urai. Bagaimanapun, tambahnya, terlalu awal untuk menyatakan calon PAS di kerusi tersebut. Mustafa juga mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh membuat keputusan sendiri sama ada bertanding atau tidak. Dahulu, katanya, presiden Umno yang memutuskan sama ada parti itu bertanding atau tidak. "Datuk Seri Najib serba salah kerana faktor Tun Dr Mahathir (Mohamad). Nak lawan mentor tidak sedap juga. "Dr Mahathir berasa dukacita kerana Umno tidak bertanding di Penanti. "Beliau telah meletakkan Umno menjadi sebuah parti yang berani tetapi Datuk Seri Najib dan (timbalannya) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berani," katanya. Mustafa berkata, Muhyiddin sudah tidak mendengar lagi pandangan mantan perdana menteri itu, tidak seperti semasa hendak menjatuhkan perdana menteri waktu itu Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sambil ketawa, Mustafa berkata, "tidak tahulah Tun Dr Mahathir akan keluar Umno (lagi) kerana orang tidak mendengar cakap dia." Diminta mengulas pilihanraya kecil Penanti, Mustafa berkata ahli dan penyokong PAS tidak akan mensabotaj calon PKR Mansor Othman. "Ahli PAS patuh kepada keputusan pimpinan yang tidak bertanding. "Isu Pemuda PAS hendak meletakkan calonnya di Penanti juga sudah selesai," katanya. Dalam perkembangan berkaitan lewat petang ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bahawa BN akan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut - pendirian yang sama dikongsikan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan presiden Umno malah berkata, BN tidak akan memberi laluan mudah kepada PAS di kerusi tersebut. "PAS jangan terlalu yakin, walaupun ini kawasan mereka, jangan ingat mereka akan sentiasa menang. "Dalam pilihanraya umum lalu, kita kalah cuma (lebih) 1,000 undi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan