Bekas ahli jawatankuasa bahagian Kangar, Shaari Ludin berkata beliau meninggal Umno untuk menyertai PKR dua bulan lalu, kerana mahu menyedarkan kepimpinan Umno tentang kelemahan parti itu sekarang. Beliau juga turut menyalahkan kepimpinan tertinggi Umno yang didakwanya 'lari dari matlamat perjuangan asal Umno" sehingga mendorong beliau beralih kepada pembangkang. "Saya nak beri 'getaran' kepada Umno, bahawa saya dapat menarik ramai ahli parti itu untuk turut serta masuk PKR, supaya mereka sedar kelemahan diri. "Saya sudah lama dalam Umno, saya masuk PKR, sebab kepimpinan Umno sudah jauh menyimpang. "Kepimpinan tertinggi Umno telah lari dari matlamat perjuangan asal Umno sendiri," kata Shaari ketika dihubungi Malaysiakini. Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie dilapor mengesahkan terdapat ahli Umno di negeri itu yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti itu sejak bulan lalu. Menurut Shaari lagi, beliau menyertai PKR atas kerelaan beliau sendiri dan diikuti oleh ahli-ahli Umno yang lain, yang juga tidak puashati dengan parti itu sekarang. Boleh cecah 1,000 orang Seingatnya, kata Shaari, sehingga bulan April lalu, 500 hingga 600 ahli Umno sudah menyertai PKR. "Kesemua mereka adalah penduduk di DUN Kuala Perlis yang terdiri daripada kaum Melayu dan Cina," tambahnya. DUN Kuala Perlis terletak dalam Parlimen Kangar. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu adalah ketua Umno bahagian Kangar. "Saya bukan tarik mereka (menyertai PKR), saya masuk atas kehendak diri sendiri. "Mereka ramai-ramai minta borang (keahlian PKR)," katanya sambil menambah jumlah tersebut boleh mencecah 1,000 orang. Ditanya sama ada beliau menerima sebarang ugutan atau sabotaj selepas menyertai PKR, Shaari berkata: "Tidak ada sebarang sabotaj sebab saya orang bukan orang kuat dalam Umno. Bagi mereka (Umno) saya tak ada apa-apa. Bagi mereka saya orang kecil," katanya. Gagal dapat hakmilik Shaari juga mendakwa penduduk di Kuala Perlis terutama di Kampung Seberang Tok Pi yang pernah memohon hakmilik tanah daripada kerajaan negeri, kecewa kerana sehingga hari ini belum diluluskan. Sebelum ini, katanya penduduk di kampung tersebut pernah kehilangan tempat kediaman dalam dua kebakaran sebelum ini. "Sekarang ini penduduk kampung tinggal di rumah yang didirikan di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). "Ia rumah kayu seperti rumah panjang yang dikenali sebagai rumah pelangi. "Bekas tapak tanah mereka telah dibangunkan, jadi mereka tak ada harapan nak pulang (ke situ). "Di mana mereka nak tinggal jika JPS ambil balik tanah itu?" soal Shaari. Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie dilaporkan sebagai berkata memang terdapat ahli Umno, yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti tersebut sejak bulan lalu. Katanya, kebanyakan mereka dari bahagian Kangar, terutama di DUN Kuala Perlis dan setakat ini pihaknya sudah menerima hampir 200 borang keahlian. Manakala mantan menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata mereka yang menyertai PKR termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK). Pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan