Lanjusoh | Foto Miji | |
KUALA KRAI, 11 Julai (Hrkh) - PAS melihat momentum pilihan raya kecil pasca 2008 akan berulang di Manek Urai berdasar kepada perkembangan semasa yang berlaku. Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, setiap kali menyertai pilihan raya kecil atau besar PAS mengharapkan kepada kemenangan. "Kita InsyaAllah mampu menambah majoriti dengan mengambil kira keputusan pilihan raya kecil sebelum ini yang bermula di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang akan turut memberi kesan di Manek Urai. "Cuma tinggal dua hari lagi pilihan raya akan berlangsung. Kita melihat isu-isu tempatan sudah banyak dijelaskan oleh agensi kerajaan pusat dan negeri. "Selain itu sudah banyak penjelasan yang dibuat Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri," katanya ketika ditemui media selepas program solat sunat dhuha di perkarangan Masjid Kampung Peria di sini, hari ini. Ribuan penduduk tempatan hadir menunaikan solat dhuha yang diimamkan Menteri Besar. Ia diadakan sempena program Bulan Sembahyang sekarang. Menurut Nasharuddin isu royalti minyak biar pun kurang difahami penduduk tempatan namun melalui penjelasan yang dibuat boleh memberi kefahaman kepada mereka. Sebaliknya kata beliau ia juga boleh memberi justifikasi kepada pemimpin Umno. Ditanya ketidakhadiran pada awal kempen di Manek Urai katanya, beliau menghadapi masalah kesihatan sehingga terpaksa menjalani pembedahan di Serdang Khamis lepas. "Saya menghadapi masalah usus dan keadaan badan saya masih lagi lemah. Namun alhamudillah saya dapat hadir sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini. Sebelum ini saya janji mahu berada di Manek Urai hari Sabtu dan hari ini saya tunaikan," katanya. Bagaimanapun beliau tidak menafikan ada keputusan dibuat Badan Perhubungan Negeri kurang memberi ruang kepadanya pada kempen hanya pada peringkat awal sahaja. "Tetapi selepas melihat kepada perkembangan yang berlaku di peringkat bawah dan selepas Presiden pun ada di sini didapati banyak andaian-andaian sebelumnya tidak tepat. Saya telah diminta oleh Presiden dan Mursyidul am PAS supaya datang ke sini. "Saya tidak dapat hadir pada hari penamaan calon disebabkan oleh masalah kesihatan. Dan alhamdulillah selepas operation saya boleh hadir ke sini," ujarnya. Beliau juga berkata tidak berbanngkit isu-isu pada muktamar lepas pada pilihan raya kecil ini kerana ia lebih terarah kepada isu-isu tempatan. Beliau juga memberitahu akan membuat penjelasan mengenai apa yang berlaku sebelum ini selepas pilihan raya kecil Dun Manek Urai. Katanya, beliau mengambil sikap tidak menjawab segala isu yang timbul sebelum ini apabila mengambil kira media di Malaysia tidak bebas. Beliau juga berkata, terdapat cabaran baru dalam perjuangan PAs sekarang apabila ada kemungkinan terkeluar sedikit daripada kerangka Islam ekoran tindak tanduk sesetengah pihak. "Alhamdulillah dengan umur PAS yang sudah masuk 56 tahun sudah cukup matang untuk menangani isu-isu yang berlaku sekarang. Prinsip tidak akan berubah dan yang berubah ialah prinsip dan metodologi. "Saya melihat mereka tidak ada isu sehingga ada pemimpin Umno yang mahu mencabar saya. saya tidak perlu jemputan kepada Umno untuk hadir berceramah. Organisasi PAS sudah cukup untuk mengatur segala program untuk saya," katanya. Beliau yang juga anggota parlimen Bachok berkata, banyak usaha yang telah dilakukan arwah Paksu Wil di Manek Urai. Begitu juga usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri dengan melaksanakan pelbagai program. "Jadi kita lakukan kesinambungan apa yang telah dilakukan oleh Paksu Wil," katanya. Nasharuddin juga berkata, penduduk di Manek Urai berharap kepada penyelesaian kes-kes berkaitan kehidupan harian mereka sebagaimana dilakukan Allahyarham Paksu Wil. "Personaliti yang ada pada Abe Uji boleh menjadi tarikan kepada pengundi," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan