Istana Khir Toyo: Suee Lim minta Khir serahkan kunci banglonya


SHAH ALAM, 3 Ogos: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim meminta Datuk Seri Mohd Khir Toyo menyerahkan kunci banglo mewahnya bagi membolehkan para bakal pembelinya melihat hiasan dalamannya sebelum membuat keputusan membelinya.

Permohonan itu dibuat Suee Lim selepas Khir bersetuju melantik beliau sebagai agen hartanahnya dan bersetuju menyerahkan 50 peratus dari harga rumahnya itu jika beliau berjaya menjualnya dengan harga RM24 juta.
Hari ini, beliau membawa 50 penduduk Dun Sungai Panjang yang diwakili Khir dengan menggunakan bas persiaran kerana mereka hendak sangat melihat banglo mewah Khir itu.

Setiap peserta lawatan itu dikenakan bayaran RM50. Selain melawat banglo Khir dan bergambar di depannya, mereka juga dibawa melawat kawasan pusat tarikan pelancong yang lain.

Sehubungan dengan sambutan yang sangat menggalakkan itu, Suee Lim mencadangkan agar kerajaan negeri Selangor menjadikan banglo itu sebagai salah satu kawasan tarikan pelancongan di negeri itu.

Sebelum ini, Suee Lim menimbulkan kekecohan besar apabila beliau membawa para wakil media melawat banglo di Jalan Suasa 7, Shah Alam itu dan memberitahu itu adalah milik Khir.

Dia juga mendakwa, banglo itu bernilai RM24 juta. Ia kemudiannya dinafikan oleh Khir dengan berkata, ia dibeli dengan harga RM3.5 juta melalui pinjaman bank HSBC.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan