Mohd Nor Yahya | |
KOTA BHARU, 3 Ogos (Hrkh) - Usaha kerajaan Kelantan untuk memastikan kedudukan sebenar pelantar minyak sama ada berada di perairan negeri ini atau sebaliknya tidak mendapat kerjasama pemimpin Umno. Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Dato' Mustapa Mohamed dan ketua pembangkang di Dun Kelantan, Dato' Mohd Alwi Che Ahmad tidak memberi sebarang jawapan di atas pelawaan menyertai rombongan kerajaan negeri bagi meninjau lokasi pelantar. Selain itu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga gagal memberi sebarang jawapan terhadap surat jemputan kerajaan negeri yang dihantar sebelum ini. Sedangkan menjelang pilihan raya kecil Dun Manek Urai 14 Julai lalu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menganggap Kelantan tidak layak mendapat royalti 5 peratus. Alasannya kerana kedudukan pelantar di kawasan bertindih antara tiga negara iaitu Thailand, Vietnam dan Malaysia. Rombongan kerajaan negeri seramai 50 orang yang diketuai Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasuruddin Daud akan meninjau kedudukan pelantar terbabit bersama anggota Exco, Dato' Husam Musa esok. Turut sama pada tinjauan itu beberapa Adun, anggota Parlimen Pakatan Rakyat, pegawai kanan kerajaan negeri, profesor dari universiti tempatan, juru ukur perunding, petugas media dan blogger. Pegawai Khas anggota Exco, Dr Rosli Alaani Abdul Kadir berkata, rombongan tersebut akan berkumpul di jeti Pengkalan Kubor sebelum bertolak kira-kira jam 8 pagi. "Rombongan kerajaan negeri itu turut mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim yang berpangkalan di Tok Bali," katanya di sini. Difahamkan pelantar yang akan dilawati rombongan berkenaan dikenali sebagai Cakerawala. Menurutnya, misi tersebut diharap akan menambahkan maklumat kepada rakyat negeri ini mengenai tuntutan royalti minyak sebanyak 5 peratus kepada Petronas. Sebelum ini kerajaan negeri menuntut royalti sebanyak RM1 bilion memandangkan pelantar carigali minyak dan gas di PM301 didakwa berada dalam kawasan perairan Kelantan. Pengeluaran minyak mentah dan gas di kawasan itu bermula sejak 2004. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan