UBN Najib Altantuya: Siapa peduli kerugian ekonomi keluarga ISA

Oleh MAT ZAIN MAT ISA

Sepertiman
a lazimnya, media massa arus perdana sekali lagi menjadi senjata utama merasionalkan pendirian dan mempertahankan tindakan kerajaan dalam isu demonstrasi rakyat membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Sabtu (1 Ogos) lalu. Di masa sama segala macam persepsi dan implikasi negatif dihalakan kepada pihak penganjur perhimpunan yang menuntut akta zalim itu dihapuskan.

Sementara akhbar-akhbar utama berbahasa Cina pada Ahad (2 Ogos) merakamkan detik penentangan rakyat itu dari perspektif lebih telus dan adil, akhbar-akhbar berbahasa Melayu pula memilih mencorakkan minda pembaca dengan perspektif sempit selari dengan kehendak parti pemerintah.

Sekurang-kurangnya empat akhbar Cina, iaitu Sin Chew Daily, China Press, Guang Ming Daily dan Nanyang Siang Pau memuatkan gambar para demonstran yang diambil dari sudut luas di muka depan masing-masing.

Tepat seperti dikata orang, sekeping gambar menceritakan seribu perkara. Gambar-gambar yang termuat di muka depan keempat-empat akhbar itu menunjukkan puluhan ribu demonstran sedang berarak, masing-masing di lokasi berbeza.

Sebaliknya, akhbar-akhbar Melayu hanya memuatkan gambar yang tidak menggambarkan situasi keseluruhan. Ada gambar lima-enam demonstran memulangkan tin bom asap ke arah pihak yang menembaknya, ada gambar sebilangan mereka sedang lari dari asakan pasukan polis dan ada gambar polis sedang menangani keadaan.

Ulasan dan kenyataan pelbagai pihak mengenai demonstrasi turut dipilih-pilih. Hanya yang positif terhadap kerajaan disiarkan di ruang utama. Walaupun ada juga dimuatkan komen dan pandangan yang bersetuju ISA dimansuhkan, ia tenggelam di celah-celah puluhan ulasan yang mempertahankan akta itu.

Sebahagian pandangan pro-ISA mahu ia dikekalkan dalam keadaan yang ada, manakala sebahagian lain mencadangkan ia hanya dikaji semula dan dipinda, bukan dimansuhkan. Pandangan kedua itu dianggap bertepatan dengan pendirian kerajaan.

Bertolak dari situ, beberapa pihak menyifatkan tindakan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menganjurkan perhimpunan itu sebagai tidak bijak. Ia dikatakan gagal mengambil kesempatan atas keterbukaan kerajaan mendengar pandangan rakyat menerusi perbincangan dan cadangan rasional.

GMI yang turut didokongi parti-parti Pakatan Rakyat juga dianggap gagal memanfaatkan saluran yang betul. Ia sepatutnya menggunakan medan Parlimen untuk menyuarakan pandangan mahupun bantahan, bukannya memilih jalan raya.

Dikatakan ISA lahir di Parlimen. Maka sebarang usaha membantahnya juga perlu menggunakan saluran Parlimen.

Sebenarnya, pihak yang berpandangan begini sama ada jahil fakta sejarah atau pun sengaja mencari hujah demoralisasi terhadap GMI dan perjuangan menuntut keadilan. Sebabnya, selama hampir separuh abad ISA wujud, bantahan dan pandangan kedua mengenainya tidak pernah berhenti disuarakan termasuk di Parlimen.

Malangnya, pandangan pemimpin pembangkang tidak pernah dihiraukan Barisan Nasional (BN). Pekikan dan rayuan rakyat agar akta itu dihapuskan bagaikan singgah di telinga yang 'pekak badak'. Ertinya, saluran Parlimen telah terbukti tidak memberi kesan kepada keangkuhan BN.

Paling banyak disensasikan akhbar-akhbar selepas demonstrasi ialah apa yang didakwa implikasi ekonomi. Kononnya pelbagai pihak, terutama para pengusaha pusat beli-belah, peniaga dan penjaja serta pemandu teksi di sekitar kawasan perhimpunan mengalami kerugian besar.

Seorang pengurus rangkaian pasaraya terkenal menganggarkan kerugian pihaknya sehari tersebut mencecah RM300,000 apabila dua pasarayanya terpaksa ditutup. Jurucakap sebuah persatuan penjaja pula dipetik sebagai mendakwa ahli-ahli persatuannya kerugian lebih RM250,000 ekoran operasi terjejas.

Seorang menteri turut menganggarkan kerugian keseluruhan dari sudut ekonomi lebih RM100 juta. Jika benar segala angka didakwa itu, maka dapatlah kita bayangkan betapa kesal, marah dan kecewanya pihak terlibat apabila hak dan kebebasan mereka berurusniaga disekat atau tergendala, walau pun hanya sehari.

Sepatutnya, di atas naluri kemanusiaan, mereka yang begitu marah itu lebih mudah memahami betapa kecewa, sedih dan deritanya sebuah keluarga yang hilang punca pendapatannya apabila bapa atau ketua keluarga mereka ditahan ISA.

Kerugian ekonomi ditanggung keluarga mangsa ISA bukan setakat sehari-dua, tetapi berbulan atau bertahun. Bahkan, ada ketua keluarga yang sudah melangkaui tujuh tahun ditahan tanpa bicara. Jika pendapatannya serendah RM50 sehari pun, sudah berapa ratus ribu "kerugian ekonomi" ditanggung keluarga tersebut?

Bagaimana pula dengan kerugian emosi atau kesan psikologi negatif ditanggung isteri dan anak-anak yang dipaksa berpisah dari suami dan bapa mereka? Kehadiran semua anggota keluarga tersayang di setiap waktu yang diperlukan adalah kunci keharmonian dan kebahagiaan sesebuah keluarga. Demi Allah, peluang dan ruang itu terlalu mahal untuk ditukar dengan wang ringgit, biar pun berjuta nilainya.

Puluhan ribu demonstran Sabtu lalu bukan sahaja meninggalkan kerja harian, malah mengeluarkan belanja pula semata-mata untuk menyatakan pendirian mereka tentang ISA. Mereka juga membayar harga yang mahal untuk sebuah perjuangan menuntut keadilan dan hak asasi kemanusiaan.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan