UBN Najib Altantuya: 'Terima kasih atas kekasaran polis'

Oleh Mohamad Sabu

TANGGAL 1 Ogos 1960 adalah detik hitam dalam sejarah demokrasi di Tanah Melayu (Malaya). Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan oleh Parlimen Malaya.

Tujuan asal adalah untuk memerangi pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) dan anasir-anasir lain yang tidak berjuang melalui proses demokrasi. PAS menyokong akta tersebut dengan tujuannya hanya untuk memerangi pengganas bersenjata komunis

Selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri diabsahkan oleh Parlimen, kerajaan Perikatan menyalahgunakan ISA terutama untuk menahan anasir pembangkang yang tidak sehaluan dengan kerajaan Periktan. Bahkan pemimpin pelajar, pemimpin kesatuan sekerja diratah oleh kerajaan Perikatan dan Kerajaan BN, disumbat ke kem tahanan Batu Gajah dan kemudiannya Kem Kamunting.

ISA lebih digunakan untuk mempertahankan kuasa hegemoni Perikatan dan Barisan Nasional (BN) terutama selepas PKM meletakkan senjata, dengan menangkap dan menahan tokoh pembangkang dan mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan BN.

Gerakan Mansuh ISA (GMI) mengajak rakyat untuk membuat himpunan aman supaya ISA dihapuskan terus dari bumi Malaysia. ISA sudah menjadi tidak popular kepada rakyat Malaysia. Parti-parti pembangkang sudah lama mendesak supaya ISA
dihapuskan.

Parti-arti komponen BN juga mendesak ISA dikaji semula. Parti Gerakan, sebahagian pemimpin MCA mahu ISA dikaji semula. Bahkan ada menteri Umno sanggup meletak jawatan kerana menentang penyalahgunaan ISA terhadap rakyat yang bersuara tanpa menggunakan senjata.

Pada tanggal 1 Ogos 2009, puluhan ribu rakyat berarak di Kuala Lumpur. Mereka bergerak secara aman untuk meminta kerajaan menghapuskan ISA. Pihak polis bertindak keras dan cuba menghalang perhimpunan itu supaya gagal.

Ratusan anak anak muda ditangkap sejak awal pagi, walaupun pihak GMI memberitahu perhimpunan akan di mulakan kira-kira jam 2.00 petang. Entah berapa tangki air asid, ratusan tembakan gas pemedih mata dilepaskan pada orang ramai tanpa amaran apa-apa.

Orang ramai lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri. Para peniaga di sekitar Sogo, Jalan Masjid India, Jalan Tunku Abd Rahman menutup perniagaan, sebahagian besarnya restoran dan warung makan.

Para peniaga gemar apabila orang ramai berada di premis mereka, barangan jualan mereka akan habis dibeli. Tetapi gas pemedih mata dan semburan air asid merosakkan kehadiran pelanggan dan dan barangan perniagaan mereka.

Gendang dipalu oleh media kerajaan yang pro-Umno bahawa kerugian lebih RM200 juta akibat tunjuk perasaan. Paling tak masuk akal perniagaan tidak laku kerana kehadiran orang ramai. Perniagaan tidak laku kerana air asid dan gas pemedih mata.

Kami berterima kasih kerana pihak polis bertindak kasar menyebabkan orang ramai semakin benci kepada Umno-BN. Pernah berlaku perarakan membantah karikatur menghina Nabi Muhamad s.a.w., puluhan ribu ambil bahagian, kepala perarakan sampai di Wisma Denmark, ekornya masih di Masjid Kampung Baru; polis memberi kerjasama, perarakan berlangsung dalam suasana aman dan tenteram.

Selesai perarakan pihak polis bersalaman dengan orang ramai. Selepas itu orang ramai ke kedai makan dan restoran sehingga warung makan dan restoran kehabisan makanan. Peniaga gembira di atas kehadiran orang ramai.

Paling pelik bin ajaib peniaga di Sogo, Jalan Masjid India, Jalan Tunku Abdul Rahman rugi kerana kehadiran orang ramai. Kalau Pak Pandir hidup dia akan tertawa terbahak-bahak di atas pembohongan media kerajaan dan pro-Umno.

Gendang sama dimainkan oleh media BN selepas himpunan Hindraf dan Bersih, tetapi kebencian rakyat kepada Umno-BN diterjemah selepas itu dengan pembangkang menang besar dalam pilihan raya Mac 2008.

Terima kasih atas kekasaran polis pada 1 Ogos 2009, dan Umno-BN akan dibenci terus oleh rakyat, terutama anak-anak muda yang begitu ramai menyertai himpunan anti-ISA tersebut. Kali ini 1-Malaysia BN akan kecundang di atas pembohongan media mereka.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan