UBN Najib Altantuya: Tok Guru Nik Aziz bukan beri 'muka'

Oleh ANIS NAZRI

Golongan cerdik pandai Islam yang lebih berilmu seharusnya mengingati terdapat peringatan di dalam Al-Quran yang menegaskan hendaklah menyiasat terlebih dahulu sebarang perkhabaran atau berita agar tidak membuat sebarang hukuman atau justifikasi tentang berita tersebut.

Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi berkata demikian sebagai respons kenyataan dua orang ahli akademik yang menegur Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana dikatakan tidak membantah tindakan DAP yang menghina Islam.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid menganggap tindakan Tok Guru Nik Abdul Aziz ‘menghalalkan’ tindakan DAP menghina Islam merupakan satu kenyataan yang dipengaruhi oleh pendirian politik dan tidak berdasarkan kepada kearifan ilmu agamanya.

Manakala Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Dato' Dr. Mohammad Yusoff Hussain berkata Tok Guru Nik Abdul Aziz terlalu memberi ‘muka’ kepada DAP atas alasan mereka tidak memahami Islam secara mendalam.

Mengulas isu tersebut Aiman Athirah berpendapat apa yang dimaksudkan Tok Guru bukan untuk mempertahankan DAP, tetapi sikap Umno dan BN yang jelas tidak mempertahankan Islam.

"Dalam isu berkaitan ini adakah ahli akademik ini menyelidik terlebih dahulu. Dan apakah peranan mereka dalam menyampaikan maklumat mengenai Islam agar tidak timbul isu-isu seperti ini.

"Apa yang mengecewakan kita jika ahli akademik pengajian Islam juga terjebak untuk merosakkan Pakatan Rakyatdalam pergolakan isu yang tidak jelas seperti isu azan Teresa Kok dan isu Anthony Loke ," katanya, sewaktu dihubungi Harakah.

Katanya jika ahli akademik memainkan peranan sedemikian, apa peranan golongan ini dengan golongan memfitnah dan mengadu domba.

Justeru katanya, ahli akademik seharusnya memainkan peranan bertanyakan kepada DAP apa yang tidak kena mengenai Islam daripada terlibat dengan kancah politik yang mengadu domba serta pertembungan antara Pakatan Rakyat dan BN.

Jelasnya, jika ingin membina Malaysia yang aman, jujur dan demokratik sebagaimana yang dilaungkan Najib dalam slogannya, semua pihak perlu membuka perbincangan kepada pihak yang tidak memahami Islam.

Katanya, dalam Seminar Pengukuhan Pakatan Rakyat yang diadakan pada 13 Ogos lalu, DAP menjelaskan mereka tidak pernah mahu mencampuri serta menghina bangsa mahupun agama.

Tambahnya, dalam situasi hubungan Pakatan Rakyat begitu begitu kuat menjadi agenda Umno dan BN untuk menghancurkan ukhwah dan persepakatan yang telah dibina dalam Pakatan Rakyat.

"Dalam isu arak misalnya, masalah yang timbul bukan daripada DAP. Kilang arak yang berada di Shah Alam dan terbesar di Asia ini bukannya didirikan DAP. Ia wujud sewaktu pemerintahan BN.

"Jadi, sebagai umat Islam jika mahukan politik yang bersih dan baru serta jangan terperangkap dengan politik perkauman Umno dan BN yang sempit," katanya.

Justeru beliau menyeru agar pimpinan Umno dan BN menghentikan pengkhianatan dan propaganda isu-isu yang berkaitan dengan bangsa dan agama kerana Umno lah yang merosakkan agama dan bangsa.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan