Abdullah Azzam El-Qumy | |
Kita diminta mencari Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Sebuah surah khas telah diperuntukkan bagi tujuan menjelaskan keadaan tersebut. Nama surah itu adalah Surah Al-Qadar. Peruntukan sebuah surah tentang malam Lailatul Qadar ini memang wajar dan kena pada tempatnya. Ini kerana, Lailatul Qadar sendiri mendapat namanya lantaran al-Quran diturunkan pada malam yang diberkati itu yang jatuh pada 17 Ramadhan. Setiap tahun, kita akan raikan Nuzul Quran pada 17 Ramadhan sebagai mengingati tarikh turunnya al-Quran ini. Hari ini, hari Nuzul Quran diraikan dalam kalendar negara, tetapi kalendar kita tidak boleh menunjukkan bilakah tibanya malam Lailatul Qadar itu. Sejarah turunnya Surah Al-Qadar Suatu ketika, baginda Rasulullah s.a.w pernah mengadu kepada Allah s.w.t mengenai hal umatnya yang pendek usia apabila dibandingkan dengan umat-umat yang terdahulu. Di dalam munajatnya baginda berkata lagi bahawa usia pendek itu nescaya menyebabkan umatnya tidak berkesempatan mengumpul banyak pahala seperti umat yang lalu. Sebenarnya, Allah telah memberikan kelebihan terhadap umat Nabi Muhammad sebelum ini dalam peristiwa Isra' Mi'raj. Kes itu melibatkan pengurangan jumlah bilangan 50 solat fardhu kepada 5 waktu, setelah masuknya 'campur tangan' Nabi Musa a.s dalam urusan pengurangan solat wajib itu. Ini bermaksud, Tuhan adalah Zat yang maha pengasih lagi maha penyayang sehinggakan amal ibadat masih boleh 'dirundingkan' dengan pengurangan dan penambahan angka. Tetapi, kita tidak dapat berunding lagi untuk mengada-adakan dan mengurangkan bentuk amal ibadat tersebut. Contohnya, kita tidak boleh mengada-adakan lagi solat wajib selain Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya'. Juga, tidak boleh mengurangkan solat itu. Adapun solat terawih, boleh saja kita amalkan sebanyak 8 rakaat, 12 atau 20 rakaat. Atau, kita boleh juga memperbanyak solat Tahajud, Tasbih dan lain-lain mengikut kemampuan kita sendiri. Demikian juga dalam hal meminta keampunan dan taubat. Maka, di celah-celah pengharapan munajat dan doa itu, maka turun Surah Al-Qadar, yang memperihalkan keadaan malam itu yang nilaiannya lebih baik daripada 1,000 bulan. 1,000 bulan itu setara 83 tahun iaitu usia tua renta umat Rasulullah s.a.w. Usia Rasulullah s.a.w. sendiri tidak sampai 80-an kerana baginda wafat sekitar usianya 60-an. Usia nabi dan rasul terdahulu bersama umat-umat mereka, ada yang melebihi 500 tahun, 700 tahun dan mungkin lebih panjang daripada itu. Sekurang-kurangnya, jika kita dapat 7 kali Lailatul Qadar, maka kita sudah berjaya mengatasi amal ibadat umat purba. Bagaimanapun, sebagai umat Muhammad s.a.w, jangan kita lupakan Lailatul Jaizah, iaitu malam raya yang diminta oleh baginda Rasulullah s.a.w, agar diindah malam raya dengan laungan takbir selepas sahaja masuknya waktu Maghrib. Sebenarnya untuk menghidupkan malam raya dengan laungan takbir bukanlah suatu yang amat sukar. Ini kerana, gaya hidup anak muda sekarang yang berkeliaran pada malamnya membuktikan bahawa mereka mampu menghidupkan malam dengan laungan takbir. Taubat tak boleh 'dirunding', jumlah taubat boleh 'dirunding' Jika amalan ibadat kita pada malam Lailatul Qadar itu bernilai 83 tahun, maka bagaimana pula keadaannya jika kita melafazkan kalimat taubat; istighfar pada malam tersebut? Sudah tentulah lumayan besar ganjaran yang terbit daripada lafaz kalimat taubat itu! Kita layak mendapat pelepasan daripada api neraka. Tapi, siapalah yang sanggup bersengkang mata, mengemis keampunan Allah bagi mendapatkan pembebasan api neraka? Sebenarnya apabila kita membincangkan hal taubat dan amal ibadat ini dan hubungannya dengan jumlah beramal ibadat dan tempoh lama bertaubat selama 83 tahun ini, maka kita terfikir sesuatu mengenai tempoh beramal dan tempoh 83 bertaubat ini. Iaitu, betapa tempoh-tempoh ini boleh ditambah dan dikurangi. Tetapi, amal ibadat serta amal bertaubat itu tidak boleh kita tinggalkan. Malah, wajib kita laksanakan. Jumlah bacaan istighfar misalnya boleh dilafaz sebanyak 70 kali dan 100 kali setiap hari; itulah yang diamalkan Rasulullah s.a.w sendiri. Istighfar adalah kalimat taubat. Maka, istighfar itu perlu, tetapi jumlah lafaz istighfar itu boleh 'dirunding', dikurangi atau ditokok tambah; paling rendah 70 kali atau paling tinggi 100 kali dalam sehari. Kes sebatan ke atas isteri Nabi Ayub a.s juga tidak kalah menariknya untuk dibincangkan tentang hal penambahan dan pengurangan jumlah sebatan ini. Asalnya, isteri nabi itu mahu disebat 100 kali. Tetapi, akhirnya, Allah SWT menggantikan sebatan itu dengan 100 berkas ikat rumput kering dan hanya disebat sekali saja. Jadi, hal ini menunjukkan bahawa 'jumlah denda' itu dapat dikurang dan ditokok tambah atau boleh dirunding rukhsah, tetapi hukuman sebagai taubat itu tak boleh dimansuh. Solat fadhu misalnya boleh dipendekkan jika bermusafir atau dikurangi rakaat tetapi solat wajib dibuat. Solat tak boleh dimansuh dengan sebab musafir atau sakit. Orang uzur pun mesti bersolat mengikut kesesuaian keadaan mereka. Ada rukhsah untuk bersolat sambil duduk atau pun tidur berbaring. Taubat pun demikian juga. Ia mesti diiringi lafaz istighfar dan didenda, sesuai dengan ketetapan hukum. Baca selanjutnya:- http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=022489&Itemid=90 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan