Nostalgia corat-coret Aidilfitri pimpinan PAS

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Mengacah meriam buluh dan bergasak mengumpul duit raya walaupun 10 sen cuma antara rakaman kehidupan yang tidak dilupakan mereka yang kini sudah bergelar pemimpin. Hakikatnya mereka juga orang biasa, yang punyai memori Aidilfitri sama seperti yang lain.

Seperti AJK PAS Pusat Haji Mohammad Sabu, yang ketika kanak-kanaknya terpaksa memakai baju sekolah sebagai baju raya kerana kemiskinan. Namun dalam serba kedaifan, mampu kumpul duit raya yang banyak lantas ke pekan berhampiran untuk menonton wayang.

Walaupun tika itu comot dan tidak bersikat, jauh sekali anak gadis jatuh minat namun baginya Syawal cukup seronok dan mengujakan!

Bagi Presiden Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Seluruh Malaysia (Anak) dan bekas AJK PAS Mazlan Aliman pula, tidak dapat dilupakan zaman kecilnya ketika demam dan sakit di bulan Ramadan.

Apa tidaknya, malu terasa apabila neneknya mengikat tali kasut di lehernya, sebagai petua mengelak muntah dan bayangkan apabila rakan-rakan menziarah. Tebal mukanya.

Lain pula kenakalan zaman budak-budak Bendahari PAS Pusat Dr Hatta Ramli terasa begitu berselera dan hampir berbuka puasa hanya semata-mata kerana melihat kerak kuih sepit.

Begitu juga 'kerajinan' Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar bermain mercun dan 'melawan' meriam buluh paling kuat tanpa menghirau bahaya dan sering mengunjungi rumah terbuka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah ketika zaman remajanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula tidak lupa kesusahan yang dilaluinya sehingga tidak mampu membeli baju raya untuk isteri tercinta dan istimewanya, kini isteri beliau masih menerima tempahan menjahit baju raya walaupun Salahuddin bergelar Ahli Parlimen.

Bagi Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamarudin Jaffar menceritakan pengalamannya kerana tuntutan masa dan pengajian memaksanya berhari raya di asrama Malay College Kuala Kangsar (MCKK) sejak tingkatan satu dari tahun 1964 sehinggalah 1970.

Image"Kami beraya di rumah guru-guru dan warden, walaupun terpaksa berjalan kaki dari rumah ke rumah yang cukup jauh dan penat, kami tetap seronok dan semangat Raya itu ada.

"Zaman itu cuti pendek. Tak dapat untuk balik kampung," katanya yang juga berhari raya selama menuntut di United Kingdom.

10 sen cukup tinggi nilainya

Beliau yang menganggotai Persatuan Pelajar Islam London pernah menganjurkan solat Hari Raya di Malaysian Hall dan dan melahirkan rasa pilu bila kedua-dua ayah bonda telah pergi kerahmatullah ketika menuntut di UK.

Kini beliau beraya bersama keluarga dan seorang cucu yang menjadi teman hiburnya.

Zaman kecilnya sama seperti yang lain, berjalan mengutip duit raya walaupun setiap rumah kadarnya sejumlah 10 sen cuma.

"10 sen boleh membeli bukan setakat ais krim tetapi macam-macam lagi.

"Dulu saya main meriam buluh pakai karbait tetapi taklah sampai putus tangan seperti sekarang ini. Dulu cerita putus-putus ni tak da...," katanya yang kini seorang Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau bersyukur kerana berpeluang berbuka puasa, bertarawikh dan solat subuh bersama penduduk di sekitar Parlimen Tumpat walaupun tidak dapat memenuhi semua jemputan kerana mempunyai 4 Dun dan kawasan yang cukup luas. Sungguhpun begitu ketua-ketua kampung dan pimpinan peringkat cawangan dapat beliau raikan.

Kali ini beliau akan beraya di Kuala Lumpur memandangkan isterinya uzur dan akan memaklumkan kepada umum, Rumah Terbukanya di Tumpat.

"Saya ucapkan Salam Aidilfitri dan mahu rakyat menyambut hari lebaran dengan mendekatkan diri kepada Allah di samping memperbaiki kehidupan dunia dan akhirat.

"Saya menyeru umat Islam akan terus bersama perjuangan Islam dan bersama PAS sebagai harapan rakyat untuk alternatif yang baru...dan parti ini mampu mengisi harapan rakyat itu," jelasnya mengakhiri perbualan.

Seiring dan senada ucapan itu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali juga turut merakamkan Selamat Hari Raya kepada semua pendokong dan ahli PAS kerana telah menjalani proses pentarbiyahan dalam bulan ujian penuh berkah ini

"Manfaatkan Ramadan dan Syawal yang menjelma dan jangan lupa tanggungjawab sebagai pejuang Islam di samping menjaga etika jemaah Islam.

"Menjadikan diri contoh Islam yang baik dan jangan lupa perjuangan yang terdekat ini di Bagan Pinang,"katanya ringkas akibat keterbatasan masa dan kesibukan tugas.

Baca selanjutnya:- http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=22493&Itemid=1

Tiada ulasan:

Catat Ulasan