Mohd Nor Yahya | |
KOTA BHARU, 18 Sept: Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth Singapura akibat trauma saraf otak ekoran serangan jantung 14 Mei lalu. Pengelola Istana D'raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Ahmad berkata, Tuanku masih dirawat secara rapi memandangkan keadaannya tidak memuaskan dari segi penglihatan. Baginda mulai dirawat di hospital berkenaan pada 24 Mei lalu. Selain itu katanya, daya ingatan, pergerakan tangan dan kaki baginda masih lagi memerlukan rawatan fisioterapi. Beliau memberitahu perkara itu pada persidangan media di Istana Balai Besar di sini, petang semalam. Manakala pakar perubatan Hospital Univesiti Sains Malaysia, Datuk Prof Dr Mafauzy Mohamed berkata, seramai lima pakar perubatan memantau kesihatan Sultan iaitu tiga bahagian jantung, paru-paru (seorang) dan saraf (seorang). Beliau yang juga Pengarah Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian memberitahu pakar perubatan dari Kelantan turut memantau secara bergilir-gilir kesihatan tuanku. Sementara itu dalam perkembangan lain, rakyat negeri ini buat pertama kalinya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa Sultan Kelantan memandangkan baginda masih gering. Abdul Halim berkata, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra akan berangkat ke Masjid Muhammadi Kota Bharu bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat jelata bermula jam 8.30 pagi. "Baginda juga berkenan menerima rakyat untuk mengadap di Istana Balai Besar bermula jam 9.15 pagi hingga 10 pagi. "Sehari sebelum itu baginda juga akan berangkat ke Makam D�Raja Langgar bersama pembesar negeri untuk menziarahi makam Al-Marhumah Raja Perempuan Zainab II jam 5.00 petang,"katanya. Beliau juga berkata, kaum kerabat baginda akan berada di Singapura berhari raya bersama Sultan Kelantan. "Baginda pemangku Raja Kelantan turut merakamkan ucapan selamat hari raya kepada seluruh rakyat Kelantan dan berharap rakyat dapat merainya dengan penuh kesyukuran," ujarnya. Turut hadir pada persidangan media itu Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Haji Shafie Ismail. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan