Usah biarkan pahala Ramadan terelai di Bagan Pinang

M Faqih
ANALISIS

MALAM tadi beberapa jemaah masjid meluahkan perasaan di antara mereka. Hanya tinggal dua malam lagi solat tarawih dapat diadakan, ujar seorang daripada mereka. Katanya, selepas itu Ramadan akan pergi meninggal kita.

"Tahun hadapan belum tentu dapat bersolat tarawih lagi," ujarnya. Beberapa maklum lagi juga agak kusam wajahnya. Program tadarus yang mereka amalkan sejak malam pertama Ramadan lalu juga bakal berakhir.

Kumpulan tadarus juga bimbang program sama tidak dapat diikuti lagi tahun depan.

Inilah kebimbangan sempat dicatat di hujung Ramadan ini. Sedangkan di Bagan Pinang, Negeri Sembilan penduduk sudah berkira menanti durian runtuh menjelang 11 Oktober depan.

Umpan wang ringgit dan projek segera pastinya datang mencurah-curah.

Keinsafan dan berebut amal ketika Ramadan ini akan berlalu begitu sahaja.

Inilah yang menjadi perhitungan sesiapa sahaja yang bernaung di bawah payung politik sekular. Kehadiran Ramadan buat mereka sama sahaja seperti bulan-bulan lain.

Istilah puasa bagi golongan itu tidak lebih menahan lapar dan minum sahaja. Solat tarawih pun sudah memadai empat rakaat sahaja. Apa yang lebih menjadi perhitungan projek dan wang ringgit.

Maka bagi golongan ini, Umno menjadi lombong emas buat mereka. Buktinya baru setahun menang ketua pemuda bahagian, ada yang sudah bertukar Proton Waja kepada Mercedes SLK 230 Kompressor.

Ini bukan sekadar persepsi tetapi realiti yang muncul di mana-mana di bumi bernama Malaysia ini. Seorang sarjana di UKM, Jamaie Hamil menyebut nampaknya persepsi orang Melayu ialah Umno bukan sahaja wadah politik tetapi juga �lombong emas�. Lantaran katanya Umno dijadikan sasaran untuk mencari kekayaan.

Lihatlah di mana-mana hari ini. Rumah siapa yang besar itu, kalau tidak milik ketua bahagian atau ketua pemuda Umno. Milik siapa kereta mewah ini, usah tanya lagi. Tentu pemiliknya berbaju kameja putih bergambar keris bersilang.

Sedangkan konsep nasionalisme ekonomi pada peringkat awal dilihat sebagai landasan dibentuk kerajaan untuk mencapai kebajikan, material, kuasa serta kedaulatan rakyat dan negara.

Penyertaan Umno dalam bidang perniagaan pada peringkat awal sebagai penggalak kepada kaum Melayu terbabit dalam bisnes. Sasarannya mencapai 30 peratus penyertaan Melayu dalam bidang korporat.

Ekoran itu tidak hairanlah lahir ramai korporat Melayu yang berjaya.

Bermula dari situlah Umno dilihat banyak pihak sebagai lubuk untuk mengautkan keuntungan peribadi.

Umno telah menggunakan sepenuhnya kuasa politik untuk mengembang sayap perniagaan. Seorang sarjana Edmund Rerence Gomez menulis Umno sebuah parti yang memperkayakan segelintir korporat Melayu.

Inilah kejayaan sebenar Umno. Keuntungan hanya bersifat peribadi. Bukan lagi untuk dikongsi bersama masyarakat.

Anda tentunya masih ingat pakej penyelamat yang menggunakan dana negara bagi mengurangkan bebanan ditanggung Mirzan Mahathir apabila Konsortium Perkapalan miliknya ranap.

Sebanyak RM2 bilion dikatakan disuntik kerajaan ketika bapanya Tun Dr Mahathir sebagai ketua eksekutif pentadbiran Malaysia.

Laporan demi laporan menjelaskan salah urus dana kerajaan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) didedahkan, namun ia berlalu begitu sahaja.

Maka apakah 13,664 pemilih berdaftar di Bagan Pinang mahu membiarkan dana milik negara terus bocor di tengah jalan. Atau hanya untuk menyelamatkan orang yang dekat dengan ketua eksekutif sahaja.

Sedangkan rakyat di Bagan Pinang dibiarkan dengan rumah yang bocor ketika hujan, ditembusi sinar matahari semasa panas. Ramai lagi rakyat di tempat lain yang rumah berdinding kayu berlumut dan beratap zink berkarat.

Ini perlu difikir serius penduduk Bagan Pinang. Usahlah mereka mengikut jejak langkah pengundi di Manek Urai yang seakan hilang pendoman ketika dihulur banyak not kelabu menjelang 14 Julai lalu.

Maruah perlu dijaga. Perjuangan sebenar penduduk di Bagan Pinang kini terpikul di bahu 11,060 pengundi awam. Tanggungjawab mereka amat besar.

Menjelang tarikh membuang undi 11 Oktober ini mereka perlu khatam sifir politik. Sama seperti menghabiskan satu juzuk al Quran ketika Ramadan sekarang.

Pakatan Rakyat tidak meletak impian tinggi kepada 4,604 lagi pengundi yang berstatus pemilih pos. Biar pun ada jaminan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan wakil parti bertanding masuk ke kem pada hari mengundi, namun peraturan itu hanya cantik di atas kertas.

Pengalaman petugas PAS di Dun Kok Lanas, Kelantan yang mempunyai lebih 2,000 pengundi pos seharusnya menjadi pengajaran.

ImagePetugas PAS di Dun berkenaan, Abdul Manaf Abdullah berkata, wakil calon PAS tidak dibenarkan masuk ke dalam kem atas alasan keselamatan.

"Biar pun SPR memberi peluang, namun ia tidak berlaku sebagaimana diharap," katanya di sini.

Rakannya Ibrahim Mamat yang juga bekas anggota jawatankuasa Umno Kubang Kerian berkata, banyak perkara yang mencurigakan berlaku ketika hari pengundian di dalam kem.

Beliau mendakwa beberapa anggota tentera yang bertugas di luar kem memberitahu ada pihak lain mengundi bagi pihaknya.

ImageLebih mencurigakan lagi katanya mengapa isteri anggota tentera juga dimasukkan dalam senarai daftar undi pos.

Calon PAS di Dun Kok Lanas pada pilihan raya umum lalu, Datuk Ahmad Rusli Ibrahim.

Bagan Pinang mempunyai pemilih pos ketiga terbesar di negara ini selepas Wangsa Maju dan Lumut. Berdasar kepada senario itu hanya pengundi awam mampu menyelamatkan maruah negara.

Usaha pemulihan salah urus negara tidak akan berjaya selagi akronim BN masih memiliki kuasa. Maka jalan pintas rentapkan kuasa itu. Kali ini tugas pengundi Bagan Pinang pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan