KULIAH TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
SEBAHAGIAN tanggungjawab bersahabat ialah saling mengajar dan menasihati, kerana keperluan kepada ilmu tidak kurang keperluannya dibanding pada harta.
Justeru apabila berkawan bertujuan untuk mendapat pertolongan harta benda, itu bukanlah berkawan cara yang dikehendaki Islam.
Seandainya seseorang itu kaya ilmu yang dikurniakan Allah SWT, sayogia timbangrasa terhadap sahabatnya sekiranya jiwanya lapar dan dahaga ilmu.
Berilah santapan jiwanya dengan ilmu, sebagaimana bantunya memberi makanan ketika perutnya lapar.
Pimpinlah dia menuju kepada kebaikan di dunia lebih-lebih lagi kebaikan di akhirat. Justeru itu timbulnya sistem ‘usrah’ dengan berberapa orang yang diketuai seorang ‘naqib’ (penyelaras).
Usrah dipimpin seorang naqib. Ketua usrah tidak dipanggil sebagai tok guru, kerana menyebabkan ada orang merasa dirinya sebagai murid sentiasa jahil.
Justeru tiada peluang untuk bertukar fikiran merasa tidak perlu, kerana sudah ada tok guru di majlis tersebut. Usrah adalah majlis bentuk keluarga, perlu ada tegur menegur dan memberi pandangan.
Jika pendapat peserta tidak sejajar dengan keperluan usrah, menjadi tugas naqib sebagai ketua penyelaras, memberi pandangan dari sudut pengalaman dan pengetahuannya.
Dengan cara itu bakat sebagai penasihat dapat dicungkil dalam usrah, jika tidak penasihat hanya berlaku sebelah pihak. Sedangkan ta'lim ialah nasihat kedua pihak sebagai ukhuwah.
Sekiranya diajar dan dipimpin tetapi tidak mahu turut dengan kehendak ilmu, maka menjadi kewajiban naqib dan anggota usrah yang lain menasihatinya.
Sebahagian asam garam nasihat ialah peringatkan kembali mengenai peristiwa dahsyat di alam akhirat. Manusia akan berdepan dengan azab api neraka, jika melampaui peraturan Allah SWT.
Tujuan diperingatkan sengsara akhirat, supaya dia hentikan segala perkara yang ditegah ugama. Gerakkan jiwanya supaya sedar dia sedang bergelumang dengan keaiban.
Seperkara yang mesti diketahui ialah bahawa memberi nasihat dan teguran, hendaklah dilakukan dalam sulit rahsia.
Ajak dia ke suatu sudut dan nasihatinya secara empat mata, supaya orang lain tidak mengetahuinya.
Ini kerana orang yang dinasihati tidak terasa dirinya dalam salah. Telah jadi tabiat manusia yang dalam keadaan salah, dia tidak suka kesilapannya diketahui orang lain.
Justeru jika mendedahkan suatu perilaku yang negatif, jangan disebut nama pelakunya. Nabi Muhammad s.a.w. apabila terlihat kelakuan yang tidak baik oleh seorang sahabatnya, lalu dijadikan tajuk ucapan nasihatnya tanpa menyebut siapa pelakunya.
Nabi s.a.w. menasihati secara umum, mana yang wajar dan mana yang tidak. Seorang alim dan juga sebagai wali bernama Dzunnun Al-Masri berkata: "Kamu berkawan dengan Tuhan hendaklah dengan menyetujui semuanya, tidak berkawan dengan makhluk kecuali ada tegur menegur (nasihat menasihati), jangan berkawan dengan nafsu sendiri kecuali kamu berbalah dengannya."
Menurut Dzunnun bahawa hidup di dunia ini mesti berkawan dengan tiga pihak, lantaran tiga pihak itu berbeza maka cara berkawan pun berbeza juga.
Wajib bersama Allah SWT "Wahua ma'akum ainama kuntum," bahawa Allah SWT bersama denganmu di mana saja kamu berada. Manusia sentiasa berangkai dengan kekuasaan-Nya, setiap masa dan ketika.
Berkawan dengan Tuhan secara turut dan patuhi segala suruhan dan larangan-Nya, itulah cara dan kaedahnya manusia Muslim berkawan dengan Tuhan.
Sebab itu jangan ada sesaat pun hati terlalai dengan-Nya, kerana lalai itulah punca utama manusia menuju kepada ingkar dan kesalahan.
Manusia adalah mahluk. Justeru dia mesti bermasyarakat dan berkawan sesama makhluk, dengan cara saling tegur menegur nasihat menasihati. Sesiapa melakukan kesilapan jangan malu menerima tegur nasihat kawannya.
Ketiga, manusia terpaksa berkawan dengan nafsu, kerana nafsu itu kurniaan Allah SWT bersama kejadian dirinya. Tetapi kejadian nafsu seperti yang dijelaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan jiwa serta penyempurnaanya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kekufuran dan ketakwaannya." (Surah Asy-Syams ayat 7 dan 8)
Apabila manusia sedar bahawa nafsu sentiasa bersamanya, mereka terpaksa berkawan dengannya. Oleh kerana nafsu diilhamkan Allah SWT jalan berlaku fujur (kufur) dan takwa (taat) kepada Tuhan, maka cara berkawan sentiasa berlawan dan waspada.
Nafsu seperti yang ditegaskan oleh al-Quran menerbitkan dua perkara yang bertentangan, elok (takwa) dan hodoh (fujur). Kedua-duanya sama sama berasal dari nafsu.
Sebahagian ulama menafsirnya bahawa yang cenderung kepada fujur (ingkar) ialah nafsu yang rendah, sementara yang cenderung kepada takwa ialah nafsu jenis akal. Sesuai dengan akal dari minda yang terletak pada tempat tinggi.
Apabila bersahabat dengan seseorang mesti wujud nasihat menasihati, kerana nasihat itu menggerakkan hatinya yang lalai, hingga mengetahui apa yang dia tidak tahu sebelumnya.
Yang demikian adalah bukti kamu betul betul kasihan belas dengannya, sebagai sahabat sejati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan