Kerajaan tidak serius: Bahasa Melayu tidak boleh jadi bahasa dunia / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Detikdaily

Pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan tidak memberikan sebarang kesan selagi kerajaan tidak membuat keputusan tentangbahasa pengantar di peringkat sekolah menengah serta pendidikan tinggi. Itu antara pendapat kritis yang diutarakan tokoh bahasa serta Karyawan Tamu, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof. Emeritus Dato' Abu Bakar Abdul Hamid kepada NYZA AYOB serta wartawan pelatih UiTM, NADIA IDRIS sewaktu diwawancara.

Beliau yang ditemui di pejabatnya di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya turut mempersoalkan tentang keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisyitiharkan Oktober ini sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. Apakah dengan pengisytiharan tersebut mampu menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan?

PROF DATO' ABU BAKAR ABDUL HAMID: Sudah sampai masanya kerajaaan memikirkan semula langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar ilmu dan sebagai bahasa untuk menjadi lambang kepada Malaysia.
Kita bercakap mengenai 1Malaysia tetapi kita tidak bercakap mengenai satu bahasa. Jika 1Malaysia tentulah orang boleh berkomunikasi antara satu sama lain dengan menggunakan satu bahasa.
Tetapi masing-masing bercakap dengan bahasa masing-masing dalam segala kegiatan. Jika di sekolah sekarang, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hanya peringkat tertentu sahaja.
Di peringkat yang lebih tinggi selepas SPM, kita tidak tahu apa bahasa pengantar yang sebenar. Ini sebenarnya telah mundur. Dahulu bahasa kebangsaan yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun 60-an, ia tidak dilaksanakan.
Tetapi selepas berlaku peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, barulah ia dilaksanakan semula. Tetapi hari ini, di peringkat sekolah menengah atas serta di peringkat universiti, apa bahasa pengantarnya?
Tidak ada pengumuman lagi dan tidak ada dasar yang jelas. Saya melihat bulan bahasa kebangsaan ini diadakan semula selepas beberapa tahun ini, sebagai usaha kita membawa ke depan dan dua langkah ke belakang.

Boleh Prof jelaskan maksud kita sudah dua langkah ke belakang?

Sekarang ini kita sudah dua langkah ke belakang dan hendak melangkah semula ke depan. Dahulu, bulan bahasa telah dijalankan dengan jayanya sehingga kita sudah mengubah bahasa pengantar pendidikan, apabila semua orang sudah mula belajar Bahasa Melayu dan Bahasa Melayu dianggap penting dalam pentadbiran.
Sekarang, kita telah melangkah dua langkah ke belakang apabila melaksanakan PPSMI. Saya pernah sebut berkali-kali jika PPSMI dilaksanakan, dalam tempoh 17 tahun, Bahasa Melayu akan tamat riwayatnya.
Tetapi kita lihat sekarang ini, kita pun tidak tahu akan kembali ke keadaan asal atau tidak setelah pelbagai lapisan masyarakat turun berdemonstrasi membantah pelaksanaan PPSMI. Sewaktu demonstrasi itu saya sempat berbincang dengan rakan-rakan dan kami tertanya-tanya sesama kami, pernahkah ada rakyat di negara lain yang terpaksa berdemonstrasi untuk menegakkan dasar yang telah termaktub dalam akta dan telah termaktub dalam perlembagaan. Sepatutnya kerajaanlah yang menjalankan dasar ini. Tetapi kerajaan yang mungkir dan tidak melaksanakannya. Masyarakat pula terpaksa berdemonstrasi menuntut agar kerajaan melaksanakan apa yang telah termaktub dalam perlembagaan.
Cuma di Malaysia sahaja kerajaan yang melaksanakan sikap sebegitu terhadap sesuatu yang telah termaktub dalam perlembagaan. Jika dilihat pada demonstrasi tersebut, rakyat disembur dengan gas pemedih mata.
Ini merupakan perbuatan yang sangat kejam dilakukan kerajaan. Sudahlah kerajaan ini melakukan sesuatu yang bertentangan dengan dasar yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, orang yang hendak menegakkan akta tersebut dilakukan sedemikian rupa. Ini kerajaan jenis apa?

Tan Sri Muhyiddin menyatakan langkah pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi. Jadi, sejauh mana Prof melihat usaha ini dapat dilaksanakan?

Kerajaan harus melaksanakan dalam pentadbiran. Mesyuarat kementerian-kementerian jika dilihat hari ini, menggunakan bahasa apa? Jika Bulan Bahasa Kebangsaan ini untuk menyedarkan rakyat, rakyat akan melaksanakannya jika kerajaan melaksanakannya terlebih dahulu. Bagi saya itu yang lebih penting.
Saya mengingatkan diri saya agar janganlah saya bersikap sinis dengan apa yang kerajaan ingin lakukan. Saya menyatakan barangkali kerajaan jujur dan kerajaan betul-betul ingin melakukannya. Tetapi bukti-bukti yang lain itu amat mengganggu fikiran dan perasaan saya. Saya telah terlibat dengan isu bahasa ini terlalu lama.

Ini bermaksud Prof melihat kerajaan tidak serius dalam melaksanakan Bulan Bahasa Kebangsaan ini?

Dalam konteks tersebut, saya melihat apakah kerajaan serius dengan pelaksanaan bulan bahasa ini? Bagi saya, selagi kerajaan tidak membuat keputusan tentang bahasa pengantar untuk sekolah menengah atas sehingga ke peringkat pendidikan tinggi, pelaksaan bulan bahasa atau tahun bahasa tentu ia tidak akan ada apa-apa kesannya.
Ini hanya permainan politik untuk mengaburi mata orang ramai sahaja. Saya ada terbaca buku tulisan Samad Ahmad mengenai demonstrasi 1967 dalam usaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang tunggal di negara ini.
Beliau ada menyebut nama-nama yang terlibat dalam demonstrasi tersebut. Jadi tokoh-tokoh yang terlibat dalam demonstrasi tersebut juga terlibat dalam demonstrasi membantah pelaksanaan PPSMI. Saya kira ini suatu sejarah yang berulang.
Jadi, apakah kerja kita ini satu langkah ke depan dan dua langkah ke belakang dan sekarang kita langkah balik ke depan? Saya tidak mahu sinis, tetapi tidak boleh tidak menimbulkan pertanyaan apakah kerajaan serius. Ini sudah tentu meragukan.
Jika dahulu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan dan sudah mengubah dasar bahasa pengantar dengan semua institusi pendidikan mengajar dengan menggunakan Bahasa Melayu.
Tetapi sekarang ini, tanyalah kepada pensyarah universiti serta Naib Canselor, apakah bahasa pengantar? Semua orang tak tahu. Apakah ada arahan secara bertulis apakah bahasa pengantar Bahasa Inggeris? Saya tanya kebanyakan mereka mengatakan tidak ada.

Jadi, untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, ia perlu komunikasi secara rasmi?

Dahulu kita mengadakan bahasa kebangsaan untuk menyedarkan rakyat yang dahulunya berkiblatkan Bahasa Inggeris supaya memberi tempat kepada Bahasa Melayu dalam komunikasi seharian.
Sebenarnya yang penting ialah komunikasi secara rasmi. Bahasa seharian ini tidak boleh ditentukan oleh sesiapa. Itu pilihan inidividu. Yang boleh ditentukan seperti penulisan surat rasmi kerajaan.
Cikgu hendak mengajar di sekolah itu bahasa apa? Pensyarah di universiti menggunakan bahasa apa? Itu kita boleh tentukan. Jika hendak bangkitkan kesedaran individu itu tentang bahasa, saya rasa itu perkara yang kecil sangat.
Tidak ada kerajaan di dunia ini boleh membuat peraturan itu semua. Pengajaran PPSMI itu, tidak ada peraturan atau akta yang menetapkannya tetapi kita boleh laksanakan. Kerajaan berhabis berbilion ringgit untuk melaksanakannya. Dan akibatnya Bahasa Melayu akan hancur. Saya telah banyak kali menyebut mengenai perkara ini dan sudah tidak mahu untuk menyebutnya lagi.

Apakah Prof juga melihat pengumuman kerajaan untuk menghapuskan PPSMI itu kerana faktor tertentu dan bukan kerana untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan?

Saya ingin tanya, jika demonstrasi Mansuh PPSMI itu tidak dipimpin oleh Dato' Dr Hassan Ahmad, adakah kerajaan akan menghapuskan PPSMI? Saya menyatakan kerajaan ingin menghapuskan PPSMI bukan kerana Bahasa Melayu itu termaktub dalam Perlembagaan atau Akta Pendidikan atau Akta Bahasa tetapi kerajaan lakukan ini kerana hanya ingin memuaskan hati orang yang tidak setuju dengan tindakan kerajaan dan takut kalah dalam pilihan raya. Saya tidak mahu sinis tetapi itulah kesimpulan yang saya dapat apabila kerajaan menyatakan ingin menghapuskan PPSMI.

Adakah kerajaan akan hapuskan PPSMI jika orang tidak berdemonstrasi? Apa pengajaran yang kita dapat daripada situ?

Pertama, kerajaan tidak ikhlas dan tidak jujur dan yang kedua kerajaan mengatakan, jika kamu mahukan sesuatu, berdemonstrasi. Kerajaan hanya takut apabila rakyat berdemonstrasi. Perlukah orang berdemonstrasi untuk menegakkan sesuatu yang telah termaktub dalam perlembagaan dan akta-akta bahasa dan akta pendidikan?
Jika kita melihat dalam konteks sedemikian, barangkali Bulan Bahasa Kebangsaan tidak perlu lagi. Sekarang ini rakyat memberi kesedaran kepada kerajaan dengan berdemonstrasi bahawa inilah kehendak rakyat.

Prof turut terlibat dalam Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Johor Bharu baru-baru ini. Pada pandangan Prof, apakah Bahasa Melayu benar-benar boleh menjadi bahasa dunia sedangkan kerajaan sendiri sebelum ini dilihat tidak serius dengan pelaksanaan Bahasa Melayu di negara ini?

Tema persidangan tersebut Bahasa Melayu Bahasa Dunia. Barangkali saya seorang sahaja yang bersuara agak pesimistik. Saya berpantun sedikit dalam ucapan saya itu. Saya menyatakan madah saya ini 'madah derhaka'.
Mungkin kenyataan saya itu membuatkan peserta-peserta seminar berkecil hati. Tetapi lebih baik saya berterus terang daripada bermegah-megah sedangkan sebenarnya tidak betul. Saya tengok ramai yang ghairah Bahasa Melayu ini menjadi bahasa dunia.
Saya mengatakan bahasa yang mungkin menjadi bahasa dunia ialah Bahasa Indonesia. Tidak ramai orang Malaysia yang menyukai Bahasa Indonesia. Lima tahun di Indonesia pada mulanya saya juga tidak faham apabila membaca surat khabar Indonesia.
Dan jika ditayangkan sinetron Indonesia di televisyen Malaysia perlu disediakan sari kata. Jadi Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia semakin hari semakin jauh. Dahulu ada cadangan mewujudkan bahasa baku sekurang-kurangnya daripada segi ucapan. Tetapi televisyen kita tidak suka penggunaan bahasa baku ini. Apabila bertukar menteri, ditukar kembali kepada bahasa biasa.

Kenapa Prof berpendapat Bahasa Indonesia boleh menjadi bahasa dunia berbanding Bahasa Melayu?

Bahasa Indonesia boleh menjadi bahasa dunia. Saya menyebut dalam persidangan tersebut, bahasa dunia mestilah penuturnya besar iaitu 100 juta ke atas. Kriteria ini dipenuhi Bahasa Indonesia.
Yang keduanya, ia mesti menjadi bahasa Lingua Franca. Bukan bahasa yang diucapkan pembicara asli. Di Indonesia, pembicara asli Bahasa Melayu kira-kira 10 peratus. Dan ia dipelajari sebagai bahasa kedua oleh orang yang bukan pengguna bahasa pertama.
Jika dahulu kita lihat di Belanda pengajian Bahasa Indonesia lebih meluas berbanding Bahasa Melayu. Saya mengajar di Ohio, Amerika Syarikat saya menyebut Bahasa Melayu/Bahasa Indonesia. Jadi, mereka pun bersetuju.
Selain itu untuk sesuatu bahasa itu menjadi bahasa dunia, ia mestilah bahasa ilmu. Apa sahaja bidang pengajian di Indonesia, semuanya menggunakan Bahasa Indonesia.
Tetapi di Malaysia, bahasa apa yang kita gunakan? Jika bukan Bahasa Melayu yang kita gunakan, bagaimana kita hendak jadi bahasa dunia.

Jadi, Bahasa Melayu amat mustahil untuk menjadi bahasa dunia?

Bahasa Melayu mestilah menjadi bahasa untuk orang Malaysia dahulu barulah boleh menjadi bahasa dunia. Berapa peratus orang Malaysia yang boleh bercakap Bahasa Melayu?
Selagi Bahasa Melayu tidak digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pentadbiran serta tidak digunakan sebagai bahasa ilmu, saya rasa tidak perlulah kita bercakap ia boleh menjadi dunia. Sebagai bahasa rasmi di Malaysia ini pun, ia tidak dipenuhi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan