Memeterai Persepakatan

Nasrudin Hassan at Tantawi

1. Konvensyen Pakatan Rakyat yang berakhir petang kelmarin telah memahat sejarah negara yang menyaksikan sebuah dokumen persepakatan gandingan 3 buah parti [ PAS , PKR dan DAP ] telah dimeterai secara rasmi oleh pemimpin tertingginya.

2. Persepakatan berdokumen ini menepati sebuah janji rasmi yang diikrarkan untuk melangsungkan sebuah perjuangan mewakili rakyat berbilang kaum dan berbeda agama ke arah sebuah negara baru yang adil , telus , saksama , toleransi dan berkebajikan .

3. Jika saya analogikan dengan sebuah ikatan perkahwinan di dalam Islam , sebaik sahaja ijab qabul dilafazkan antara pasangan yang berkahwin maka menangis dan bertempiaran lari lah segala syaithan dan iblis dengan penuh kekecewaan setelah gagal memutuskan hubungan mereka serta gagal pula mendorong mereka melakukan zina .

4. Maka ijab qabul dalam tahaaluf siasi [ kerjasama politik ] PAKATAN Rakyat yang telah ditandatangani ini juga membuatkan syaithan - syaithan politik meraung kepedihan dan kekecewaan kerana gagal memecah belahkan kesatuan mereka .

5.
Persefahaman semakin matang dan kerjasama semakin erat . Itulah yang boleh saya ungkapkan setelah Konvensyen Pakatan Rakyat yang julung kalinya diadakan , berlangsung dengan jayanya . Kehadhiran seluruh pimpinan utama dari ketiga - tiga parti dan duduk sebaris , turut menjawab segala tuduhan dan tanggapan yang sering dieksploit oleh media kononnya mereka selama ini hanya asyik bercakaran .

6. Selepas ini , menjadi tanggungjawab kepada setiap anggota dari ketiga - tiga parti berperanan untuk memahamkan rakyat berbekalkan satu
dokumen oren yang telah ditandatangani bersama oleh ketiga - tiga pemimpin tertinggi parti . Mekanisme penyampaian maklumat mestilah berkesan dan pintar .

7. Sementara itu , anggota parti pula mesti
bijak dalam mengurus maklumat yang mereka terima samaada melalui lisan , media elektronik , media cetak dan juga media baru . Kebijaksanaan anggota dalam perkara ini sangat dhoruri [ prinsipal ] agar tidak mengheret mereka ke kancah polemik dan krisis ciptaan sesama kita .

8. UMNO dan BN tentunya cemburu menyaksikan situasi ini setelah mereka terus tenggelam timbul dalam krisis yang tidak tahu dimana dan bagaimana mahu mnegurainya . Parti - parti kompenan mereka saling salah menyalahkan antara satu sama lain .

9. Kini masa berjalan malah pantas bergerak menuju era baru . Harapnya tiada yang masih tidur lena atau asyik khayal dengan gurindam lama sedang semua orang sedang berpaut pada harapan dan tekad baru untuk membina sebuah kemenangan dan kejayaan .

10. Namun kemenangan dan kejayaan pastinya bernilai tinggi dan berharga mahal . Menebusnya memerlukan wang dan kekayaan yang setimpal . Kalau sekadar mengemis di tepian penambang usah memahat cita - cita besar , kerna ia hanya menyenakkan jiwa dan menyakitkan hati . Insyaallah , tunggu pula selepas ini
Konvensyen Pemuda Pakatan Rakyat memeterai sejarah .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan