N12 Penanti: Isu Hakim Ramly Ali Jadi Tumpuan

Isu Ramly Ali yang nama beliau disebut dalam video rakaman VK Lingam sebagai salah seorang calon yang dikenalpasti untuk dilantik sebagai hakim menjadi topik hangat dalam kempen pilihan raya kecil Penanti.

Menurut Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Fariz Musa, Hakim Ramly jugalah yang membenarkan permohonan Dr Zambry Abd Kadir 12 Mei lepas untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah secara "fast track" empat jam setelah permohonan tersebut dibuat di Mahkamah Rayuan.

"Tidak sampai 4 jam, permohonan Zambry diluluskan. Siapa hakim Ramly Ali ini? Hakim Ramly Ali adalah salah-seorang dari hakim yang disebut VK Lingam dalam konspirasi menaikkan pangkat mereka," kata Fariz.

Dua lagi calon hakim yang disebut dalam rakaman tersebut ialah Heliliah Mohd Yusof dan Ahmad Maarop dan mereka bersama Ramly telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi oleh Yang Dipertuan Agung pada 1 February 2002.

Ahmad Maarop adalah salah seorang Hakim Mahkamah Rayuan yang memutuskan dengan sebulat suara bahawa Dr Zambry adalah Menteri Besar Perak semalam serta menolak penghakiman awal Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Nizar.

Skandal video rakaman perbualan peguam kanan VK Lingam dengan Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang ketika itu Hakim Besar Malaya didedahkan oleh Ketua umum Keadilan, Anwar Ibrahim pada September 2007. Keadilan Anwar Ibrahim.

Anwar ketika itu mendedahkan perbualan antara kedua individu itu berkisar sekitar isu menentukan pelantikan hakim-hakim kanan "yang sehaluan".

Ahmad Fairuz yang menduduki tangga ketiga dalam hierarki badan kemudiannya dilantik ke jawatan tertinggi sebagai Ketua Hakim Negara pada 2003 sebulan setelah berlakunya perbualan kontroversi itu.
-TVAntara.com.my-

PPSMI : Datuk Dr Anwar Ridhwan Turut Tolak PPSMI

Walaupun tersohor dan disebut-sebut sebagai calon Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan mungkin mengalami laluan sukar mencapainya.

Beliau semakin lantang mempertikaikan dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) - hari ini di depan 200 penulis muda dunia sastera Melayu.

"Adalah suatu ironi dan tragedi apabila bangsa yang sedang berkuasa di sesebuah negara, tidak menggariskan wawasan yang besar dan realistik tentang masa depan bahasanya, sebaliknya meminggirkan bahasanya ke sudut pentas kehidupan utama bangsa dan negara," katanya dalam ucap utama di perhimpunan terbesar sasterawan muda Malaysia.  

"Jika sesuatu dasar, seperti dasar PPSMI ini hanya memberi faedah kepada segelintir pelajar, tetapi dalam masa yang sama mengecewakan begitu banyak pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman, maka dasar itu boleh dianggap gagal. 

"Para pelajar di luar bandar, ceruk dan pedalaman bukan sahaja tidak dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, malah lebih malang lagi tidak dapat menguasai ilmu sains dan matematik yang disampaikan bukan melalui bahasa ibunda mereka.

"Jika kegagalan itu berterusan, dan dianggap remeh pula oleh kementerian yang berkenaan, maka satu generasi pelajar luar bandar, ceruk dan pedalaman (kebanyakannya Melayu) menjadi mangsa kepada dasar yang tidak adil ini. 

"Akibat kegagalan itu, mereka akan terlepas peluang pekerjaan yang lebih baik."

Bekas pengarah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu yang terkenal dengan novel 
Naratif Ogonshoto – satira politik yang mengecam kerakusan orang berkuasa – menyampaikan ucapannya berjudul 'Arah dan Cabaran Penulis Muda' di Melaka pagi ini. 

Dalam ucapannya kira-kira sejam, beliau menegur ahli politik Melayu dalam kerajaan yang menjadi pencetus utama timbulnya rasa tidak yakin terhadap bahasa mereka sendiri.

"Sejak sedekad yang lalu, masyarakat Melayu pada umumnya meragui adanya rasa bangga (terhadap) bahasa Melayu di kalangan ahli politik Melayu yang berkuasa," katanya.

Anwar berkata, sikap pemimpin tersebut digambarkan melalui penggunanan bahasa Inggeris dalam majlis rasmi dan tidak bersungguh-sungguh membina jati diri kolektif pelajar menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang tunggal.

"Mereka mempunyai pertimbangan lain, termasuk politik, yang dilihat lebih besar dan wahid (pertama) berbanding bahasa bangsanya," katanya.

Teks ucapannya juga boleh 
diperolehi di blognya

Kritikan Anwar hari ini yang pertama dilontar di depan khalayak sebesar itu, selain wawancara di sebuah tabloid politik dan dialog-dialog kumpulan kecil masyarakat sastera.

Walaupun pelbagai pihak dan tokoh budaya sebelum ini lantang menuntut pemansuhan dasar kontroversi itu – sehingga membawa kepada demonstrasi besar 7 Mac lalu – Anwar dilihat tidak lantang sebelum ini.

Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 2000 melalui novelnya itu turut terkenal dengan novel 
Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus.

Selain Anwar, tokoh-tokoh lain yang disebut layak untuk Sasterawan Negara penyair Datuk Baharuddin Zainal dan novelis Zaharah Nawawi.

Malaysiakini difahamkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 selama tiga hari sejak pagi tadi akan merumuskan satu resolusi membantah dasar PPSMI.

Awal bulan ini, kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup termasuk Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain menolak dasar kontroversi itu - pertama kali gabungan tokoh besar budayawan Melayu secara terbuka dan berani menentang dasar kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pelajaran dijangka akan mencapai keputusan berhubung PPSMI dalam tempoh enam bulan lagi, lapor laman web 
The Star petang ini.

Timbalan menterinya Dr Puad Zarkashi berkata keputusan itu diambil bagi memastikan para pelajar tidak mengalami keadaan rugi semuanya, apabila gagal menguasai Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
-malaysiakini-

Ibu pejabat DAP diserbu polis

Sepasukan pegawai polis menggeledah ibu pejabat DAP di Petaling Jaya dalam siasatan terhadap sekumpulan penyokong parti itu yang ditahan di Ampang Jaya kelmarin.

DAP HQ in Petaling Jaya_121004Sebelas anggota tiba di pejabat jam 6.25 petang tadi di Taman Paramount bersama ahli Majlis Daerah Hulu Selangor, Ooi Leng Heng yang berpakaian seorang tahanan reman.

Ooi direman dua hari di balai polis Ampang dalam perhimpunan nyalaan lilin bersama ADUN Teratai, Jenice Lee, Khamis lalu.

Dalam serbuan kira-kira sejam itu, polis turut merampas satu unit komputer, cakera padat dan alat pendengar digital.
-malaysiakini-

N12 Penanti : Peluang Dr Mansor Othman Cerah

Wan Nordin, Sabri Said, Azamin dan Izwan  

PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu menjangkakan calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dr Mansor Othman akan menang besar mengalahkan tiga calon bebas lain bagi pilihan raya kecil Dun Penanti.

"Saya jangkakan Pakatan Rakyat akan menang, calon bebas mungkin akan hilang deposit dengan keadaan ini apabila sokongan kepada PR amat baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyatakan pandangan terhadap peluang calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor bagi pilihan raya kecil Dun Penanti yang telahpun selesai proses penamaan calonnya pagi tadi.

Mohamad Sabu turut meluangkan masa pagi tadi bagi menyertai perarakan calon yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti dekat sini.

Mengulas mengenai keengganan Umno/BN meletakkan calon di Penanti beliau menyatakan, Umno takut akan kebangkitan rakyat menolak idealisme parti itu.

Sambil menyatakan hari penamaan calon hanya didominasi penyokong Pakatan Rakyat, beliau menyifatkan ia sebagai 'satu hari yang suram'.

Namun beliau yakin kemenangan akan bersama dengan calon Pakatan Rakyat yang hanya akan menjadikan calon bebas hilang deposit.

Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dun Penanti yang bermula sejak jam 8.00 pagi agak suram berikutan calon Pakatan Rakyat hanya ditentang tiga calon bebas.

Meskipun kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dalam jumlah yang ramai, namun suasana tidak pun menggambarkan satu pertempuran hebat bakal berlaku sepertimana penamaan calon beberapa PRK yang lalu.

Hanya kedengaran laungan reformasi dan takbir di satu sudut, di sebelah kiri hadapan bangunan IKBN Penanti, sementara sudut kanan yang disediakan bagi pihak bertentangan Pakatan Rakyat tiada kedengaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya mengesahkan bahawa PRK Dun Penanti akan ditandingi oleh 4 calon.

Calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman akan menentang calon-calon Bebas iaitu, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris.

Semua calon kini boleh berkempen sehingga jam 12 tengah malam, 30 Mei nanti.

Sementara itu, calon-calon Bebas akan menggunakan simbol 'Kunci' untuk Aminah, Nai (Wau) dan Kamarul (Payung) sepanjang pilihan raya ini.

Nizar vs Zambry : Keputusan Mahkamah Rayuan diatur?

Wan Nordin Wan Yaacob  

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa menyatakan beliau telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, dan hakikatnya benar apabila semalam mahkamah membuat keputusan sedemikian.

"Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran DUN Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis BN sekali lagi Isnin atau Selasa ini.

"Isu di sini ialah, jika maklumat ini terbukti tepat, adakah ujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan ini? Ia bukan tugas kita semua untuk membuktikannya tetapi ia tugas pihak berkuasa. Sudah tentu kita tidak dapat mengharapkan apa-apa pada hari ini," jelasnya dalam satu kenyataan.

Keputusan ini memberi kesan besar, baik di Parlimen mahu pun di DUN yang lain, kata Husam.

"Agung atau Sultan boleh melantik PM atau MB yang baru tanpa PM atau MB berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya," katanya.

Persoalannya ujar Husam, sama ada negara sudah bersedia menerima hakikat kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses 'tabung uji di luar rahim' iatu Dewan Rakyat atau Dun seperti yang difahami sebelum ini.

"Khususnya Najib, sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agong boleh dengan itu melantik PM yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?," soalnya.

Pada Husam, tiga atau lima hakim yang bersidang, bukan lagi ukuran untuk rakyat yakin dengan integriti dan kebebasan kehakiman negara.

Melainkan keputusan mereka yang dilihat wajar, apa lagi keputusan Mahkamah ke atas krisis politik, memerlukan lebih ketelitian dan kebebasan,katanya.

"Berbalik kepada Perak. 'Ramalan' saya seterusnya ialah, Majlis BN akan bersidang. Kemudian Zambry kononnya bersetuju menyerahkan mandat kepada rakyat dengan mengadap Sultan Perak untuk pembubaran," katanya.

Memang itu yang dihasratkan oleh Pakatan Rakyat tetapi proses mahkamah yang dianggap tidak selari dengan prinsip keadilan tetap menjadi satu medan yang tidak akan berakhir dengan pembubaran itu kelak,katanya.

Husam bertegas, sepatutnya proses pembubaran juga perlu didahului dengan keputusan mahkamah yang adil.

Manek Urai: Najib ditempelak cuba bohongi rakyat

Izwan Abdul Halim | izwan@harakah.net.my  

PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Membazir wang rakyat yang menjadi alasan popular Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) N.12 Dun Penanti ternyata satu lagi pembohongan mereka kepada rakyat.

Belum pun proses PRK Penanti berlangsung bahkan belum juga tarikh PRK Dun Manek Urai ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bahkan tanpa keputusan bersama anggota gabungan BN, Perdana Menteri, Dato� Seri Najib Razak segera memberi kenyataan bahawa BN akan menyertai PRK Dun Manek Urai.

Mengulas perkara tersebut, Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifuddin Nasution menyifatkan perkara itu sebagai pendirian tidak konsisten BN terhadap penyertaan dalam pilihan raya.

"Secara kebetulan sambil kita membuat persiapan PRK Penanti, akan berlaku satu lagi PRK di Kelantan iaitu di Manek Urai. Najib telah membuat kenyataan beberapa jam tadi di Singapura bahawa BN akan bertanding di Manek Urai. Itu bermakna BN sebenarnya tidak konsisten dari segi tidak mahu mengambil bahagian dalam pilihan raya.

"Di Penanti dia tidak mahu mengambil bahagian sebab katanya pilihan raya ini membazir wang rakyat. Kalaulah membazir wang rakyat dijadikan alasan, dia mesti konsisten. Bagaimana pula pilihan raya di sini membazir wang rakyat, sementara pilihan raya di Manek Urai tidak membazir wang rakyat?

"Jadi ternyata BN tidak ada jalan keluar lagi, dia tiada pilihan. Di sini dia cuba 'twist' atau main sentimen seolah-olah ini sesuatu yang merugikan wang rakyat. Tetapi belum pun PRK Penanti bermula, Tuhan takdirkan satu lagi PRK dan sepantas kilat Perdana Menteri mengumumkan bahawa BN akan bertanding di Manek Urai," ujarnya dalam satu temubual bersama Harakahdaily di Pejabat Yayasan Aman, di sini lewat petang semalam.

Katanya, sama ada BN bertanding atau tidak, BN sudah tentu tidak dapat menjadi pemenang di Penanti kerana tidak menyertai PRK itu, manakala Manek Urai pula merupakan kubu kuat tradisi PAS.

"Bayangkan ketika BN menang semua kerusi di Kelantan melainkan dua kerusi, satu darinya adalah Manek Urai yang PAS menang. 'So' demikianlah ketika kekuatan BN begitu hebat pun dia tidak tawan Manek Urai, apatah lagi dalam keadaan sekarang PAS menguasai 40 kerusi bersama KeADILan. 'So', Manek Urai akan jadi kekalahan yang kelima berturut-turut bagi BN, saya yakin!" ujar Saifuddin tersenyum.

N12 Penanti: Pakatan Rakyat ditentang 3 calon bebas

Mohd Sabri Said dan Izwan Abd Halim  

PENANTI, 23 Mei (Hrkh) - Calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman ditentang tiga calon bebas dalam Pilihan raya Kecil N12 Penanti pada 31 Mei nanti.

Sebentar tadi Pengurus pilihan raya, Roslan Yahya membuat pengumuman di pentas utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBM) pada pukul 12.15 tengahari tadi.

Ketiga calon bebas itu ialah bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Pulau Pinang, Puan Aminah Abdullah; bekas calon bebas di Bukit Gantang, Khairul Romizu dan individu berbangsa Siam, Nai-Khan Ari.

Manakala calon bebas Mohd Saberi Othman yang dicadangkan oleh Mustaffa Othman dan disokong oleh Norhayati Akob telah ditolak pencalonannya.

Puan Aminah merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.03 pagi selang beberapa minit daripada calon KeADILan yang mendapat sokongan padu daripada semua parti gabungan Pakatan Rakyat.

Calon bebas kedua Sobri Othman memasuki perkarangan IKBM pukul 9.11 minit dikuti Khairul Romizu yang datang bersama lima orang penyokongnya sepuluh minit kemudian.

Dr. Mansor dicadangkan oleh Ibrahim Ahmad manakala penyokongnya, Hasan Othman. Puan Aminah dicadang oleh Yaacob Ali manakala sokongan Puan Jamilah.

Khairul Romizu pula dicadang oleh Puan Norozan dan di sokong Puan Halimah.

Calon bebas keempat, seorang rakyat Siam dari Kampung Teluk Wang, Nai-Khan Ari dicadang oleh Boon Si Sawang dan disokong oleh Nah Lee.

Di luar kira-kira 10 ribu penyokong Pakatan Rakyat berkumpul sejak pukul 7.00 pagi lagi untuk memberi sokongan moral pada calon KeADILan.

Walaupun sekatan dibuat oleh pihak polis untuk menghalang kemasukan terlalu ramai penyokong ke hadapan IKBN tetapi mereka tetap mencari laluan alternatif seperti di celah-celah rumah penduduk Kampung Mengkuang.

Antara pekikan yang kedengaran ialah 'bubarkan Dun Perak', 'minta restu rakyat', 'kembalikan hak rakyat', 'BN penakut' dan berbagai lagi.

Calon bebas Puan Aminah menggunakan lambang kunci dan lambang wau bulan diguna pakai oleh Nai-Khan Ari manakala Khairul Romizu menggunakan lambang payung.

. Setelah tamat masa bantahan pukul 11.00 pagi tadi terdapat enam bantahan dikemukakan oleh calon masing-masing.

Kesemua mereka layak bertanding bagi Dun Penanti yang dikosongkan oleh penyandangnya sebelum ini, Mohamad Fairus Khairudin awal April lalu.

Suasana di hari penamaan calon kali ini tidak seperti lain-lain tempat kerana tiada kata mengata, perli memperli dan sebagainya kerana Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon bertanding di Penanti dengan alasan tidak mahu terjerat dengan taktik pembangkang, membazirkan wang rakyat dan lebih bertekad menumpukan pada menjana ekonomi negara. 

Nizar vs Zambry : Zambry Gila Kuasa, Takut Hadapi Rakyat

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyifatkan Dr Zambry Abdul Kadir sebagai orang yang gilakan kuasa kerana mahu menduduki kerusi Menteri Besar Perak tanpa memperdulikan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Negeri Perak semasa Pilihan Raya Umum ke-12 tahun lepas. 

Naib Ketua DPPN Pk, Salman Saleh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini juga menganggap Dr Zambry sebagai penakut untuk berdepan dengan rakyat kerana enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak seperti mana desakan rakyat. 

"Dengan disebabkan melompatnya tiga Ahli Dewan Undangan Negeri yang mana 2 Adun disabitkan dengan pertuduhan rasuah, maka Kerajaan yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada hari ini menggambarkan kepada seluruh dunia bahawa kerajaan yang telah dibina oleh Zambry adalah rapuh dan tidak bersih. 

"Jika 2 Adun tersebut gugur kelayakan mereka sebagai ADUN kelak, kerajaan negeri Zambry akan dijatuhkan semula oleh rakyat," kata Salman.

DPPN Pk mencabar Barisan Nasional berdepan dengan rakyat sekiranya mereka berani dan tidak gilakan kuasa kerana hanya melalui pembubaran DUN Perak secepat mungkin rakyat mampu membina semula keharmonian dan kesejahteraan negeri  Perak melalui sebuah kerajaan yang stabil dan bersih. 

"Hanya dengan keputusan rakyat, kerajaan negeri yang akan dibina adalah benar-benar menjadi impian semua rakyat.

"DPPN Pk menegaskan setelah rakyat membuat pilihan mereka melalui pilihan raya semula, semua pihak mesti sama-sama membina semula kerajaan negeri ini," tegas beliau lagi.

-TVAntara.com.my-

Hari tragis buat PAS

Rupanya berita kematian ADUN PAS Manek Urai, Kelantan, Allahyarham Ismail Yaacob atau Pak Su Weil pada jam 5.55 pagi tadi bukanlah satu-satunya berita sedih buat pendukung PAS pada hari ini. Sebentar tadi Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan yang ADUN Pangkor, Dr Zambry Abd Kadir merupakan MB Perak yang sah dan bukannya Dato’ Seri Nizar Jamaluddin.

Kita kehilangan seorang tokoh dan satu kerusi di Kelantan (Pak Su SWeil merupakan ADUN PAS selama 5 penggal dari PR 1986, berihat PR 2004, menang semula baru-baru ini), manakala di Perak kita kehilangan sebuah kerajaan negeri.

Pastinya kedua-dua kejadian ini memilukan hati kita, namun kita perlu tabah dan menerima ujian ini dengan berlapang dada. Insyallah di Manek Urai kita akan bertarung bagi mempertahankan kerusi berkenaan, manakala di Perak kita perlu mempertingkatkan lagi gerak-kerja dan usaha kita. Lautan perjuangan masih luas di hadapan, yang penting kita mengemudi bahtera perjuangan ini dengan tabah, tenang dan penuh yakin pada bantuan dan janji-janji Allah swt.

Segala-galanya belum berakhir malah baru sahaja bermula.

Ingatlah firman Allah swt:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.


(al Ankaabut: 2-3)

Nizar VS Zambry : BN RASUAH BUDAK SEKOLAH.

Saya mendapat SMS berharapkan pengesahan berkenaan bacaan Yasiin oleh pelajar Sekolah Izzuddin Shah dan Raja Perempuan Taayah untuk kemenangan Zamri Alharamy alPangkori.
" Tolong siasat betulke budak Izzuddin dan Taayah dipaksa baca yasin untuk zamri di kediaman rasmi MB?" antara butiran bertanya.

Sebagai bekas pelajar saya menpunyai jaringan untuk mendaptkan pengesahan. 
Setelah dua telefon di dail saya mendapat pengesahan memang budak Izzuddin dan Taayah dibawa ke kediaman Rasmi MB Perak dah tiga kali. Pertama ketika malam sidang DUN nak bersidang dan malam kedua ketika Mahkamah tinggi akan membuat keputusan! Kali ketiga ialah malam khamis lalu sebelum keputusan mahkamah rayuan. Kali ini diberi rm20 seorang.itu maklumat sohih

Teringat saya peristiwa Badar yang bgerlaku antara Islam dan kafir. Bagaimana Rasulullah berdoa bersungguh sehingga Abu Bakar menyatakan...cukuplah wahai Rasulullah ...Allah mendengar permohonanmu. Dalam masa yang sama Abu Jahal dan gerombolan Kafirnya turut berdoa memohon supaya Allah membinasakan tentera Muhammad Rasulullah.

Saya tak tahu di mana persamaan paling tepat..tetapi kedua pihak yang benar dan salah tetap berdoa kepada Allah. Dan Allah memberi kemenangan kepada kebenaran sebagaimana diterangkan dalam surah Alnasr atau alfath. Kenyataanya ialah kebenaran pasti menang..

Apa yang nak dibincangkan bukanlah soal doa sangat tetapi bagaimana Zamry alHaramy telah menggunakan kemudahan budak sekolah untu berdoa bagi pihaknya 
Seorang sahabat menyebut..."lepas dia bawa jom heboh kat Lumut pandai pulak minta budak agama doa. Kenapa tak ajak daud kilau ke...Julia Banos ke ..." Apa yang jelas pendokong Pakatan Rakyat memang tak henti berdoa sejak rampasan kuasa lagi.

Mengapa harus dilibatkan pelajar sekolah lebih lebih lagi sebahagian mereka akan mengahdapi peperiksaaan dan sekarang ialah musim peperiksaaan. 
Paling menarik ialah rombongan dari sekolah itu dibayar RM30 seorang.... wah dengan budak sekolah pun engko nak rasuah... Tak cukup ke dengan musim pilihanraya dan pemilihan umNO...sampai budak sekolah pun dirasuah supaya berdoa bagi pihaknya. Saya yakin dikalangan ramai murid yang ke rumah MB bukanlah semuanya berdoa untuk Zamry..Mungkin secara senyap mereka berniat agar Allah memenangkan Nizar.

Akhirnya keputusan hakim mahkamah tinggi memberi kemenangan kepada Nizar. Pulanglah pelajar Izzuddin dan taayah berbekal rm30. Itulah permulaan rasuah yang diajar oleh Zamry alharamy... Mestikah kita membiarkan perkara ini terus berlaku...???
http://anaksengat.blogspot.com/

Nizar VS ZAmbry : SATURDAY, MAY 23, 2009

  

MB Perak yang diperbaharui semula oleh Mahkamah Rayuan petang semalam pastinya bersyukur kerana masih menjadi MB. Maklumlah, bukan mudah untuk mendapatkan kerusi MB dengan hanya melalui mahkamah. Kebiasaannya, jawatan tersebut diperolehi dari mandat rakyat dan Zambry memperolehinya melalui mahkamah. Sememangnya wajar beliau bersyukur kerana sepanjang sejarah di negara ini, boleh dikira peristiwa sedemikian berlaku. Hanya yang bertuah sahaja yang boleh menikmatinya.

Tanpa perlu bubarkan Dun, tanpa melakukan undi tidak percaya Zambry mampu menjadi MB dengan hanya ` anggukkan kepala' 3 Adun lompat di dalam istana, maka hilanglah kerusi yang diduduki oleh Nizar. Sesungguhnya Dewan Undangan Negeri Perak seperti tidak lagi berfungsi untuk menentukan kuasa rakyat. Kita diminta untuk tidak mencemarkan istana mahupun mahkamah, tetapi tidak kepada dewan yang mulia itu. Apakah selepas ini dewan yang mulia itu hanya akan dijadikan tempat `bergurau senda' atau pun tempat untuk menunjukkan `seni silat'atau kung fu masing-masing? Saya tidak pasti apakah fungsi dewan tersebut selepas ini.

Sekiranya ditakdirkan berlaku lagi beberapa Adun yang `hilang' atau `ghaib' beberapa hari tanpa khabar berita, kemudian secara tiba-tiba muncul di depan istana menjerit memberitahu mereka telah hilang sokongan terhadap MB sekarang, apakah sekali lagi jawatan MB akan bertukar? Sehingga kini saya masih tidak mendapat jawapan mengapa begitu sukar untuk membuat pengakuan secara terbuka di dewan melalui undi tidak percaya kepada kerajaan yang memerintah. Mengapa harus hilang beberapa hari dengan berbagai alasan yang tidak munasabah, kemudian muncul di dalam istana untuk menyatakan sokongan? Bertambah pelik lagi, seorang Adun yang belum habis edahnya `bercerai' dengan Umno, tiba-tiba `rujuk' kembali kepada Umno dan istihar sokongannya kepada Umno/Bn di dalam istana? Persoalannya, mengapa tidak menghormati dewan yang mulia itu?

Sesungguhnya istana telah menggunakan kuasanya, begitu juga mahkamah turut menggunakan bidang kuasanya. Kita hormati kuasa yang dimiliki oleh kedua-dua institusi tersebut. Yang masih belum menggunakan kuasanya lagi adalah rakyat. Adakah rakyat berpeluang untuk menggunakan kuasanya? Apa yang saya faham, seorang diktator tidak akan memperdulikan hak dan kuasa rakyat. Tidak mungkin Zambry bersifat sedemikian kerana Zambry sudah pasti akan mematuhi arahan PMR (Perdana Menteri Rakyat) agar `Rakyat Diutamakan'. Jika demikian halnya, Zambry tunggu apa lagi, kuasa sudah dimiliki kini dan bergegaslah ke istana untuk memohon agar Dun Perak dibubarkan.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Nizar VS Zambry : KADANGKALA KITA PERLU BERFIKIR UNTUK MENYELAMATKAN ZAMBRY


Jawapan bagi soalan tersebut ialah, kita perlu menyelamatkan Zambry disebabkan hadis ini, kerana Nabi Muhammad SAW sendiri yang menyuruh.
.

Bantulah saudara kamu yang melakukan kezaliman, dan mereka yang dizalimi. Baginda SAW ditanya : “Bagaimanakah kami membantu orang yang menzalimi? Baginda SAW menjawab : “Sekatlah ia daripada melakukan kezaliman” (Jami’ Saghir : 2738)

Sekiranya Zambry itu dizalimi, maka bantulah beliau daripada terus dizalimi. Sekiranya beliau yang melakukan kezaliman, maka bantulah dengan menyekat kezaliman yang dilakukan. Sekiranya Nizar itu dizalimi, maka bantulah beliau daripada terus dizalimi. Sekiranya beliau yang melakukan kezaliman, maka bantulah dengan menyekat kezaliman yang dilakukannya.

Inilah sebab kenapa kita perlu membantu menyelamatkan beliau. Selain itu, saya cuba mengingatkan kepada seluruh rakyat Perak tentang erti kesabaran. Kesabaran yang tinggi ialah tidak mendoakan keburukan dan kecelakaan kepada beliau, walaupun kita mampu untuk berbuat demikian.

Lihatlah apa yang dilakukan oleh Baginda SAW setelah pulang dari Thaif. Ketika di Thaif, beliau dilempar dengan batu oleh masyarakat di sana, najis dan sebagainya. Tetapi apabila malaikat datang kepada Baginda SAW, malaikat tersebut bertanya “Adakah engkau ingin aku terbalikkan bumi Thaif?” Baginda SAW berkata “Jangan berbuat demikian, cuma aku berdoa agar generasi mereka akan menerima Islam”.

Saya mengajak semua supaya mencontohi akhlak Baginda SAW ketika dizalimi. Doakanlah supaya Zambry diberi hidayah oleh Allah SWT. Ataupun kita berdoa supaya Allah SWT memberi kemenangan kepada Islam. Tidak kiralah sesiapa pun yang membawa Islam. Kalau Baginda SAW pun boleh bersabar dengan penghinaan sedemikian, kita ini baru sekelumit.

Adakah dengan ujian yang sedikit ini kita sudah mengeluh? Ketika di Thaif, Baginda SAW dilemparkan batu, sehingga berdarah. Termasuk kanak-kanak dan kaum wanita, turut sama menghina Baginda SAW. Kita hari ini baru sedikit untuk dibandingkan. Maka, pesananku kepada pembaca budiman, bersabarlah dengan tiga benda.

Iaitu bersabar dengan ujian, bersabar untuk meneruskan perjuangan dan bersabar dalam menghadapi musuh.

Salam Perjuangan

Dr Fikrah 


http://drfikrah.blogspot.com/

Nizar VS Zambry : Hakim luar biasa, kebolehan luar biasa

Abdul Aziz Mustafa  

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) Kita mempunyai hakim-hakim yang luar biasa yang mempunyai kebolehan yang luar biasa.

Demikian ulasan spontan Haji Sulaiman Abdullah, salah seorang dari lapan hakim yang mewakili Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam perbicaraan di Mahkamah Rayuan semalam.

Seorang lagi peguam Mohammad Nizar, Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.

Mahkamah tersebut mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

"Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat," katanya.

Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan, katanya lagi, maka sebarang keputusan mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan itu sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan itu, Datuk Md Raus Shariff, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop, hanya mengambil lima minit untuk mengumumkan Zambry Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Mereka juga mendakwa bahawa Sultan Perak mempunyai kuasa penuh untuk melantik Zambry tanpa perlu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mengemukakan undi tidak percaya terhadap Nizar.

Bagaimanapun, tidak memberikan hujah bertulis bagi menyokong keputusan mereka.

Selepas keputusan mereka diumumkan, Sulaiman memohon mendapatkan penghakiman bertulis daripada mahkamah untuk tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Md Raus menjawab: "Saya telah cuba menulisnya malam tadi. Saya akan usahakan dalam masa seminggu ini."

Beliau juga menolak permohon untuk mengetepikan perintah penangguhan Mahkamah Rayuan sebelum itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Nizar VS Zambry : Walau kalah 3-0, Nizar mahu penyokong bersabar

Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh  

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin meminta agar penyokongnya bertenang meskipun Mahkamah Rayuan tidak menyebelahinya.

Semasa diminta mengulas kekalahan beliau itu, Nizar yang nyata kecewa dengan keputusan tersebut bagaimanapun berkata terpaksa menerima keputusan itu.

"Walaupun kalah, saya pasti saya tetap menang di hati rakyat, dan kemenangan BN ini hanya akan membuatkan rakyat semakin membenci BN," ujarnya.

Begitupun, Nizar tidak mahu penyokong Pakatan Rakyat membuat tindakan yang membelakangi undang-undang.

"Saya harap penyokong bersabar.Kita akan berusaha dan saya akan membuat rayuan pula di mahkamah persekutuan kerana ruang itu masih ada untuk saya berbuat demikian," ujarnya.

ImageBeliau juga menyeru Zambry untuk mencadangkan kepada Sultan membubarkan Dun Perak bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang benar-benar sah.

Sementara itu Adun PAS Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah pula turut meminta penyokong bertenang

Beliau mahu penyokong dapat menerima hakikat keputusan yang telah diumumkan hari ini walaupun ia satu keputusan yang berat untuk diterima.

"Saya minta mereka bertenang dengan apa yang telah diumumkan oleh hakim walaupun tidak memihak kepada pakatan rakyat, kita yakin kebenaran akan dicapai," katanya.

"Sebagaimana yang saya jelaskan sebelum ini.. walaupun BN menang tetapi politik di Perak tidak akan tenteram dan aman melainkan diadakan pembubaran Dun," tegasnya.

Bagi Khalil Idham, majoriti tipis yang memihak kepada BN dengan jumlah wakil rakyat yang dibeli sebanyak tiga orang dari Pakatan Rakyat menggambarkan betapa rapuh kerajaan yang ada di Perak.

Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.

ImageDalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.

Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.

Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN.

Mahfuz cabar Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berdebat isu kehakiman



KETUA Penerangan PAS Pusat Pusat, Dato' Mahfuz Omar mencabar Ketua Pemuda Umno yang dipinggirkan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk berdebat secara terbuka tentang isu ketelusan institusi kehakiman di negara ini yang dianggapnya tidak telus, tanpa mengira tempat dan masa, lapor Irwan Muhamad Zain.

Mahfuz tetap bertegas kenyataan yang dibuatnya berhubung keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan isu di Perak mempunyai asas kerana Ketua Hakim Negara merupakan ahli Umno dan pernah memegang jawatan dalam parti tersebut.

Beliau menegaskan kerana adanya individu seperti Tan Sri Zaki Tun Azmi maka tidak mustahil Umno akan menggunakan ejen-ejen mereka dalam badan kehakiman untuk membuat keputusan yang berpihak kepada mereka.

Sehubungan dengan itu, beliau mencabar Khairy untuk berdebat secara terbuka isu ketelusan institusi kehakiman tidak kira di mana-mana tempat.

Sebelum ini Khairy dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam sebuah akhbar pada 15 Mei lalu berkata tidak ada 'tangan-tangan ghaib' yang mencampuri urusan Mahkamah Rayuan dalam membuat keputusan terhadap kemelut politik di Perak.

Sebaliknya beliau berkata, Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar yang membuat dakwaan tidak berasas dalam isu tersebut.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyanggah kenyataan yang dibuat oleh Khairy berhubung ketelusan badan kehakiman di negara ini. Sudah menjadi amalan biasa bagi orang yang melakukan kesalahan untuk menafikan apa yang berlaku, kata beliau ketika dihubungi.

Khairy juga, tegas Mahfuz, menafikan apa saja yang tidak kena dengan Umno termasuk menafikan beliau disiasat Lembaga Displin Umno sebelum pemilihan parti itu Mac lalu.

"Buktikan apa saja kepada Khairy, beliau akan nafikan termasuk menafikan disiasat Lembaga Displin Umno sebelum pemilihan Umno Mac lepas. Perkara ini bukan perkara baru dan sudah menjadi tradisi bagi pihak yang melakukan kesalahan untuk menafikan segala bentuk kecaman terhadap mereka," tegas Mahfuz.

Status MB: Nizar kemuka rayuan, krisis belum berakhir

PUTRAJAYA: Episod siapa Menteri Perak yang sah nampak gayanya masih belum berakhir! Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang sah.

Keputusan yang diumumkan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Md Raus Shariff, Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang memihak kepada Nizar.

Peguam yang mewakili Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, pihaknya akan mengemukakan notis usul memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Isnin terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Selepas keputusan diumumkan kira-kira pukul 3.50 petang tadi, Sulaiman memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan penghakiman bertulis bagi tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Saya telah menerima arahan daripada anak guam saya supaya membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Kami menghargai jika mahkamah dapat memberikan penghakiman bertulis secepat mungkin," katanya.

Hakim Md Raus berkata, beliau akan mengusahakan perkara itu dalam masa seminggu.

Panel tiga hakim itu mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah setelah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat interpretasi yang relevan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Hakim Md Raus berkata, Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah membuat keputusan yang betul berhubung pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar yang baru berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain itu katanya, tiada syarat mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa undi tidak percaya terhadap Nizar mesti dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri dan ia boleh diperoleh atau ditentukan dengan cara lain. Mstar.

Shaari: Mengapa saya keluar Umno

Bekas ahli jawatankuasa bahagian Kangar, Shaari Ludin berkata beliau meninggal Umno untuk menyertai PKR dua bulan lalu, kerana mahu menyedarkan kepimpinan Umno tentang kelemahan parti itu sekarang.

Beliau juga turut menyalahkan kepimpinan tertinggi Umno yang didakwanya 'lari dari matlamat perjuangan asal Umno" sehingga mendorong beliau beralih kepada pembangkang.

"Saya nak beri 'getaran' kepada Umno, bahawa saya dapat menarik ramai ahli parti itu untuk turut serta masuk PKR, supaya mereka sedar kelemahan diri.

"Saya sudah lama dalam Umno, saya masuk PKR, sebab kepimpinan Umno sudah jauh menyimpang.

"Kepimpinan tertinggi Umno telah lari dari matlamat perjuangan asal Umno sendiri," kata Shaari ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie dilapor mengesahkan terdapat ahli Umno di negeri itu yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti itu sejak bulan lalu.

Menurut Shaari lagi, beliau menyertai PKR atas kerelaan beliau sendiri dan diikuti oleh ahli-ahli Umno yang lain, yang juga tidak puashati dengan parti itu sekarang.

Boleh cecah 1,000 orang

Seingatnya, kata Shaari, sehingga bulan April lalu, 500 hingga 600 ahli Umno sudah menyertai PKR.

"Kesemua mereka adalah penduduk di DUN Kuala Perlis yang terdiri daripada kaum Melayu dan Cina," tambahnya.

DUN Kuala Perlis terletak dalam Parlimen Kangar. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu adalah ketua Umno bahagian Kangar.

"Saya bukan tarik mereka (menyertai PKR), saya masuk atas kehendak diri sendiri.

"Mereka ramai-ramai minta borang (keahlian PKR)," katanya sambil menambah jumlah tersebut boleh mencecah 1,000 orang.

Ditanya sama ada beliau menerima sebarang ugutan atau sabotaj selepas menyertai PKR, Shaari berkata:

"Tidak ada sebarang sabotaj sebab saya orang bukan orang kuat dalam Umno. Bagi mereka (Umno) saya tak ada apa-apa. Bagi mereka saya orang kecil," katanya.

Gagal dapat hakmilik

Shaari juga mendakwa penduduk di Kuala Perlis terutama di Kampung Seberang Tok Pi yang pernah memohon hakmilik tanah daripada kerajaan negeri, kecewa kerana sehingga hari ini belum diluluskan.

Sebelum ini, katanya penduduk di kampung tersebut pernah kehilangan tempat kediaman dalam dua kebakaran sebelum ini.

"Sekarang ini penduduk kampung tinggal di rumah yang didirikan di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Ia rumah kayu seperti rumah panjang yang dikenali sebagai rumah pelangi.

"Bekas tapak tanah mereka telah dibangunkan, jadi mereka tak ada harapan nak pulang (ke situ).

"Di mana mereka nak tinggal jika JPS ambil balik tanah itu?" soal Shaari.

Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie dilaporkan sebagai berkata memang terdapat ahli Umno, yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti tersebut sejak bulan lalu.

Katanya, kebanyakan mereka dari bahagian Kangar, terutama di DUN Kuala Perlis dan setakat ini pihaknya sudah menerima hampir 200 borang keahlian.

Manakala mantan menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata mereka yang menyertai PKR termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri.
-malaysiakini-

DUN Manek Urai : Tidak perlu Umno bertanding

PAS mencadangkan Umno agar tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bagi menjimatkan wang termasuk kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis.

Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, alasan ini digunakan Umno ketika tidak bertanding di Penanti. 

Pilihanraya kecil DUN tersebut bermula esok hingga 31 Mei.

"Kalau BN menang (di Manek Urai), ia tidak mengubah majoriti kerana kita (PAS) ada majoriti dua pertiga yang besar (di Kelantan)," katanya pagi ini dalam sidang media di ibu pejabat PAS bagi mengumumkan kematian mengejut seorang wakil rakyatnya. 

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai akan diadakan dalam tempoh 60 hari lagi berikutan 
kematian penyandangnya Ismail Yaakob subuh tadi.

Mustafa berkata, PAS akan meletakkan calonnya bagi mempertahankan Manek Urai. Bagaimanapun, tambahnya, terlalu awal untuk menyatakan calon PAS di kerusi tersebut.

Mustafa juga mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh membuat keputusan sendiri sama ada bertanding atau tidak.

Dahulu, katanya, presiden Umno yang memutuskan sama ada parti itu bertanding atau tidak.

"Datuk Seri Najib serba salah kerana faktor Tun Dr Mahathir (Mohamad). Nak lawan mentor tidak sedap juga.

"Dr Mahathir berasa dukacita kerana Umno tidak bertanding di Penanti. 

"Beliau telah meletakkan Umno menjadi sebuah parti yang berani tetapi Datuk Seri Najib dan (timbalannya) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berani," katanya.

Mustafa berkata, Muhyiddin sudah tidak mendengar lagi pandangan mantan perdana menteri itu, tidak seperti semasa hendak menjatuhkan perdana menteri waktu itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil ketawa, Mustafa berkata, "tidak tahulah Tun Dr Mahathir akan keluar Umno (lagi) kerana orang tidak mendengar cakap dia."

Diminta mengulas pilihanraya kecil Penanti, Mustafa berkata ahli dan penyokong PAS tidak akan mensabotaj calon PKR Mansor Othman.

"Ahli PAS patuh kepada keputusan pimpinan yang tidak bertanding. 

"Isu Pemuda PAS hendak meletakkan calonnya di Penanti juga sudah selesai," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan lewat petang ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bahawa BN akan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut - pendirian yang sama dikongsikan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan presiden Umno malah berkata, BN tidak akan memberi laluan mudah kepada PAS di kerusi tersebut.

"PAS jangan terlalu yakin, walaupun ini kawasan mereka, jangan ingat mereka akan sentiasa menang.

"Dalam pilihanraya umum lalu, kita kalah cuma (lebih) 1,000 undi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.
-malaysiakini-