Suami tong sampah

Hayati Ibrahim
SEPANG: Perbuatan pelik seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam selepas tengah malam dalam timbunan sampah yang busuk dan berulat di belakang rumah dipercayai bagi menguatkan ‘ilmu hitam’ dituntutnya menyebabkan isteri yang baru dinikahi 40 hari lalu, melarikan diri.

Bukan itu saja, perangai aneh lelaki yang bergelar ‘haji’ itu makin menjadi-jadi apabila dia didakwa ‘berselera’ menghidu bau bangkai itik peliharaannya, selain mencampak beberapa bangkai haiwan itu ke dalam kolam ikan untuk dijadikan makanan harian ikan ternakannya sebelum dia memakan ikan berkenaan.

Lebih menjijikkan, lelaki terbabit tidak membersihkan tandas rumahnya sejak berbulan lalu, selain selesa duduk dalam tandas busuk itu berjam-jam sebelum keluar dan tidur tanpa membersihkan dirinya yang kotor.

Sikap suami yang pelik itu menimbul rasa curiga isterinya, hanya mahu dikenali sebagai Nadia, 50-an, yang mendakwa tidak menyangka lelaki yang sudah menunaikan ibadah haji memiliki kegemaran pelik termasuk gemar bergelumang timbunan sampah di belakang rumah selepas jam 12 tengah malam.

Nadia berkata, dia percaya suaminya mengamalkan ilmu hitam dan membela ‘hantu raya’ berdasarkan gangguan bunyi pelik pada waktu malam selain amalan pelik diamalkannya.

“Saya pernah terserempak ‘suami’ yang merenung ke arah saya di ruang tamu walaupun ketika itu suami saya tidur dalam bilik,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Nadia berkata, suaminya juga sering duduk bersendirian dalam gelap dengan menutup semua lampu rumah pada waktu malam, selain mampu menghabiskan enam pinggan nasi, lapan jag air dan lapan telur masin serentak.

Tanpa berselindung, Nadia berkata, suaminya juga memiliki tenaga batin luar biasa sehingga menimbulkan curiga yang semakin mendalam.

“Apabila malam, suami jadi gagah dan berkelakuan seperti remaja sehingga melakukan aksi aneh yang mustahil mampu dilakukan lelaki seusianya.

“Suami boleh melakukan hubungan seperti orang muda walaupun berusia lebih 60 tahun sedangkan dia tidak pernah mengambil sebarang ubat kuat,” katanya yang menjanda 10 tahun sebelum berkahwin dengan lelaki terbabit.

Mengimbau kembali detik perkenalan dengan suaminya, Nadia berkata, pertemuan pertama di sebuah kedai makan, dia tiba-tiba simpati apabila melihat wajah lelaki terbabit sebelum bersetuju menerimanya sebagai pasangan hidup.

“Saya seolah-olah dipukau dan menjadi bodoh dengan mengikut perancangan suami tanpa membantah.

“Ahli keluarga juga keliru dan terkejut tindakan saya tetapi menerima dengan hati terbuka berikutan suami berstatus haji yang diharap mampu membimbing saya,” katanya.

Nadia berkata, dua hari selepas bertemu, mereka bertunang sebelum bernikah dua hari selepas itu dan perkahwinan berlaku begitu pantas sebelum semuanya terbongkar apabila berpindah ke rumah lelaki terbabit.

Dia mula tidur berasingan dengan suami apabila tidak tahan diganggu lembaga jelmaan suami yang mengaku memelihara hantu raya bagi menjaga keselamatan rumahnya.

“Saya sentiasa hidup ketakutan. Hidup saya seperti dalam neraka. Saya amat kesal dengan perkahwinan ini. Tiada apa yang saya mahukan selain berpisah kerana tidak sanggup lagi menjadi mangsa hantu belaan suami.

“Saya hanya mampu bertahan 40 hari sebelum nekad meninggalkan rumah kerana bimbang diburu suami yang akan menggunakan makhluk belaannya itu,” katanya.

Nadia berkata, dia berusaha memulihkan diri dengan mendapatkan khidmat ahli agama sebelum pulang ke kampung untuk mengemukakan permohonan fasakh di pejabat agama di kampungnya di negeri Pantai Timur.

“Saya bimbang jika tidak mempunyai pendinding diri, saya mungkin dipukau semula serta mengikutnya pulang ke rumah dan episod hitam dalam hidup saya akan berlarutan tanpa ada kesudahan,” katanya.
-hmetro.com-

Dari "Glokal" Memuncak "Mengangkasa" Hanya "Tradisi Zah / UBN Najib Altantuya / PKFZ

ostarmy

Tanggal 18 Julai 2005 ucapannya bertajuk "Menjana Melayu Glokal". Tanggal 6 November 2007 ucapannya bertajuk "Mengangkasa Tamadun Bangsa". Dan terkini pada tanggal 15 Oktober 2009 ucapannya pula bertajuk "Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan".

Bermula dengan glokal kemudian mengangkasa dan terkini menyembah bumi ingin kembali kepada tradisi sambil cuba merobah sebahagian tradisi yang telah berakar umbi. Itulah kronologinya ucapan DS Najib di perhimpunan agung UMNO sejak 2005.

Jika dipandang lagi diperhalusi maka jelas ada yang 'tersentak' menyebabkan ucapan beliau kembali ke bumi cuba menelusuri tradisi setelah men'glokal' ke antarabangsa kemudian memuncak lagi ke 'angkasa'. 'Tersentak' ini memerlukan masa untuk kembali ke bawah melihat kesilapan yang telah berlaku dan membetul kembali kedudukan yang sedia ada. Dua ucapan pertama semacam syok sendiri mengelamun tanpa berpijak dan kini 'tersentak' baru sedar dan mencari formula terbaik untuk kembali berkuasa. teringat ketika ucapan 'mengangkasa' itu diucapkan ramai sahabat yang bersuara yang mungkin sumbang bunyinya tapi kini mungkin ada kebenarannya. Mereka berkata," ucapan Najib ini terikut-ikut dengan kejayaan melancongnya angkasawan kita Dr Muzadfar". penulis hanya mengiyakan saja pada ketika itu.

Tapi kini ingatan itu ada kebenarannya. Najib bersahaja melunakkan ucapan beliau cuba mengangkat kejayaan anak Melayu berjaya di angkasa di bawah kerajaan dan pimpinan UMNO. Kini DS Najib sedar apa yang perlu ke glokal atau ke angkasa kalau jiwa melayu itu kotor dengan rasuah. Mungkin pada UMNO sukar untuk untuk mengaitkan rasuah dengan najis seperti mereka lakukan terhadap dadah yang disinonimkan dengan najis. Dengan semua 'rukun' yang berteraskan wehdatul itu tidak mampu kembali memberikan UMNO dari najis rasuah. beliau masih tercari-cari seperti mamai setelah bangun dari tidur mendapat formula mengembalikan UMNO pada tradisinya.

Pencari makan dalam UMNO terlalu ramai dan inilah parasit yang akan membunuh UMNO. Jumlah yang terlalu ramai ini akan mempercepatkan lagi UMNO terkubur. Rasuah dan parasit ini adalah tunjang menunjangi, bantu membantu bagai aur dengan tebing. Apakah cara yang harus dilakukan untuk menghapuskan kedua-dua makhluk perosak ini? Pertama dekatkan UMNO dengan ISLAM. Kedua tunjangi UMNO dengan ISLAM. Ketiga imani UMNO dengan ISLAM. Keempat pimpin UMNO dengan ISLAM. Kelima zahirkan UMNO sebagai parti ISLAM. Kenapa lima? mudah kerana itulah jumlah rukun ISLAM. Kenapa ISLAM? Mudah kerana itulah sebenarnya penghujung setiap wehdatul yang disebut oleh DS Najib baru-baru ini.

Pemberontakan Dalaman MCA Berterusan / UBN Najib Altantuya / PKFZ

Jawatankuasa Pusat MCA sekali lagi melakukan kejutan baru baru ini apabila presiden Datuk Seri Ong Tee Keat bercadang memanggil satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi memutuskan sama ada perlu satu pemilihan baru kepimpinan parti.

Selepas tiga jam bertolak ansur dan berunding, satu gambaran jelas terpapar iaitu jawatankuasa itu kini berpecah kepada tiga kumpulan - penyokong setia Ong, penyokong Datuk Seri Liow Tiong Lai dan penyokong Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Majoriti daripada ahli jawatankuasa berpengaruh itu dikatakan pernah berpihak kepada Ong.

Dalam mesyuarat itu, difahamkan Ong didakwa diminta meletak jawatan dengan segera berdasarkan surat yang ditandatangani bersama oleh kira-kira 20 anggota CC termasuk dua naib presiden.

Mereka telah menandatangani surat itu malam sebelumnya semasa satu mesyuarat yang dipanggil oleh salah seorang daripada empat naib presiden parti di sebuah hotel berdekatan dengan Wisma MCA di Kuala Lumpur.

“Dua daripada naib presiden tidak menurunkan tandatangan manakala lain yang ada berbuat demikian. Ia sebenarnya pemberontakan dalaman.

“Apa yang menarik ialah tiada penyokong Dr Chua dalam jawatankuasa CC menandatangani surat itu,” seorang dalaman parti memberitahu Bernama.

Sumber yang sama memberitahu Ong juga memuji penyokong Dr Chua kerana “mempunyai prinsip” dengan memilih untuk tidak menandatangani surat itu.

Penyokong Dr Chua, Loh Seng Kok, yang juga anggota CC, berkata mesyuarat itu sebenarnya satu pertarungan antara penyokong dan bekas pengikut Ong.

Katanya, kumpulan Dr Chua hanya inginkan pemilihan baru supaya ianya menjadi medan perebutan kuasa yang adil.

Kumpulan dalaman parti berkata semasa mesyuarat itu, Ong menjelaskan, oleh kerana keputusan EGM Sabtu lepas tidak meyakinkan dan akar umbi berpecah maka cara terbaik menyelesaikan krisis dalaman adalah dengan mengadakan pemilihan
baru.

Ong juga dikatakan menjelaskan bahawa tindakan disiplin terhadap Dr Chua merupakan keputusan kolektif oleh Majlis Presiden dan CC dan oleh kerana perwakilan menolaknya maka CC juga perlu mendapatkan mandat baru.

Ong kemudian mengarahkan setiausaha agung parti Datuk Wong Foon Ming memanggil sebuah mesyuarat EGM mengikut Artikel 30.1 Perlembagaan parti sama ada parti itu harus mengadakan pemilihan baru bagi CC, kata orang dalaman itu.

Seorang pemimpin akar umbi, yang enggan dinamakan, berkata Ong muncul sebagai pemenang pada mesyuarat hari ini apabila menggunakan EGM sebagai kekuatan unggulnya untuk membalas dendam terhadap pembelotnya dalam CC yang enggan mendapatkan mandat baru.

“Ong telah berjaya memperdaya mereka dengan teliti dan cekap pada Pusingan 2 selepas tewas pada Pusingan 1,” katanya.

-BERNAMA-

Pilihanraya Perak Tidak Lama Lagi ? / Nizar vs Zambry / PKFZ

Sofi Wahab

Tidak semena-mena Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak memaklumkan bahawa pihaknya akan mempamerkan nama-nama mereka yang telah mendaftar sebagai pemilih baru dan pertukaran alamat tempat mengundi bermula dari 1 Julai 2009 hingga 30 September 2009.SPR di negeri-negeri lain tidak pula membuat pengumuman rasmi seperti ini.

Adakah ini petanda baru DUN Perak akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada SPR mengadakan pilihanraya negeri bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu yang berlanjutan sehingga sekarang.

Pelbagai pihak berpendapat tidak mustahil pilihanraya negeri akan diadakan pada masa terdekat jika BN yakin mereka akan menang mutlak di Perak. Mungkin BN mengambil kira kemenangan mereka di Bagan Pinang sebagai indikator bahawa rakyat sudah kembali menyokong mereka dan inilah masanya untuk mendapat mandat baru dari rakyat.

Bagi pihak Pakatan Rakyat mereka mesti bersedia dari sekarang untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Sila semak daftar pemilih terbaru tersebut untuk memastikan ianya bersih dan telus.

Sementara itu Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, Che Wan Muhammed Salleh Wan Adnan dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka yang telah mendaftar pada tarikh tersebut diminta untuk menyemak nama di tempat-tempat berikut iaitu pejabat SPR Perak, pejabat Pos, pejabat penghulu dan pejabat-pejabat daerah.

Tempoh pameran selama seminggu bermula 20 hingga 26 Oktober, katanya.Katanya sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat-pejabat pilihan raya negeri Perak di nombor telefon 05-24 94 113, 05-24 94 120 dan 05-24 94 121

Najib, 'kelucahan ringan' dan rasuah Umno / UBN Najib Altantuya / PKFZ

H Fansuri

Bahasa-bahasa pertuturan Melayu selalunya mencerminkan adab dan budi pekerti yang tinggi. Kita sering mengguna istilah berlapik untuk menyebutkan sesuatu khasnya yang melibatkan alat kelamin, sama ada lelaki mahu pun wanita. Tapi, Perhimpunan Agung Umno kali ini sekali lagi disulami gelak tawa, gara-gara Presiden Umno, Najib Razak berhasil menyulam unsur kelucahan lewat ucapan penutupnya. Petang 16 Oktober menjadi saksi bahawa bukan sedikit kenyataan ini diulang-ulang oleh Najib Razak.

Antaranya, Najib kerap mengulang-ulang sebutan nama seorang pemimpin kulit hitam, bersama Nelson Mandela; pejuang Apartheid di Afrika yang bernama Dakote.

"Namanya D-A-K-O-T-E ..." Najib terdiam sejenak selesai dia mengeja abjad D-A-K-O-T-E satu-persatu sambil menanti reaksi para perwakilan. Tidak lama selepas itu meledaklah ketawa besar perwakilan setelah menyedari gurauan lucah itu.

Paling mengejutkan, Najib tergamak menyebutkan perkataan 'anu' lelaki dengan jelas di hadapan orang-ramai secara langsung setelah didesak para perwakilan sendiri.

Najib boleh memilih untuk tidak menyebut atau boleh juga terus menyebut nama pemimpin itu sekali lalu dan terus merujuk kepada perjuangan menentang sistem yang tidak adil itu.

Jika Najib menyebut hal ini sekali lalu tanpa berniat menyerapkan unsur kelucahan dalam ucapannya para perwakilan pun tidak akan terikut-ikut rentak kelucahan itu dan mereka pun tidak terfikirkan hal kelucahan yang cuba digambarkan oleh Najib itu.

Batang Berjuntai

Tapi, Najib tetap menyebutkan menyebutkan hal itu. Malah, dalam pilihan raya kecil di Batang Berjuntai, ucapan Najib turut mengheret pengertian batang berjuntai dengan alat kelamin lelaki dengan sengaja.

Kita pun tertanya-tanya, dalam fikiran Najib, ada apa yang berselirat dalam kepala dia sebenarnya selain komisen kapal selam Scorpene?

Dalam perhimpunan agung Umno tahun lalu Najib menyentuh sekilas hajatnya untuk nikah sekali lagi. Tetapi, malangnya, menurut kata Najib, 'kilang lama' tidak mengizinkannya membuka 'kilang baru'. 'Kilang lama' merujuk Rosmah, sementara 'kilang baru' merujuk isteri baru.

Dalam perkembangan lain, ketika menyentuh hal jenaka lucah bersama Dato' Ishak, Najib mengulas semula kenangan lalu bersama rakannya itu.

Kata Najib, jika ada letupan maka rakannya itu berpesan agar jaga 'anu' masing-masing terlebih dahulu. Najib, sempat bergurau, iaitu dia rasa risau kalau-kalau rakannya menjaga anunya jika ada letupan itu. Tidaklah diketahui, adakah letupan itu seperti ledakan bom C4 bunyinya?

Terdahulu, dalam ucapannya, Ishak bercerita bahawa Najib pernah bertanya kepadanya setelah dengar letupan itu: "Ishak, apa kita nak buat?" Lalu soalan itu disambut Ishak, "... raba telur you."

"Saya tanya, ada (anu) Dato'?" kata Ishak kepada Najib. "Dia (Najib) menjawab ada (anu) Hak."

Tambah Ishak lagi, gurauan itu beliau kemukakan sebagai alasan - bahawa menjadi suatu kewajipan untuk Perdana Menteri memiliki 'anu'. Apa kes dan apa kejadahnya gurau-gurauan seperti ini?

Semua bentuk gurauan lucah seperti ini, walaupun masih tersirat, tapi ia mahu dibawa ke arah mana sebenarnya? Lawak Abu Nawas ada inti pengajaran juga. Lawak lucah Najib nak diambil pengajarannya daripada sudut mana agaknya? Najib Razak adalah anak Pahang, Ahli Parlimen Pekan.

Cukuplah dengan MB Pahang Adnan Yaakob yang membuat isyarat lucah secara terbuka dengan tangannya dalam salah satu kempen pilihan raya dulu. Tindakan itu, sudah cukup memalukan anak Pahang.

Najib juga turut merujuk program anjuran mereka yang dibuat di Kg Janda Baik berulang kali. Ada apa dengan Kg Janda Baik? Apakah Najib ada 'seseorang' pula di sana?

"Janda..yang baik ...," kata Najib lagi dengan lirik mata dan senyum simpul, seperti membayangkan ada kerakusan dan dahagakan ketawa, sorak-sorai hadirin perwakilan.

Borang keahlian Umno hilang?

Tamat isu lucah. Timbul isu lain. Mutakhir ini, Umno ghairah menyebut bahawa parti itu mahu jadi sebuah parti inklusif. Ini menunjukkan, mereka tidak mahu lagi dilihat sebagai parti elit, lagi eksklusif.

Tapi, hakikatnya Najib sendiri terpaksa mengakui bahawa parti itu dahulunya pernah bersikap tidak meraikan orang-orang luar yang ingin menjadi ahli.

"Ada kes sampai hilang borang di pejabat," kata Najib lagi. "Sampai tiga kali hilang borang untuk menjadi ahli Umno."

Penyakit hilang borang ini rupa-rupanya menjadi masalah Umno yang berat juga. Apatah lagi, kesan wabak ini merayap lalu merebak ke kampus universiti.

Di kampus, masih kedengaran isu-isu seperti mahasiswa tidak dapat bertanding dalam pilihan raya kampus dengan sebab borang yang dijual amat mahal atau siswa gagal mendapatkan tandatangan dekan fakulti dalam borang tersebut.

Masa untuk Umno menilai semula sikapnya sudah tiba. Ketika Najib mengusulkan supaya sistem kuota dihapuskan sehinggalah ke tahap pemilihan Presiden Umno, beliau juga mesti selesaikan kes hilang borang ahli Umno termasuk kes siswa yang gagal bertanding dengan sebab gagal mendapat pengesahan, tandatangan dekan fakulti dalam borang.

Isa Samad dan rawatan rasuah yang bersifat eksklusif

Pendirian Umno tentang isu rasuah juga agak lemah. Pertamanya, Umno tidak mengguna kalimah rasuah sebaliknya 'politik wang'. Istilah ini tidak tepat.

Jika sebelum ini Najib mahukan Umno menjadi sebuah parti inklusif, maka ia mestilah inklusif dari sudut pengertian rasuah juga.

Contohnya, jika seseorang yang bukan ahli Umno mengamalkan rasuah, maka mereka dihukum mengikut hukum negara. Sebaliknya, dalam kes Isa Samad, mantan MB Negeri Sembilan itu hanya dihukum parti dan hukum negara tidak pula dihukum ke atasnya.

Rasuah di dalam Umno menjadi penyakit yang mana rawatannya bersifat eksklusif dan bukan inklusif. Ini bermakna, non-Umno akan dihukum negara, sebaliknya orang Umno itu akan dihukum parti. Hukuman ke atas 'perasuah Umno' pun menjadi eksklusif.

Manakala hukuman ke atas 'perasuah non-Umno' bersifat inklusif. Ini tidak adil. Najib perlu peka terhadap maksud inklusif dan eksklusif yang beliau maksudkan.

Jangan Najib hanya melihat isu inklusif ini cuma terhad kepada topik 'outreach' untuk mendapatkan jumlah ahli Umno saja. Lalu, dalam hukuman ke atas Umno dan 'non-Umno' masih lagi ada bezanya.

Umno, 'parti Islam' yang tiada pendirian jelas mengenai isu rasuah

Umno sebagai 'parti Islam' (kununnya 'parti Islam' mengikut tafsiran Najib) tiada pendirian jelas ke atas penerima rasuah.

Walaupun Najib mengaku bahawa Umno adalah parti Islam, tapi parti tersebut bukan mengambil sumber agama sebagai suatu hukuman yang jelas, khasnya yang berhubung dengan jenayah rasuah ini.

Hadis nabi menyebut bahawa 'perasuah' dan 'penerima rasuah', (ar-Rasyi wal Murtasyi) kedua-duanya berada dalam neraka. Ini bermakna, Islam melihat kedua-duanya adalah penjenayah. Maka, untuk itu, kedua-dua mereka (Rasyi, perasuah dan Murtasyi, penerima rasuah) wajib dihukum.

Tetapi Umno cuma hukum 'perasuah', manakala 'penerima rasuah' tidak dihukum. Di situlah kesilapan Umno. Hukum hakam ekonomi berfatwa, "Di mana ada permintaan, maka di situ ada penawaran." Pasaran industri rasuah ini boleh dikembangkan lagi dengan hukum hakam, fatwa sebegini...

"Di mana ada perasuah, maka di situlah akan ada penerima rasuah, di mana ada permintaan untuk dirasuah, maka di situ juga akan ada penawaran untuk merasuah."

Tetapi, sekali lagi, Umno hanya menghukum perasuah seperti Isa Samad dan mereka tidak menghukum 'penerima rasuah' daripada Isa. Inilah masalah besar 'parti Islam' Umno.

Pada 16 Oktober lalu, ketika Najib berkata, bahawa bahawa Isa Samad itu telah insaf, dan kembali ke pangkal jalan serta tidak mengkhianati parti, para perwakilan itu pun bertepuk tangan dengan gembira, dan raikan dengan penuh rasa terharu bersarang di dada.

Nanti dulu... para perwakilan itu mungkin bertepuk tangan kerana terharu dengan sebab Isa Samad sangat setia kepada partinya.

Tetapi, antara perwakilan itu, ada juga barisan penjenayah yang telah menerima suapan demi suapan sebelum ini. Mereka ini bukan cuma menerima suapan Isa malah menerima suapan daripada calon-calon para pimpinan Umno sebelum ini.

Jadi, ketika para perwakilan Umno bertepuk tangan tatkala Najib berkata Isa telah pun kembali ke ribaan parti, maka penjenayah (penerima rasuah) ini bertepuk tangan kerana gembira. Dan, gembira mereka ini perlu dibedah siasat dalam banyak tafsiran juga.

Para perwakilan (penjenayah - penerima rasuah) yang bertepuk tangan kerana gembira sebab terharu terhadap kesetiaan Isa itu, menghadapi sindrom tahap bengap yang keterlaluan. Bani Murtasyi yang pertama ini perlukan suntikan ilmu, hikmah, kebenaran dan perlu mendidik mereka dengan sabar.

Yang paling 'cerdik' ialah para perwakilan (penjenayah, penerima rasuah) yang gembira kerana Isa (mantan perasuah) telah kembali pangkuan parti rasuah. Mereka ini geliga, amat berkualiti dalam melakukan kejahatan demi kejahatan yang berkesinambungan tanpa titik noktahnya.

Setiap iringan tepuk tangan mereka sungguh dalam maknanya. Mereka tahu perasuah boleh berterusan merasuah dan perasuah adalah sumber wang Umno. Isa, mungkin terus beri wang, projek melimpah-ruah dan mencurah-curah dalam poket, kantung mereka.

Para perwakilan Bani Murtasyi kedua (penjenayah-penerima rasuah) inilah yang mungkin tepuk tangan dengan girang, gembira meraikan kehadiran semula Isa dalam Umno. Mungkin mereka ini yang paling banyak terima habuan rasuah Isa sebelum ini? Bagaimanapun, mereka akan selamat daripada Najib.

17 Oktober, 3:14 a.m
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Bila Umno Bertelagah Sesama Sendiri / UBN Najib Altantuya / PKFZ

Mohd Sayuti Omar

IA mungkin hanya gurau untuk menghilangkan katuk! Tetapi kalau dinilai gurauan itu ada nilai tersendiri dan boleh difahami apakah erti di sebalik gurauan itu. Gurauan ini dirujuk kepada ‘pertelagahan’ antara dua orang pembahas ucapan dasar di perhimpunan agung Umno hari ini. Antara wakil Terengganu,Rosli Mat Hassan dengan wakil Kelantan, Noor Zahidi Omar.

Rosli Mat Hassan kata, Umno Kelantan tidak mampu merampas Kelantan walaupun dari seorang bergelar Tok Guru Nik Abdul Aziz. Sindiran Rosli itu benar-benar menyenakkan wakil Kelantan itu menyebabkan dia menempelakkan Umno Terengganu dengan mendedahkan rahsia kejayaan UBN Terengganu dalam pilihan raya lalu.

Menurut Noor Zahidi wajar kalau UBN Umno berjaya merampas Terengganu dari Pas tahun 2004 kerana banyak wang ehsan digunakan. Katanya UBN beri macam-macam untuk menggoda rakyat termasuk basikal duit dan macam-macam.

"Kalau beri macam-macam, macam mana kalau Umno Terengganu tidak boleh menang!' kata Noor Zahidi.

Secara tidak langsung gurauan itu mendedahkan sikap dan kebejatan politik Umno di Terengganu. Tuduhan Pas selama ini bahawa kemenangan di Terengganu itu kerana kuasa wang bukan kuasa rakyat betullah. Hakikat ini disahkan oleh orang Umno sendiri. Penafian UBN ke atas dakwaan Pas itu ternafi automatik.

Di sini saya bukan hendak bersetuju dengan dakwaan dan ramalan Rosli itu. Tetapi kalau dilihat dari jauh pun Umno Kelantan tidak akan mampu untuk merampas Kelantan. Itu bukan jenguk dari dekat dan masuk ke dalam kelabu Umno lagi. Barang kali kalau jenguk dalam kelabu Umno Kelantan macam-macam yang ada, yang menjadi penghalang dan pengalang untuk parti itu merampas Kelantan. Atau kalau dijenguk dari dekat mungkin Umno sudah berbau kohong.

Perhatikan apa yang dilakukan
Mustapa Mohamed apabila beliau dilantik jadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan. Sudah lebih empat bulan Mustapa dilantik jadi ketua. Dalam tempoh itu kalau kita pelihara kucing betina sudah pun mengeluarkan hasilnya.Nelly, kucing saya yang diambil di Raub enam bulan lalu sudah pun beranak tiga! Tetapi nampaknya Musatapa masih mandul untuk melahirkan idea, merancang strategi atau prgoram untuk merampas Kelantan.

Apakah beliau sibuk selaku menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri (MITI) sering berada di luar negara dan tidak sempat memerhati Umno? Kalau tugas itu menganggunya, bermakna pilihan Mustapa itu tidak tepat. Atau
Mohd Najib Razak memilih Mustapa selepas tidak ada tokoh lain lagi yang boleh diharap untuk memimpin Umno Kelantan. Kepada Mustapa kalau beliau tidak berdaya, elok kalau beliau berundur dan serahkan kepada orang lain yang lebih berwibawa.

Cara pemilihan ketua Umno Kelantan agak anih dan istimewa kepada orang yang menjabatinya. Rasanya Kelantan saja melantik orang yang pernah memegang jawatan itu menjadi Pengersi Perhubungan. Tokoh yang pernah dilantik ke jawatan itu dua kali ialah
Tengku Razaleigh Hamzah dan Mustapa Mohamad. Tengku Razaleigh pernah menjadi ketua Umno Kelantan tahun 19770-an dan sekali lagi pada tahun 1995.

Begitu juga dengan Mustapa pernah dilantik menjadi pengerusi pada tahun 2004 dilucutkan pada 2007 dan kini dilantik semula menjawat jawatan itu mengambil alih daripada
Annuar Musa.

Melihat keanihan dan keistimewaan ini saja mengeshakan yang Umno Kelantan tidak tentu hala. Hilang kampas dan tidak tahu ke mana jalan bagaimana untuk berhadapan dengan Nik Abdul Aziz. Mungkin juga keramat hidup yang ada kepada Tok Guru itu menyebabkan Umno Kelantan jadi hilang akar ataupun sasau.

Kelemahan Mustapa sangat jelas. Selama empat bulan beliau memegang jawatan itu masih belum dapat berbuat apa-apa. Belum ada program besar diatur di Kelantan. Ketiadaan program perdana ini menunjukkan kelemahan Mustapa sebagai ketua atau CEO Umno.

Mungkin ramai yang hairan kenapa Mustapa diambil lagi walhal orang semua tahu mengenai stail gerak kerjanya. Selalu kedengaran keluhan dan cemuhan ahli Umno Kelantan kepada Mustapa. Mereka menganggap Mustapa tidak layak jadi ketua parti tetapi amat sesuai jadi profesor memberi kuliah di universiti. Beliau lebih sesuai di dalam bilik kuliah, forum dan canggung berada di lapangan atau di bawah. Nampak sangat akan kekokokannya.

Masalah paling besar dan mencabar Mustapa kini ialah berhubung perlantikan penyelia DUN dan Parlimen di kawasan-kawasan yang tidak dimenangi oleh UBN. Pengisian jawatan ini telah tertangguh beberapa kali. Mulanya ia akan diisi pada Ogos lepas dan ditangguh bukan Oktober ini.

Nama-nama untuk dilantik sudah pun ada, tetapi Mustapa tidak berani mengumumnya. Berlaku juga bantahan dan tentangan menyebabkan berlaku rombakan beberapa kali ke atas senarai yang sudah dimukatamadkan itu. Kerana bimbang berlalu pergaduhan sama sendiri, kerana merebut jawatan itu Mustapa khabarnya akan menyerahkan kepada Mohd Najib Razak sendiri untuk membuat pilihan dan pengumuman.

Berlarutannya masalah untuk melantik penyelia atau pengarah Dun dan Parlimen ini sekali lagi menjelaskan sikap 'rokrak' atau pun penakut yang ada kepada Mustapa. Kelambatan ini juga menjelaskan Mustapa tidak layak untuk menjadi ketua kerana tidak berani untuk membuat keputusan.

Mengenai perlantikan jawatan ini memang menjadi tumpuan di Kelantan. Sudah ada dari kalangan Umno sendiri akan mula menghitung Umno akan bergaduh kerana merebutan jawatan sekali lagi. Hanya tunggu masa saja untuk melihat akan meletupnya sebuah 'bom' perebutan di Kelantan. Semangat Janda Baik atau semangat tranformasi dalam perhimpunan agung semalam tidak akan merubah stigma dan phobia politik cah genting di Kelantan.

Mungkin berdasarkan situasi inilah menyebabkan Rosli Mat Hassan berani menyindir Umno Kelantan sebagai tidak berkemampuan untuk merampas Kelantan.
[wm.kl. 1:00 t/hari 16/10/09]
http://msomelayu.blogspot.com/

Blok Utara & Blok Selatan... / UBN Najib Altantuya / PKFZ

WAWANCARA BERSAMA TERAJU PUTERA UMNO BANYAK YANG BOLEH DIPERTIKAIKAN / UBN Najib Altantuya / PKFZ

ROSLAN SMS
Dalam laman web Agendadaily di http://www.agendadaily.com/dimuatkan wawancara eksklusif bersama Ketua Putera Umno yang baru ditubuhkan iaitu Abdul Azeez Abdul Rahim. Putera Umno, iaitu Biro dari Pergerakan Pemuda Umno ini diberikan tugas menawan anak-anak muda sekitar 18 hingga 25 tahun dan mereka ini mahu dilatih dan diberikan pendedahan agar menjadi instrument kearah mencapai cita-cita Malaysia maju pada tahun 2020.


Menurut seorang sumber yang menghubungi kami sebahagian besar dari jawapan Azeez terhadap wawancara ini adalah bohong dan palsu belaka. Menurut sumber tadi sesiapa yang tidak mempercayainya bolehlah melakukan siasatan sendiri samada melalui pendaftar syarikat ataupun mana-mana pihak yang berkaitan.

Beliau memberi contoh Azeez ada berkata:

Itulah mulanya saya berjaya sehinggalah saya dapat jual kereta pada mat salleh dan saya ada 7 showroom . Saya ada di tapak Gaint Kelana Jaya sekarang, jalan Kelang Lama dan dalam Subang Parade, itu ada jual kereta mewah.

Di dalam Subang Parade tidak ada showroom kereta. Kalau ada pun berkala pada musim-musim tertentu, tidak ada showroom yang kekal. Takkanlah Azeez nak mendakwa showroom seumpama itu sebagai sebahagian dari kononnya 7 showroomnya itu.

Satu lagi pembohongan yang lebih serius (dalam wawancara itu) adalah:

Kemudian saya beli syarikat Almarhum Sultan Selangor iaitu syarikat Wilayah Arm, setelah maju dalam berniaga, saya mula memberi bantuan kepada mereka yang tidak bernasib baik, pada rumah anak yatim, badan kebajikan, sekolah agama, sekolah anak yatim, Belia 4B, Pandu Puteri

Menurut sumber syarikat tersebut bukannya milik Almarhum Sultan Selangor, tidak masuk akal Almarhum Tuanku memiliki sebuah syarikat sedemikian rupa. Barangkali pemilik lesennya adalah kerabat di raja Selangor tetapi BUKAN Almarhum Sultan, mengapa Azeez menjual nama Almarhum dalam hal ini? Dan Azeez tidak pula memberitahu yang syarikat itu kemudiannya telah beliau jual dan kini pemiliknya bukan lagi beliau!

Dan lebih serius lagi Azeez mendakwa:

Sejak dulu lagi saya memberi sumbangan dan bantuan, kemudian saya sambung belajar, saya buat Masters di sebuah Universiti di Amerika

Menurut sumber Azeez tidak pernah memasuki mana-mana universiti di Amerika apalagi berjaya mendapatkan ijazah sarjana di sana.

Dalam wawancara ini Azeez turut berkata:

Sesuatu yang salah tetap saya kata salah, haram tetap haram halal tetap halal prinsip saya jelas, saya tidak mahu kerana kawan saya nak pusing cakap, itu saya tak mahu! Bagi saya apa mak cakap adalah benar belaka.

Dan dalam hal ini berdasarkan kenyataan sumber sebagaimana yang telah dinyatakan, tidaklah salah kalau kita mula meragui kenyataan Azeez di atas. Kalau yang salah itu benar-benar salah, maka banyak yang perlu diperbetulkan oleh Azeez dan sedih melihatkan Umno akan menyerahkan nasib anak-anak muda kepada seorang yang kredibilitinya sangat-sangat dipertikaikan.

Kesimpulannya renunglah apa lagi kata Azeez dalam wawancara itu:

Pak Lah ke sana sini menyebut Islam Hadhari, yang faham siapa, ketua bahagian pun ada yang tak faham, apatah lagi akar umbi, jadi peluang yang berikan pada saya ini akan dipergunakan dengan sebaik-baiknya, saya akan pergi ke akar umbi untuk menterjemahkan apa itu mari bekerja bersama saya bukan untuk saya.

PAS sedar, UMNO sedar, PKR masih dibuai mimpi..? / UBN Najib Altantuya / PKFZ

Atas kesedaran mengenai pengaruh internet dalam masyarakat, Pemuda Umno menggariskan “kemenangan perang saraf dalam dunia siber” sebagai penanda aras pencapaian bagi sayap parti Umno itu.Langkah itu dilihat sejajar dengan senario politik semasa yang mana platform siber digunakan untuk melancarkan “perang saraf” melalui blog atau web portal online.

Ia juga senjata ampuh membentuk persepsi masyarakat terhadap sesuatu isu.

“Ini satu kemajuan jika Pemuda Umno mengiktiraf pengaruh dan peranan media baru,” kata pensyarah pengajian media Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah kepada Bernama ketika mengulas usaha Pemuda itu.

Langkah itu merupakan satu daripada lima penanda aras digariskan kepimpinan Pemuda Umno semasa perhimpunan agung Pemuda Umno hari ini bagi menarik sokongan pengundi selain menambah keanggotaan, mendaftarkan anggotanya sebagai pengundi, menjalin hubungan strategik dan menambah sokongan pengundi kepada BN.

Generasi muda dikatakan cenderung kepada media baru untuk sumber maklumat.

“Ini cabaran kita, menerangkan kepada generasi muda untuk membezakan antara fitnah dan fakta yang ditaburkan di alam siber ini,” kata Ketua Biro Aduan Komuniti Awam Pemuda Umno, Datuk Khairun Aseh.

Khairun berkata pengiktirafan terhadap peranan media baru dalam senario politik negara itu menunjukkan Umno mahu melakukan perubahan ke arah politik “engagement”.

“Apa yang penting bukan serang tapi terang (penjelasan),” katanya.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 lepas, pengundi muda dikatakan terpengaruh dengan maklumat yang tersebar luas dalam dunia siber yang menyaksikan buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiganya di 222 kerusi Parlimen.

Dalam penggunaan media baru sebagai alat komunikasi efektif, seorang sarjana komunikasi berkata parti kerajaan agak terkebelakang berbanding parti pembangkang.

“Ini kerana media baru adalah medium utama bagi pembangkang sejak 1999 berbanding BN yang mempunyai media arus perdana,” kata pensyarah komunikasi Universiti Putra Malaysia, Ishak Abdul Hamid.

Yang pasti, penjelasan isu-isu semasa dalam dunia siber amat penting.

Ini berdasarkan hakikat terdapat lebih 16 juta pengguna Internet di negara ini berbanding 10.9 juta pengundi (pada pilihan raya umum ke-12 lepas) yang mempunyai kuasa menentukan masa depan negara.

Kira-kira 1.8 juta pengundi baru dijangka mengambil bahagian pada PRU-13 akan datang.

-BERNAMA/detikdaily.net-