Masa menyaksikan hukum-hakam Islam terlaksana semakin singkat

LanH

MEMASUKI tahun baru Hijrah 1431 dan Masihi 2010 bermakna baki usia kita semakin pendek. Kita menjadi semakin cemas sama ada dengan sisa umur itu kita dapat menyaksikan hukum-hakam Islam ditegakkan dalam diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara kita.

Adalah wajib bagi setiap Muslim mempunyai niat atau cita-cita menegakkan hukum-hakam Islam. Dengan adanya niat itu, diharapkan kita terlepas daripada dakwaan tidak melaksanakan hukum Allah apabila diadili di Mahsyar nanti.

Bagaimanapun niat saja tidak mencukupi. Niat perlu disertakan usaha dan doa. Setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Misalnya, ustaz dengan kelas pengajiannya, pemimpin dan aktivis parti dengan perjuangan masing-masing, penulis dengan tulisannya dan begitulah seterusnya.

Selain usaha, doa amat penting, apakah kita sudah berdoa bersungguh-sungguh, merintih pada-Nya agar dibukakan-Nya jalan bagi kita membantu usaha ke arah menegakkan hukum-hakam Islam di negara ini. Marilah kita berdoa semoga pembesar dan pemimpin negara dibukakan hati untuk melaksanakan hukum-hakam Islam. Marilah kita berdoa supaya pemimpin kita terbuka hatinya untuk menjalankan hukum-hakam Islam.

Islam yang diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah sempurna. Ini termasuklah hukum-hakamnya. Adalah amat malang jika manusia menolak hukum-hakam Allah sebaliknya mencipta atau menerima hukum manusia terutama dari Barat untuk diadaptasi dalam kehidupan.

Adalah salah untuk berhukum selain daripada apa ditetapkan oleh-Nya. Kenapa manusia pandai-pandai mahukan penyelesaian mengikut cara dan pemikirannya dan bukan undang-undang Yang Maha Kuasa? Tidak mahukan hukum-hakam Allah bermakna tidak takutkan Allah. Jika seseorang atau negara tidak melaksanakan hukum Allah bermakna dia lebih berkuasa daripada Allah, sebab dia mampu tolak perintah Allah.

Apabila pemimpin menyatakan Malaysia sebuah negara Islam tapi tidak melaksanakan hukum-hakam Islam, amat-amatilah apa yang akan berlaku. Misalnya, Amerika sudah mengintip-intip untuk menghebatkan cengkamannya, orang Islam yang taat dicop sebagai pengganas dan dihumbankan dalam penjara tanpa bicara manakala masyarakat menjadi huru-hara dengan kes jenayah yang tidak berkesudahan.

Disebabkan kuasa pemerintah negara ketika ini dalam tangan Umno-BN, kita doakan agar Allah Taala membukakan hati pemimpin mereka mendaulatkan Islam. Kita sudah terlalu rindu mahu melihat hukum-hakam Allah tertegak di bumi-Nya. Jika benar Umno hendak menegakkan hukum-hakam Islam, buatlah sekarang sebab parti berkenaan sudah diberi kepercayaan besar oleh rakyat. Kalau tak buat, kita bimbang Umno memang tidak hendak Islam berkuasa.

Ini kerana sudah lebih 50 tahun Umno menguasai kerajaan. Kalau dalam tempoh selama itu tidak dilaksanakan hukum-hakam Islam, kita mahu tunggu berapa lama lagi...500 tahun? Dari setahun ke setahun, umur kita semakin berkurangan, tetapi apalah malang bukan saja hukum-hakam Islam tidak terlaksana, apa yang dikendong keciciran. Aneka jenayah termasuk pembunuhan, zina dan rasuah semakin menjadi-jadi, akhlak pemimpin dan rakyat semakin buruk, masa depan kehidupan semakin kelam.

Menoleh ke belakang dan melihat ke depan, kita tahu Umno tidak boleh diharapkan dalam mendaulatkan hukum-hakam Islam sedangkan rindu kita untuk melihat Islam didaulatkan semakin memuncak. Umur kita semakin pendek, kita menjadi cemas; sempatkan kita melihat hukum-hakam Allah terlaksana sebelum mata kita tertutup rapat.

Sehubungan itu, dalam kesempatan singkat ini marilah kita bergabung tenaga dalam jemaah yang berazam menegakkan hukum-hakam-Nya. Tiada daya upaya untuk kita bertindak sendirian, marilah kita korbankan diri dalam membantu jemaah ini menegakkan Islam. Biarlah kita mati dalam perjuangan menegakkan hukum-hakam-Nya, sekalipun cita-cita itu tidak terlaksana ketika hayat kita tetapi yakinilah suatu hari Islam tetap tertegak di bumi tercinta ini.

http://lanh14.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan