Pemuda Umno Kelantan gesa Ku Li lepaskan kerusi MP

Mohd Zuharman
KOTA BARU, Feb 1:
Pemuda Umno Kelantan mahu Tengku Razaleigh Hamzah melepaskan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Gua Musang, dan menyertai PAS atau mana-mana komponen Pakatan Rakyat.

Susulan ceramahnya dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan Ahli Parlimen Gua Musang itu dilabel sebagai menentang arus dan menyimpan agenda tersendiri.

“Tindakannya (Ku Li) itu jelas membayangkan beliau tidak menghormati Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Jadi, Pemuda (Umno) Kelantan merasakan adalah lebih baik Ku Li melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen BN dan menyertai PAS atau PKR,” kata Ketua Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tengku Razaleigh (gambar), yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang, ketika menyampaikan ceramah royalti di Stadium Sultan Mohamad IV Khamis lalu.

Meskipun telah ditegaskan oleh Tengku Razaleigh bahawa kesanggupannya berada di pentas tersebut berasaskan prinsipnya untuk menegak keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat Kelantan, namun kenyataan beliau mencetuskan kontroversi kerana melibatkan kerajaan negeri pimpinan PAS.

“Saya bebas bersuara apa yang saya suka asalkan saya tidak langgar perlembagaan dan undang-undang yang terpakai di negara ini serta disiplin Umno.

"Saya bukan ‘pak turut’,” kata beliau.

Pun begitu, prinsip Tengku Razaleigh dilihat sebagai tidak laku digadai apabila ia disanggah Pemuda Umno negeri yang mengatakan ceramah beliau itu sebagai tidak lebih daripada memperbodohkan rakyat Kelantan.

“Persoalannya kenapa baru sekarang Ku Li bangkit untuk memberikan penjelasan akan kepentingan rakyat Kelantan?

"Kenapa tidak daripada dulu lagi," kata beliau.

"Sedangkan beliau mempunyai ruang yang terlalu luas sebagai Ahli Parlimen lebih dari 30 tahun,” katanya.

Merujuk sejarah perkembangan politik Tengku Razaleigh, Anuar memberitahu Pemuda Umno melihat rakyat Kelantan telah banyak diperbodohkan oleh pemimpin seperti beliau yang tidak pernah tetap dengan pendirian.

Ku Li di antara pimpinan kanan kerajaan Umno-BN bertindak menubuhkan parti Semangat 46 bersama rakannya Datuk Rais Yatim bekerjasama dengan PAS dan DAP dalam era 90-an selepas tewas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertandingan merebut jawatan presiden pada pemilihan parti 1987.

Bagaimanapun apabila parti tersebut dibubarkan pada 1996, Tengku Razaleigh dan Rais kembali menyertai Umno semula.

Dalam pada itu Anuar menegaska selaku Ahli Parlimen BN Tengku Razaleigh tidak seharusnya duduk bersama-sama pemimpin PAS yang telah banyak memperkecilkan pimpinan Umno-BN dengan pelbagai tuduhan yang bukan-bukan.

Tambah beliau, bagi Pemuda Umno sama ada royalti atau wang ihsan adalah sama.

"Apa yang penting adalah program dan pelaksanaan akan sampai kepada rakyat," katanya.

Sementara itu Exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan kerajaan Umno-BN mencarik peradaban prinsip demokrasi terhadap kerajaan negeri jika pemberian wang ihsan mahupun royalti disalur melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Beliau menyelar kaedah tersebut jelas menggambarkan sikap diskriminasi kerajaan pusat bukan sahaja menganaktirikan kerajaan negeri malah menganiaya demi kepentingan politik.

“JPP adalah agensi kerajaan pusat. Sedangkan royalti adalah milik kerajaan negeri sebagaimana termaktub dalam perjanjian.

"Petronas sepatutnya membayar royalti secara langsung kepada kerajaan negeri.

“Akta Kemajuan Petroleum sudah jelas, royalti menjadi hak mutlak Kelantan. Maka tiada sebab nak dinafikan,” katanya semasa ditemui.

Menurutnya, justifikasi segelintir menteri Umno yang khuatir dari segi pengurusan kewangan oleh kerajaan negeri sekiranya wang tersebut disalurkan terus kepada kerajaan negeri hanya satu retorik tidak berasas sama sekali.

Tegasnya, perkara asas paling utama adalah hak sesebuah negeri itu dalam menerima hasil daripada perjanjian yang dibuat, bukan soal pengurusan atau kelayakan.

“Kalau nak pertikai soal bijak atau tidak, contoh sudah ada. Semua rakyat sudah nampak.

"Di Terengganu stadium bernilai ratus juta ringgit tiba-tiba runtuh.

“Begitu juga stesyen bas, masjid, termasuk hospital yang tidak dapat diguna selepas dibina oleh kerajaan persekutuan.

“Secara logiknya kejadian tersebut menunjukkan berlakunya salah guna kuasa ataupun tidak menguruskan kewangan dengan baik. Jadi di mana bijaknya kerajaan persekutuan?” soal Che Abdullah.

Sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata kebimbangannya jika wang ihsan disalurkan kepada kerajaan negeri gagal diurus dengan bijaksana sekali gus pengagihan wang tersebut tidak menepati sasarannya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan