Puspawati Rosman
Hujung minggu lalu ketika saya sedang berehat selepas mendaki Bukit Gasing dan bersarapan pagi, saya telah dihubungi dan dimaklumkan tentang penangkapan sembilan orang mahasiswa oleh polis dan mereka telah meminta bantuan guaman. Penangkapan dikatakan berlaku di sekitar Kuala Lumpur, yang mana pihak polis mendakwa bahawa mahasiswa-mahasiswa tersebut telah terlibat dalam satu perhimpunan haram.
Sejak kebelakangan ini, saya memang mengikuti perkembangan kebangkitan mahasiswa-mahasiswa universiti tempatan kita yang semakin berani menyuarakan pendapat dan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pentadbiran universiti dan lain-lain isu yang berkaitan dengan kebebasan akademik dan orang ramai secara keseluruhan. Saya pernah menghadiri beberapa siri forum yang mana terdapat beberapa wakil mahasiswa bersuara, dan pendapat yang disuarakan sangat tajam, bernas dan berani.Rancangan AUKU gagal
Justeru itu, saya tidak terkejut sekiranya kerajaan persekutuan kini sudah mula berasa takut dan risau, walaupun isu yang dibangkitkan oleh golongan mahasiswa ini kebanyakannya adalah isu politik kampus dan bukannya negara, tetapi nampaknya rancangan kerajaan untuk melahirkan lebih banyak lagi mahasiswa-mahasiswa kurang bijak melalui AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) nampaknya sudah tidak berjaya.
Ketika mahasiswa-mahasiswa tersebut menghubungi saya, saya telah meminta mereka memberikan saya nama pegawai polis yang bertugas dan jikalau boleh, mendapatkan nombor telefonnya sekali. Selepas lebih satu jam, salah seorang rakan mahasiswa yang ditangkap telah memberikan nama pegawai yang bertugas tetapi beliau gagal mendapatkan nombor telefonnnya. Maka saya telah menghubungi sendiri balai polis di mana mahasiswa-mahasiswa tersebut ditahan dan minta dihubungkan dengan pegawai terbabit.
"Sayalah polis yang tangkap awak (dulu)..."
Baru saja saya memperkenalkan diri saya sebagai "Puspa" kepada pegawai polis tersebut yang berpangkat ASP, beliau menyambung "Puspawati Rosman". Jadi saya sangkakan bahawa mahasiswa-mahasiswa yang ditahan telah memaklumkan kepada beliau bahawa saya adalah peguam yang mereka telah hubungi untuk khidmat guaman. Akan tetapi, pegawai tersebut berkata "tidak, tapi saya ingat nama tu. Sayalah polis yang tangkap dan lepaskan awak di Masjid Jamek tahun lepas". Saya tidak tahu reaksi bagaimana yang harus saya berikan selepas mendengar ayat penyata tersebut.
Pegawai tersebut memberitahu saya bahawa beliau adalah pengadu di dalam kes tersebut dan bukannya pegawai yang bertugas, dan pegawai penyiasat masih belum ditentukan untuk kes tersebut. Selepas lebih sejam, saya dan dua orang lagi peguam daripada Pusat Bantuan Guaman, Murnie dan Latheefa pergi bertemu dengan pegawai yang bertugas, yang berpangkat Inspektor.
Pada waktu yang sama, saya telah dihubungi oleh salah seorang daripada mahasiswa yang ditangkap yang memberitahu saya bahawa Inspektor tersebut telah mendesak supaya mereka menghubungi dan menyuruh ibu bapa masing-masing datang ke balai untuk mengikat jamin mereka.
Diperbodohkan oleh polis
Pada pendapat saya, permintaan daripada Inspektor tersebut adalah keterlaluan dan tidak masuk akal. Kebanyakan mahasiswa yang ditahan bukan berasal daripada Kuala Lumpur. Adakah polis sengaja hendak menyusahkan mereka, sedangkan tidak ada peruntukan di dalam mana-mana undang-undang pun bahawa ibu bapa wajib datang ke balai untuk menjamin anak yang sudah cukup umurnya?
Pegawai Inspektor tersebut juga bersikap dingin ketika kami para peguam meminta untuk dibenarkan berjumpa dengan anak guam. Katanya "tak boleh, saya masih menyiasat". Dengan penuh sabar kami bertanya kepada beliau atas dasar apakah permintaan kami ditolak dan Inspektor itu hanya menjawab "pergi periksa undang-undang".
Yang itu memang benar-benar menguji tahap kesabaran saya, kerana itu bukan pertama kali saya rasa diperbodohkan oleh polis. Di dalam Kanun Prosedur Jenayah, terdapat beberapa keadaan di mana hak anak guam untuk berjumpa dengan peguamnya boleh dinafikan, tetapi ia hanya boleh dilakukan oleh seorang pegawai polis berpangkat DSP ke atas atau di atas arahan DSP ke atas, bukan Inspektor. Inspektor di dalam kes masa kini bukan sahaja tidak memberitahu kami atas keadaan yang mana satukah penyebab hak anak guam kami dinafikan, tetapi beliau juga telah menyalahguna kuasa dan pangkat Inspektornya untuk menafikan hak anak guam kami.
Peguam diminta keluar
Selepas bertikam lidah dan membuat beberapa desakan melalui pelbagai cara selama lebih dua jam, akhirnya kami dibenarkan untuk berjumpa dengan anak guam dan menemani mereka memberikan keterangan. Kami pun berpecah. Akan tetapi terdapat satu insiden di mana ketika rakan saya Murnie menemani dua orang mahasiswa memberikan keterangan, tiba-tiba beliau telah diminta keluar daripada bilik siasatan oleh pegawai yang bertugas, kononnya kehadiran beliau di situ menyebabkan anak guamnya enggan memberikan kerjasama apabila memilih untuk tidak menjawab beberapa soalan yang diajukan. Murnie enggan keluar.
Terdapat peruntukan undang-undang di dalam Kanun Prosedur Jenayah di mana seseorang itu berhak berdiam diri atau tidak mahu menjawab soalan yang diajukan ketika siasatan, sekiranya beliau berasakan bahawa jawapan yang diberikan boleh menyebabkan beliau dikaitkan dengan mana-mana jenayah atau penalti atau perlucutan hak. Malah, hak ini wajib dibacakan oleh pegawai penyiasat sebelum proses pengambilan keterangan bermula. Maka salahkah para mahasiswa tersebut menggunakan hak mereka itu?
"Kamu nak buat kacau saje, kan?"
Ketika saya pergi berjumpa dengan Inspektor bertugas yang menyuruh saya memeriksa undang-undang tadi, saya bertanya secara elok kepada beliau berapa ramaikah lagi mahasiswa yang masih belum diambil keterangan mereka, kerana saya mahu berada bersama mereka. Inspektor tersebut membalas "kamu ni nak buat kacau saja kan, tak payahlah". Beliau merujuk kepada insiden yang berlaku ketika Murnie dibenarkan menemani dua orang mahasiswa tadi, dan menunjukkan kertas keterangan dua orang mahasiswa itu kepada saya.
"Ni apa ni? Tak nak jawab soalan! Kamu ni memang mengganggu kerja saya!" Kali ini saya tidak boleh bersabar lagi.
"Puan, ini kan memang hak mereka di bawah seksyen 112(2) Kanun Prosedur Jenayah", kata saya.
"Mana undang-undang pasal hak tu? Tunjuk pada saya!" Reaksi balas Inspektor itu memang memeranjatkan saya. Ini adalah kerana Kanun Prosedur Jenayah mewajibkan seseorang polis itu membacakan hak di bawah seksyen 112(2) tersebut kepada orang yang ditahan sebelum keterangan diambil!
Macam halau anjing...
Perang mulut berlaku di antara kami, yang mana akhirnya Inspektor tersebut mengugut untuk membuat laporan polis terhadap saya selepas saya menyifatkan bahawa cara beliau menghalau saya adalah seperti menghalau anjing.
Secara sindiran, saya serahkan kad saya kepada beliau bagi memudahkan beliau membuat laporan terhadap saya. Selepas itu, saya menuju ke kaunter pengaduan dan membuat laporan rasmi terhadap Inspektor tersebut yang telah menyalahguna kuasanya dan bertindak tidak mengikut undang-undang. Rupa-rupanya, rakan saya Latheefa telah terlebih dahulu membuat laporan polis terhadap Inspektor tersebut atas sebab yang sama.
Tidak lama kemudian, Murnie telah menyertai kami. Beliau memberitahu bahawa Inspektor tersebut telah marah-marah kerana ketika sesi mengambil keterangan. Mahasiswa tersebut tidak memberikan jawapan seperti yang beliau mahukan, dan Inspektor itu menyatakan hasratnya untuk mengambil semula keterangan semua mahasiswa tanpa kehadiran peguam.
Jelas sekali Inspektor tersebut tidak faham dengan peranan sebenar peguam di dalam situasi sedemikian. Dalam apa jua keadaan sekalipun, peguam adalah dilarang melatih dan memberikan anak guam jawapan untuk soalan ketika siasatan. Kami berada di situ hanya untuk memastikan supaya anak guam kami dilayan mengikut undang-undang dan supaya anak guam kami boleh menggunakan segala hak yang diperuntukkan kepada mereka dengan bebas. Ketiga-tiga kami mengeluh.
Walaupun saya tidak dapat menemani anak guam ketika mereka memberi keterangan, tetapi saya tetap menunggu di luar balai bersama-sama dengan kumpulan mahasiswa lain yang memberikan sokongan kepada rakan-rakan mereka yang ditahan. Mereka ini juga telah menguruskan proses ikat jamin dengan bantuan beberapa ahli keluarga mahasiswa yang ditahan. Saya pulang dengan ke rumah dengan keyakinan bahawa mahasiswa-mahasiswa ini sudah mampu mengawal situasi dan menguruskan proses ikat jamin sehingga selesai. Tugas saya berakhir setakat itu sahaja. Mahasiswa yang terakhir dilepaskan pada kira-kira pukul 12:30 tengah malam.
Polis buta undang-undang?
Saya seringkali berfikir di manakah silapnya sistem keselamatan dan kepolisan negara kita, sehingga pegawai polis yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga keamanan dan undang-undang sendiri tidak tahu apakah undang-undang dan prosedur yang patut dipatuhi ketika menjalankan tugas (atau mungkin mereka tahu tapi sengaja buat-buat tak tahu?).
Adakah hak asasi orang kena tahan, yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak bernilai langsung di mata mereka? Kadangkala saya menyalahkan diri sendiri apabila anak guam saya dinafikan hak untuk mendapat bantuan guaman yang sewajarnya walaupun saya berada dekat dengan mereka, kerana saya tertanya-tanya adakah ia berlaku selepas saya bertindak agresif melawan polis yang buta undang-undang itu?
Tapi, siapa yang mampu menahan sabar dengan manusia yang begitu?
*Puspawati Rosman ialah seorang peguam, juga Ketua Projek Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang Pusat Bantuan Guaman (PBG).
Assalamualaikum,berkenaan polis ni,
BalasPadamingin saya menyatakan disini,bahawa
institusi polis ni dah jadi celaru!
PDRM(Polis Di-Raja Malaysia),skrg jadi PRDM(Polis RAJA Di-Malaysia)!
Maka tidak hairanlah kalau bekas KETUA polis NEGARA(IGP),Tun Haniff
Omar,pernah menyatakan dalam temuramah dgn akhbar Star 2008, bahawa didalam PDRM ada 40% polis
yang KORUP(KORUPKOP)...!!!Jadi cuba
bayangkan kalau didalam Jabatan Polis ada 100000 anggota,ini bermakna ada 40000 orang anggota polis yg KorupKop...!!!!
Itu sebab IGP skrg begitu kuat menentang IPCMC dari dibentangkan didalam Parlimen...!!!Kita bukan membenci pihak polis,tetapi mereka
hendaklah menjalankan tugas untuk
RAKYAT demi Keadilan dan Saksama..!
Jangan saperti "HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI",,hanya RAKYAT yg
akan menentukan KUASA yg SEBENARnya
menjelang pilihan raya PRU 13(2012)
nanti,untuk menentukan KORUPKOP yg
skrg bermaharajalela,dibawa kemuka
PENGADILAN......!!!!!!!
ZORRO TEAM MALAYSIA