Anwar Ditohmah Umno-BN, Anwar Didoa Alim Ulama

HULU SELANGOR 21 APR: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak gusar ditohmah dengan pelbagai serangan peribadi pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang didalangi juak-juak Umno Barisan Nasional (BN).

Sekalipun Ketua Pembangkang itu dipotretkan dengan label Pengkhianat Negara manakala gambar calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim diubah suai, Anwar yakin rakyat bijak menilai realiti sebenar.
Bercakap depan kira-kira 1,000 penduduk Kuala Kubu Bahru, Anwar mengakui segelintir pemimpin Pakatan Rakyat kecundang dan gagal merentasi cabaran, lalu meninggalkan perjuangan kerana mengharapkan ganjaran apabila mencapai sedikit kemenangan.

Beliau mengingatkan semua pihak betapa perbuatan itu adalah warisan Umno Barisan Nasional (BN) yang boleh menjejaskan usaha membela rakyat.

Anwar mahu memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan betul dan bukannya dijoli untuk kemegahan diri termasuk membeli rumah mewah dan bercuti di luar negara.

“Yang penting pengurusan. Ini, ada kalangan kita bila sudah menang mahu itu dan ini. Ada yang kata dulu masa Umno, boleh. Bila kita tidak bagi, mereka pun lompat," katanya/

Namun, Anwar menegaskan Pakatan Rakyat tetap mara dan tidak mempedulikan pembelotan demi memastikan pengorbanan rakyat selama ini, berbaloi.

"Yang berkorban ini bukan dua tiga orang tapi ramai. Saya masih ingat rakyat membantu saya masa Permatang Pauh. Mereka yang sokong macam-macam kena. Ada kena pindah tempat kerja dan macam-macam," katanya

Anwar mengingatkan rakyat betapa pimpinan Umno BN hanya bijak menutur janji tanpa melaksanakannya, malah berani pula meengadakan janji kononnya mereka mahu berubah wal hal ia hanya mainan bibir semata-mata.

Beliau juga tidak peduli dengan segala macam tohmahan yang dilempar sepanjang kempen pilihan raya ini dan yakin dengan ketentuan Ilahi apatah lagi sentiasa didoa golongan alim ulama.

"Kalau orang Umno hendak kata saya macam-macam, pengkhianatlah, ejen Yahudilah. biar...Mereka ini al-Fatihah pun tidak betul, tapi saya dan pimpinan lain didoa alim ulama dari seluruh dunia.

"Syukur, alhamdulillah," kata Anwar.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan