Mesej Nik Aziz ‘Berdoalah untuk kemenangan Datuk Zaid’

Salah satu papan iklan bermesejkan “Berdoalah untuk kemenangan Datuk Zaid”. — Gambar oleh Choo Choy May

HULU SELANGOR, 21 April: PAS yang dikatakan kurang menonjol dalam membantu kempen pilihan raya Pakatan Rakyat yang diwakili calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat mempamerkan ‘komitmennya’ dengan menaikkan ‘billboard’ yang membawa mesej “Berdoalah untuk kemenangan Datuk Zaid”.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati tiga ‘billboard’ dinaikkan di kawasan Kuala Kubu Baru, termasuk dari persimpangan Jalan Kuala Kubu Baru-Batang Kali menuju ke bandar Kuala Kubu Baru.

Papan iklan itu membawa wajah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Nik Aziz dijangka berkempen untuk Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Jumaat selepas kembali dari menunaikan umrah hari ini.

Semalam, Setiausa Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata bagi membuktikan PAS sememangnya bersungguh-sungguh dalam membantu kempen PKR pihaknya akan menambah tenaga jentera pilihan raya sehingga 60 peratus.

Usaha itu dimulakan semalam.

PAS memutuskan perkara tersebut pada mesyuarat khas penyelarasan pilihan raya yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, malam kelmarin.

“Keputusan sudah dicapai malam, PAS akan bergerak habis-habisan. Sumber PAS tidak terbatas, cukup banyak,” kata Mustafa Ali.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan