KPN sedia arah anggota polis undur

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membidas kritikan pelbagai pihak berhubung kematian remaja berusia 14 tahun - Aminulrasyid Amzah dan berkata beliau sedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat.

"Jika anda tidak mahu polis menguatkuasakan undang-undang, beritahu sahaja.

“Saya boleh arahkan anggota saya supaya tidak bertindak, - termasuk tidak memeriksa kenderaan atau menangkap Mat Rempit yang menunggang tanpa lesen,” katanya yang dipetik
The Star Online ketika kempen menderma darah sempena sambutan Hari Polis 203 di Kuala Lumpur hari ini.

Musa mengulas kenyataaan pelbagai pihak berhubung kematian Aminulrasyid, apabila polis melepaskan empat tembakan ke arah kereta yang dipandu remaja itu kerana didakwa cuba berundur dan merempuh ke arah polis.

Kejadian itu berlaku di Seksyen 11, Shah Alam apabila Aminulrasyid dikatakan memecut dan melanggar beberapa lampu isyarat merah tanpa berhenti meskipun diarahkan berbuat demikian.

Menurut Musa, beliau tidak mahu membuat seberang spekulasi mengenai perkara itu.

"Ia berlaku sekitar jam 2 pagi dan kenderaan itu dibawa dalam keadaan yang mencurigakan. Anggota saya tidak tahu sama ada pemandu kereta itu orang dewasa ataupun tidak kerana keadaan adalah gelap.

"Apabila seseorang enggan berhenti dan terus memandu apabila diarahkan oleh polis supaya berhenti, maka kenderaan berkenaan boleh dianggap sebagai senjata kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada anggota penguatkuasa,” kata Musa.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan