Rakan remaja ditembak polis mohon maaf pada ibu mangsa

Syed Mu’az Syed Putra

SHAH ALAM, 29 April: Rakan Aminulrasyid Amzah, remaja yang ditembak mati polis di Seksyen 11 di sini Isnin lalu, ada memohon maaf kepada keluarga mangsa kerana tidak dapat membantu kawannya ketika insiden meragut nyawanya.

“Saksi ada datang berjumpa saya dan meminta maaf kerana tidak dapat melindungi anak saya,” kata Norsiah Mohamad, ibu kepada Aminulrasyid.

Saksi itu yang hanya dikenali sebagai Azam ada bersama Aminulrasyid (gambar) dalam kereta yang mereka naiki tetapi meninggalkan tempat kejadian semasa insiden.

Azam menemui Norsiah di rumahnya Isnin lalu. Norsiah tidak dapat ingat masa pertemuan mereka.

Menurut Norsiah, dia hanya dapat memeluk Azam sebagai memohon maaf.

Dia tidak mahu mengatakan hasil perbualan kerana tidak mahu Azam, yang merupakan saksi utama kejadian, diganggu.

Menurut Norsiah, saksi merupakan kawan baik kepada arwah sejak dari sekolah rendah lagi.

“Saksi dan anak saya merupakan kawan baik anak saya sejak dari sekolah rendah lagi.

“Lagipun kedua-dua mereka aktif dalam sukan seperti bola sepak dan olahraga,” kata Norsiah kepada The Malaysian Insider hari ini.

Norsiah berkata, hubungan allahyarham dengan keluarga saksi juga amat rapat seperti keluarga sendiri.

“Arwah baik dengan keluarga saksi begitu juga dengan jiran-jiran di sini.

“Kadang-kadang arwah akan ke rumah kawan-kawan untuk makan ataupun bermain,” katanya lagi ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 11 di sini.

Azam juga berusia 15 belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 11 manakala Allahyarham Aminulrasyid merupakan pelajar SMK Seksyen 9.

Azam telah memberi keterangan kepada polis kira-kira tiga jam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi Isnin lalu Aminulrasyid berusia 15 tahun mati terkena tembakan polis manakala rakannya itu melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis berhampiran dengan rumah mereka.

Aminulrasyid, anak bongsu daripada lapan beradik dilaporkan terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.

Norsiah berkata, kerana tidak mahu melukakan hatinya arwah sanggup berhenti daripada bermain bola sepak untuk memberi tumpuan terhadap pelajaran.

“Tahun ini arwah akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan arwah mahu memperoleh 8A kerana tidak mahu kecewakan saya.

“Arwah juga cakap mahu berhenti bermain bola buat sementara waktu kerana hendak memberi tumpuan terhadap pelajaran.

“Selain itu, arwah juga bercita-cita untuk menjadi angkasawan seperti angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muzaffar Shukor,” katanya.

Dalam pada itu Norsiah memberitahu, sebelum kejadian malang yang menimpa arwah, anaknya itu ada berkelakuan pelik sama ada di sekolah ataupun rumah.

“Hari Khamis lalu, sekolah arwah ada membuat latihan praktikal bagi cara-cara memandikan jenazah dan Aminulrasyid dengan sukarela meminta untuk menjadi jenazah.

“Selain itu, arwah juga ada bersalaman dengan kawan-kawan semasa di sekolah sebelum pulang.

“Di rumah pula arwah menjadi lebih manja dengan saya dan keluarga selain kadang-kadang akan termenung, sebelum ini tidak pernah berlaku,” katanya.

Allahyarham dikatakan sempat bergurau senda dan menyakat anak saudaranya pada malam sebelum kejadian.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan