Lorong Motosikal Mampu Kurangkan Kadar Kematian Sehingga 90 Peratus

PUTRAJAYA, 15 April: Pengenalan lorong khas motosikal mampu mengurangkan kadar kematian di kalangan penunggang motosikal sehingga 90 peratus, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.

Suret berkata ia berdasarkan kepada kajian sejak tiga tahun lepas di Kuala Lumpur dan Klang menunjukkan hanya terdapat satu kes kematian dicatatkan di laluan motosikal berbanding kes kematian yang tinggi di jalan lain.

"Sebab itu perlu lebih banyak laluan motosikal yang selesa disediakan kerana ia dapat mengurangkan kadar kemalangan dengan memisahkan motosikal dengan kenderaan lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program advokasi penggunaan lorong motosikal di Persiaran Timur di sini pada Khamis.

Beliau berkata pihaknya akan terus memantau keadaan lorong motosikal di seluruh negara supaya ia berada dalam keadaan baik sepanjang masa dan meminta penunggang motosikal melaporkan segera sebarang kerosakan yang terdapat di lorong motosikal.

"Ini bagi memudahkan pemantauan dilaksanakan dan sebarang kerosakan dapat dimaklumkan segera kepada pihak yang bertanggungjawab menyelenggara laluan motosikal supaya kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan.

"Kita juga berusaha untuk mengatasi masalah lain di lorong motosikal kerana terdapat lorong motosikal yang mempunyai masalah anjing liar, keadaan yang gelap atau dihalang rimbunan dahan-dahan pokok," katanya.

Suret berkata laluan motosikal hanya boleh digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi kurang daripada 249 cc, untuk motosikal melebihi had itu diminta menggunakan jalan biasa.

Sementara itu, mulai 1 Mei depan penguatkuasaan undang-undang akan dikenakan ke atas penunggang motosikal yang masih enggan menggunakan lorong motosikal di Putrajaya.

"Sehingga kini kita berpuas hati dengan tahap kesedaran penunggang motosikal di mana ramai yang menggunakan lorong motosikal itu sejak ia diperkenalkan awal bulan ini," katanya.

-BERNAMA-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan