Najib bermula dengan Altantuya, setahun dengan APCO

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 3 Apr:
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi strategi membisunya ketika isu APCO Worldwide menyelubungi genap setahun beliau menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Beliau memulakan pentadbirannya dengan strategi membisu terhadap dakwaaan beberapa akhbar luar negara seperti Liberation, The Nation, Sunday Times, Times of India, The Australian, New York Times, International Herald Tribune, Far Eastern Economic Review dan Kompas yang menyiarkan artikel-artikel yang membangkitkan persoalan yang mengaitkan dirinya dengan pembunuhan Altantuya dan komisen besar yang diberikan oleh syarikat Perancis, Armaris, kepada sebuah syarikat Malaysia.

"Setelah genap setahun beliau menerajui kerajaan BN, beliau menyambutnya dengan strategi yang sama terhadap pendedahan bahawa beliau memperalatkan wang rakyat untuk membahayakan negara ini dengan mengambil khidmat APCO yang didominasi Yahudi Zionis," katanya.

Dalam satu kenyataannya, APCO sendiri menyatakan antara tugasnya termasuk sokongan komunikasi untuk pelbagai inisiatif pembaharuan yang diambil oleh kerajaan Najib, terutamanya dalam bidang pekerjaan, promosi pendidikan dan mengukuhkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

"Najib mendedahkan negara ini kepada ancaman besar apabila kita mengambilkira penglibatan APCO di dalam beberapa projek yang berkaitan perisikan dan keselamatan yang dilakukan melalui rakan strategik dan firma sekutunya, Asero Worldwide.

"Amat membimbangkan apabila diambilkira bahawa petualang-petualang Zionis secara serentak menjadi konsultan dan anggota pengurusan APCO dan Asero.

"Contohnya, pengasas dan presiden Asero Worldwide, Doron Bergerbest-Eilon juga berada dalam Majlis Penasihat Antarabangsa APCO. Beliau adalah bekas ketua bahagian perlindungan dan keselamatan dan pegawai kanan dalam Shin Bet atau Agensi Keselamatan Israel - ISA," kata Salahuddin.

Najib juga, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, membisu apabila dibangkitkan terlalu banyak persamaan yang sangat ketara antara One Israel dan 1Malaysia.

"Jika Najib merasa begitu selesa dengan strategi membisunya, kita pula akan terus menyedarkan rakyat tentang bahaya yang diangkut olehnya ke dalam negara ini melalui APCO," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkag Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan beberapa persamaan antara One Israel dan 1Malaysia.

Menurut beliau, perkara itu tidak boleh dianggap kebetulan kerana kedua-dua konsep tersebut dicetuskan oleh pegawai perisikan tentera Israel yang sama yang bekerja dengan bekas Perdana Menteri negara Zionis, Ehud Barak, pada tahun 1999.

Pegawai tentera terbabit yang kini bekerja dengan APCO pernah bekerja di bawah Barak yang ketika itu menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Israel, kata Anwar.

"Platform Satu Israel menjanjikan perkhidmatan yang lebih baik dalam pendidikan dan kemudahan kesihatan baik manakala di Malaysia pula ada klinik 1Malaysia,

"Tujuan Ehud untuk alih isu 'settlement' atau penempatan, iaitu alih pandangan lain dalam negara manakala 1Malaysia alih isu pertelingkahan antara kaum dan masalah rasuah dalam negara.

"Mesej Satu Israel ialah 'People first' manakala 1Malaysia pula 'Rakyat didahulukan', kemudian One Israel menubuhkan Tabung Satu Israel manakala Malaysia menubuhkan Yayasan 1Malaysia.

"Jadi persamaannya itu terlalu banyak di antara apa yang dibuat Barak dan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak," kata Anwar.

APCO juga didedahkan pernah mengikat perjanjian perkhidmatan dengan kerajaan Zionis Israel pada 1992.

Straits Times (ST) Singapura melaporkan, penyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat membuktikan perkara itu.

"Dalam jawapan berhubung laporan Jabatan Kehakiman tersebut, APCO menyatakan firma itu bekerjasama dengan sebuah syarikat bersekutu dalam sebuah projek untuk kerajaan Israel ketika itu," lapor ST.

Akhbar itu memetik Timbalan Pengarah Urusan APCO, B Jay Cooper berkata: "Perkhidmatan yang diberi adalah berkaitan media, melibatkan perolehan dana dari kerajaan Amerika Syarikat bagi perumahan pendatang dari Rusia".

Cooper bagaimanapun menyatakan bahawa APCO ketika itu "dimiliki oleh Grey Global Group"
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan