Judi Bola: DAP lebih faham dari Umno

Mohd Ali Hashim
JERAI, 15 Mei:
Umno yang mendakwa mereka pejuang Melayu dan Islam sepatutnya malu kepada DAP yang turut menentang pemberian lesen judi bola sepak Piala Dunia.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar ketika mengulas isu itu berkata Umno sepatutnya bangun untuk menentang kemungkaran yang berlaku setelah dengan jelas melibatkan perjudian yang sememangnya diharamkan oleh agama Islam.

"Apakah pemimpin Umno ini tidak berasa malu apabila DAP sanggup menentang pemberian lesen judi tersebut sedangkan pemimpin-pemimpin Umno hanya mendiamkan diri.

"Kita juga ingin bertanya kemanakah perginya suara-suara yang sebelum ini melaung-laungkan perjuangan untuk agama sepertimana yang mereka uar-uarkan," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat berkata, DAP dalam kempen mereka di Sibu dengan jelas menolak judi sebagai satu sumber pendapatan yang akan mendatangkan kesan sosial negatif kepada masyarakat.

"Kita bimbang sekiranya perkara ini tidak disekat dan dihalang lambat laun negara ini akan dipenuhi dengan urusan berasas perjudian apabila tindakan Kerajaan yang menghalalkan yang haram itu dianggap sebagai suatu yang baik," katanya lagi.

Tindakan Umno dan kerajaan itu katanya seolah-olah memperlekehkan umat Islam yang ada dalam negara ini dengan tidak menghormati suara yang menentang sehingga mereka meneruskan pemberian lesen perjudian ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan